https://critoxium.com/shop/

Terkini

Peranan NGO hadapi bencana

Oleh

NGO, ringkasan untuk Non-Governmental Organisation, adalah mana-mana badan bukan kerajaan yang tidak berorientasikan keuntungan sebaliknya merupakan pertubuhan sukarela.

Sememangnya terdapat NGO yang mempunyai para pekerja bergaji tetapi mereka yang berstatus sukarelawan tidak mendapat gaji sebaliknya mungkin hanya diberikan elaun atau sagu hati, juga kursus atau latihan yang relevan.

Setiap NGO mempunyai matlamat tertentu; ada yang memperjuangkan isu dakwah, ada pula yang menjurus kepada kebajikan, keamanan, pembangunan, ekonomi, keadilan sosial, hak asasi manusia, kelestarian alam sekitar, dan lain-lain.

NGO juga mempunyai kekua­tan tersendiri yang mampu mempengaruhi dasar kerajaan mahu­pun korporat.

Apabila berlaku bencana besar seperti tsunami baru-baru ini di Palu, Sulawesi, ramai sukarelawan daripada pelbagai NGO pergi untuk membantu tanpa mengharapkan sebarang elaun atau ganjaran, malah perlu mengeluarkan wang sendiri.

Bak kata seorang sahabat dari Terengganu, untuk menjadi seorang “sukarelawang”, perlu suka apa yang kita buat, rela dalam setiap perbuatan dan sanggup mengeluarkan wang untuk tujuan tersebut.
Saya kagum dengan sebuah NGO yang merupakan gabungan 44 NGO. Ia lahir pada 26 Disember 2014 apabila banjir besar melanda negeri Kelantan. NGO tersebut adalah Bantuan Bencana NGO (BBNGO) yang diketuai oleh Prof Dr Dinsuhaimi Sidek. Terkenal dengan nama panggilan Prof Din, Profesor Dr Dinsuhaimi merupakan seorang pakar perubatan dalam bidang otolaringologi (ORL) yang dulunya dikenali sebagai Ear, Nose and Throat (ENT); atau pakar telinga, hidung dan tekak.

Selain sibuk merawat pesakit di Hospital USM, beliau juga meru­pakan pensyarah yang mengajar bakal-bakal pakar ORL, dan mempunyai tugas-tugas pentadbiran sebagai Timbalan Dekan di Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM.

Jika kita semua berasa sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga tiada masa untuk membuat kerja-kerja kebajikan, kita wajar berfikir sejenak bagaimana seseorang yang begitu sibuk seperti Prof Din mampu meluangkan masa untuk turun padang membantu ketika berlakunya bencana.

Bukan itu sahaja, bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar ini juga berjaya menyatukan pelbagai NGO dengan kekuatan yang berbeza; bermula dengan 15 NGO pada awal tahun 2015 hinggalah 44 NGO sekarang. Hendak memimpin satu atau dua NGO pun bukan mudah, inikan pula 44 NGO.

Melihat kepada kesungguhan Prof Din yang sudah mempunyai 11 orang cucu ini meluangkan masa memberi nasihat dan latihan serta melibatkan diri dalam bantuan untuk segala jenis bencana, termasuk banjir, bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di luar Kelantan dan luar negara, saya berasa sungguh kerdil.

Bagi saya, untuk kita berusaha kuat dan menjadi hebat, kita perlu mengenali dan bertemu muka de­ngan orang hebat sebegini.

Terbaharu, rombongan BBNGO telah membuat kunjungan hormat terhadap tiga agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dengan bantuan banjir iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

BBNGO menawarkan diri serta kepakaran setiap NGO dalam gabungan untuk membantu kerajaan dalam persiapan menghadapi banjir memandangkan musim tengkujuh semakin hampir. Agensi seterusnya yang bakal dikunjungi ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Putrajaya.

Perjumpaan dua hala dengan pelbagai agensi kerajaan ini bertujuan menyampaikan hasrat BBNGO untuk membantu dan membuat penyelarasan bantuan bencana. Penyelarasan antara NGO penting kerana berdasarkan pe­ngalaman lepas, tiadanya atau kurangnya penyelarasan menyebabkan berlakunya pembaziran masa, tenaga mahupun wang apabila beberapa NGO tertumpu di kawasan yang sama, manakala banyak lagi kawasan lain yang terlepas pandang atau tidak dibantu dan disantuni.

Walaupun bencana alam di negara kita tidak seteruk negara lain yang dilanda taufan, puting beliung, letupan gunung berapi dan gempa bumi besar, kita tidak boleh memandang ringan bencana banjir yang berlaku setiap tahun di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Harapan saya, Prof Din dan mereka yang terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan ini adalah semoga lebih ramai antara kita yang turut sama terlibat. Bak kata Prof Din, paling kurang semua orang perlu berjiwa sukarelawan walaupun benar-benar tiada masa atau tidak mampu untuk menjadi sukarelawan. Mudah-mudahan juga ia menjadi salah satu jalan bagi kita meraih pahala sebagai bekal di akhirat kelak, insya-Allah.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.