Menanti fajar baharu ekonomi negara
Oleh
MINGGU-MINGGU
akhir sebelum sidang Parlimen berlangsung seakan-akan cukup sarat
dengan ‘acara-acara ekonomi’ pihak kerajaan. Ini pada hakikatnya satu
perkembangan yang sangat positif.
Memang berbulan lamanya rakyat
menunggu terzahirnya pelan ekonomi yang holistik dan komprehensif dalam
berhadapan suasana ekonomi yang suram mutakhir ini.
Penulis tidak menggunakan perkataan
‘suram’ ini dengan sesuka hati. Perkataan sama digunakan oleh banyak
pihak, termasuk bakal Perdana Menteri Malaysia ke-8, Datuk Seri Anwar
Ibrahim dalam beberapa siri pertemuan beliau dengan fraterniti usahawan
dan perniagaan. Kita tidak pasti mengapa bakal Perdana Menteri mengambil
pendirian demikian; namun itu mungkin berdasarkan pemerhatian peribadi
beliau dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Banyak acara ‘ekonomi’ akan berlaku dalam masa
terdekat ini. Dalam konteks Malaysia, rakyat pastinya menunggu banyak
berita dan perkhabaran menggembirakan akan diumumkan oleh pihak
kerajaan. Kementerian Kewangan telah menganjurkan forum bertajuk
Malaysia: A New Dawn minggu lalu. Sebelum ini, Khazanah Megatrends Forum
2018 juga telah dilaksanakan.
Di peringkat
lebih tinggi, mesyuarat World Bank - IMF 2018 juga akan berlangsung
dalam masa terdekat ini. Kalangan media dan penganalisis ekonomi
antarabangsa juga dikatakan sedang menunggu data ekonomi terkini berkait
negara-negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, China dan
Malaysia dalam masa terdekat ini.
Secara
peribadi, penulis menganggap memang sudah tiba masa Malaysia bercakap
mengenai ‘fajar baharu ekonomi’. Harapan kita di pihak pembangkang,
mahupun majoriti rakyat, kerajaan sewajarnya sudah mula menggaris dan
melukis perspektif baharu berkenaan ekonomi Malaysia.
Tidak perlu
diulang-ulang cerita lama seperti 1MDB, beban hutang dan sebagainya.
Ada
ketikanya, rakyat menjadi lelah dengan kenyataan-kenyataan ekonomi yang
longgar di pihak kerajaan. Sekejap seperti terlalu yakin dengan
kebijakan ekonomi; dan di waktu lain menjadi seakan-akan hilang tujuan
dan arah. Rakyat memang mengharapkan kenyataan dan iltizam yang lebih
bersungguh di pihak kerajaan. ‘Bulan madu’ dan keseronokan memperoleh
mandat dan kepercayaan rakyat sudah mula lesap dan sirna.
Fajar baharu - Ambil sepenuhnya tanggungjawab!
Kajian
Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Hala Tuju
Baharu 2018 - 2020 bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Parlimen
Ke-14, akan dibentangkan dalam masa terdekat. KSP ini, pada pandangan
penulis, menjadi taruhan awal pihak Kerajaan merencana kebijakan dasar
yang wajar diperkenalkan dalam masa terdekat.
Menteri
Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali memberikan penegasan
bahawa KSP bakal menjadi pelan tindakan jangka pendek dalam menentukan
strategi ekonomi kerajaan. Beliau juga pernah berkata, KSP akan
memastikan “keserasian tindakan” di antara strategi kerajaan dan
manifesto Pakatan Harapan.
Selepas
pembentangan KSP; Bajet 2019 akan menyusul. Daripada kenyataan awal
Menteri Kewangan - banyak “langkah perit” yang akan diperkenal
berbanding berita yang menenangkan hati dan perasaan rakyat. Kita belum
pasti apakah yang dimaksudkan; namun kita boleh mengagak bahawa ia
berkait penyusunan semula subsidi dan pendedahan lapuk bahawa “kita
perlu membayar hutang”, berbanding mencari ramuan memudahkan kehidupan
rakyat.
Fajar baharu ekonomi - kita
harapkan tidak penuh dengan keputusan yang terus meletakkan rakyat
sebagai ‘mangsa’ kepada cerun licin pelbagai cadangan yang dikemukakan
pihak kerajaan. Data dan analisis ekonomi sudah mula menggambarkan
keadaan yang kurang enak didengar. Bank Dunia sudah meneliti semula
unjuran ekonomi Malaysia. Daripada unjuran awal 5.4 peratus; kepada 4.9
peratus. Ini pastinya membawa kesan yang bukan sedikit.
Kelangsungan ekonomi Melayu/bumiputera
Penulis
beberapa kali meneliti pandangan bakal Anwar berkenaan ekonomi
Malaysia. Pandangan paling jelas, pastinya sewaktu Majlis Penutupan
Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 tempoh hari. Fajar baharu
ekonomi, walaupun `se-liberal’ mana mahu diperkenalkan, tidak wajar
meminggir kepentingan ekonomi Melayu dan bumiputera.
