https://critoxium.com/shop/

Terkini

Lebih baik Zahid letak jawatan, bukan bercuti


SHAH ALAM - Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seharusnya meletakkan jawatan dan bukannya bercuti daripada melaksanakan tugas presiden seperti yang dicadangkan Pemuda Umno.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, ia dilihat lebih relevan seperti yang telah dilakukan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, situasi yang dialami oleh Zahid dan Najib juga cukup mirip dengan kedua-dua mereka mengundang persepsi buruk terhadap parti Melayu itu.

"Bagi saya, Umno perlu bersihkan Umno itu sendiri. Tidak perlu tunggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersihkan Umno. Kalau Najib boleh letak jawatan, kenapa tidak Ahmad Zahid?

"Umno perlu selesaikan masalah sebegini yang masih ada dalam parti untuk memastikan orang tidak pandang buruk terhadap Umno," katanya.

Semalam, pemuda Umno mencadangkan Ahmad Zahid untuk bercuti seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden Umno sehingga kes pertuduhan mahkamah yang dihadapinya selesai.

Ahmad Zahid sebelum ini menghadapi 45 tuduhan di mahkamah membabitkan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan ubah wang haram membabitkan nilai RM114 juta.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Atory, Ahmad Zahid perlu berani mengambil tanggungjawab tersebut dengan niat memastikan Umno terus tidak dipandang serong rakyat.

"Tidak menjadi masalah sekiranya Ahmad Zahid berundur kerana Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan boleh mengambil alih jawatan tersebut.

"Apa yang menjadi keutamaan ialah Umno itu sendiri perlu dibersihkan dan tidak terus di hentam rakyat," katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.