Anwar
sendiri mengakui ekonomi Malaysia semakin malap dan lesu. Kerangka
besar ekonomi mesti menjurus kepada usaha mewujudkan “pembangunan”; yang
kemudiannya diterjemahkan kepada usaha “pengagihan”. “Jika tiada
“pembangunan ekonomi”, apa yang mampu dan boleh diagih oleh kerajaan?”
tanya bakal Perdana Menteri lagi.
Beliau
secara tegas mahukan kerajaan meninggalkan “kerangka pemikiran ekonomi
lama” dan menerbitkan “fajar baharu” dalam bidang iktisad. Rakyat
menunggu terbitnya fajar ini. Apakah ia akan terbit selepas pembentangan
KSP? Atau kita perlu menunggu tempoh enam bulan selepas pembentangan
bajet?
Di dalam ucapan sama, Anwar juga
mahukan kerajaan memperkenalkan strategi bantuan lebih jelas kepada
orang Melayu dan bumiputera. Kerajaan Pakatan, tegasnya lagi mesti
meninggalkan “fahaman ke-bumiputeraan lama”; dan melihat kepada versi
yang lebih baharu dan munasabah.
Menteri
Hal Ehwal Ekonomi sewaktu di Khazanah Megatrends Forum juga bercakap
akan peri pentingnya mempunyai “logik baharu” di dalam bidang ekonomi.
Rakyat tidak punya masalah; berikan mereka “logik baharu”, “fajar
baharu”, “penambahbaikan fahaman lama ekonomi” - dan apa sahaja terma
sekali pun; asalkan untung nasib mereka terpelihara dan terbela.
Melaksana janji manifesto
Beban
utama kepada Kerajaan Pakatan Harapan adalah melaksana janji-janji
manis yang dikemukakan kepada rakyat. Ya, mereka mungkin berkata
“manifesto bukan kitab suci”, namun ini tidak membuatkan mereka lepas
bebas sepenuhnya daripada tanggungjawab moral untuk melaksanakan apa
yang mereka akadkan dengan rakyat.
Penulis
fikir, rakyat sudah memberikan ruang yang seadilnya untuk kerajaan
memulakan iltizam dan ikhtiar baharu dalam memastikan ekonomi Malaysia
berada di landasan tepat. Ya, mungkin tempoh beberapa bulan lalu, cerita
kelemahan pentadbiran lama boleh dijadikan bahan kempen dan pelindung
kritikan rakyat. Namun, suasana dan tempoh itu sudah sewajarnya
ditinggalkan.
Terlaksananya forum khusus
‘Malaysia: A New Dawn’, pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11,
pembentangan Bajet 2019 hujung tahun ini nanti - seharusnya menjadi
titik tolak bahawa kerajaan sudah perlu memimpin negara ini dengan acuan
mereka sendiri.
Di pihak pembangkang, kami
akan terus memberikan kritikan dan pandangan yang sewajarnya kepada
usaha pihak kerajaan. Penyediaan bajet alternatif kepada segala usaha
kerajaan akan dibentangkan kepada rakyat. Segalanya, setiap inci janji
dan perkataan yang dibuat oleh pihak kerajaan - akan kami telusuri
dengan sebaik mungkin.
Kita menghormati
pandangan kerajaan bahawa mereka akan melakukan banyak usaha penjajaran
semula, sekali gus mengutamakan semula perbelanjaan dan perbendaharaan
kerajaan. Inilah yang rakyat tunggu dan nantikan. Jangan cuba
menyorokkan keadaan sebenar ekonomi dengan terma-terma hebat; namun
tidak mampu ditangani dengan tuntas oleh jentera kerajaan.
Sewaktu
merasmikan ‘Khazanah Megatrends Forum 2018’, Menteri Hal Ehwal Ekonomi
sendiri mengakui bahawa banyak isu yang mesti diselesaikan oleh pihak
kerajaan. Isu pengangguran di kalangan generasi muda, mewujudkan polisi
dan program sosio-ekonomi yang progresif, dan menzahirkan kebijakan
ekonomi berteraskan “mendahulukan rakyat” mesti diberikan keutamaan.
Sebagai
pembangkang yang berwibawa, strategi dan langkah tepat dalam
memperbaiki suasana ekonomi - akan diberikan sokongan. Adakalanya,
khususnya di dalam suasana ekonomi yang rumit; ia menuntut kerjasama dan
persepakatan yang merentas ideologi politik.
Dewan
Rakyat yang bakal bersidang hari ini tidak boleh menjadi medan
perseteruan politik yang mendatangkan rugi kepada rakyat. Ini falsafah
tunggak yang perlu disepakati semua pihak. Masalah ekonomi negara tidak
wajar menjadi sandaran dan gadaian politik.
Kebolehpercayaan
rakyat terhadap institusi Parlimen - khususnya dalam usaha memustaidkan
kebijakan ekonomi terbaik untuk rakyat perlu diusahakan semua pihak.
Fajar baharu ekonomi Malaysia boleh bermula di Dewan Rakyat. Ia boleh
bermula dengan perbincangan yang tulus berkenaan usaha dan ikhtiar
baharu. Musim untuk menuding jari, mencari salah sudah wajar berlalu.
DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN ialah Ahli Parlimen Kepala Batas.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.