https://critoxium.com/shop/

Terkini

𝐏𝐚𝐫𝐭𝐢 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐫𝐮 𝐝𝐚𝐧 𝐃𝐞𝐦𝐨𝐤𝐫𝐚𝐬𝐢: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐋𝐢𝐡𝐚𝐭 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐢𝐟 𝐋𝐞𝐛𝐢𝐡 𝐓𝐞𝐫𝐛𝐮𝐤𝐚


Setiap kali muncul sebuah parti politik baharu di Malaysia, akan ada dua reaksi besar daripada masyarakat. Pertama, kelompok yang terus menyambut dengan harapan.

Kedua, kelompok yang pantas menghukum dengan persepsi negatif. Ada yang terus melabel parti baharu sebagai ‘parti kecewa,’ ‘parti pemecah undi,’ ‘parti syok sendiri,’ malah ada yang menghentam sebelum sempat memahami perjuangan dan gagasan yang cuba dibawa.

Hakikatnya, kewujudan parti baharu bukan semestinya petanda kehancuran politik negara. Dalam banyak keadaan, ia sebenarnya tanda bahawa demokrasi masih hidup.

 Demokrasi yang mati ialah apabila rakyat takut bersuara, takut menubuhkan gerakan, takut memberi pandangan, dan hanya dipaksa menerima satu acuan pemikiran sahaja. 

Dalam konteks ini, tertubuhnya parti baharu perlu dilihat daripada perspektif yang lebih matang, lebih terbuka dan lebih intelektual.

Dalam sejarah dunia, hampir semua negara demokratik mengalami proses kelahiran parti-parti baharu. Di Amerika Syarikat, United Kingdom, Turkiye, Indonesia, India dan Jepun, dinamika politik sentiasa berubah mengikut keperluan zaman dan kehendak rakyat.

 Ada parti yang lahir kerana mahu membawa reformasi ekonomi, ada yang lahir kerana mahu memperjuangkan kelompok tertentu, dan ada juga yang muncul akibat ketidakpuasan terhadap budaya politik lama.

 Ini bukan sesuatu yang pelik. Ia sebahagian daripada proses semula jadi dalam sistem demokrasi moden. Samuel P. Huntington, pernah menjelaskan bahawa demokrasi yang matang bukan diukur dengan tiadanya konflik politik, tetapi bagaimana sesebuah negara mengurus perbezaan pandangan secara aman dan terbuka.

𝐓𝐞𝐭𝐚𝐩 𝐌𝐞𝐦𝐛𝐞𝐫𝐢 𝐈𝐦𝐩𝐚𝐤

Realitinya, Malaysia sendiri lahir dalam suasana kepelbagaian politik. Dari era awal kemerdekaan sehingga kini, pelbagai parti pernah muncul dengan ideologi dan pendekatan tersendiri. Ada yang bertahan lama, ada yang tenggelam dalam sejarah. Namun kewujudan mereka tetap memberi kesan kepada perjalanan negara.

Kadangkala, kehadiran parti baharu memaksa parti lama memperbaiki kelemahan mereka. Dalam dunia politik, persaingan bukan semata-mata tentang kuasa, tetapi juga tentang idea, tawaran dan kemampuan memahami denyut nadi rakyat.

Masyarakat perlu memahami bahawa tidak semua yang baharu itu buruk. Dalam dunia perniagaan, teknologi dan pendidikan, manusia sentiasa meraikan Inovasi. 

Tetapi apabila melibatkan politik, ramai menjadi terlalu emosional. Sedangkan politik juga memerlukan pembaharuan idea dan pendekatan.

 Jika semua rakyat dipaksa menerima hanya satu kelompok politik tanpa ruang alternatif, maka demokrasi akan menjadi sempit dan akhirnya membeku.

Apa yang lebih membimbangkan ialah budaya menghentam tanpa asas. Ada netizen yang hanya membaca tajuk berita atau melihat poster pelancaran parti, lalu terus mengeluarkan kata-kata menghina. 

Ada yang menuduh tanpa fakta. Ada yang melabel tanpa memahami hasrat utamanya.

 Budaya sebegini sebenarnya tidak membantu mematangkan demokrasi negara.

 Demokrasi bukan tentang siapa paling kuat menghentam di media sosial, tetapi siapa yang mampu berhujah dengan ilmu, fakta juga akhlak.

𝐃𝐮𝐧𝐢𝐚 𝐏𝐨𝐥𝐢𝐭𝐢𝐤 𝐌𝐨𝐝𝐞𝐧

Dalam Islam, prinsip tabayyun sangat ditekankan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 6 agar manusia menyelidik dahulu sesuatu Berita sebelum membuat keputusan. Prinsip ini sangat relevan dalam dunia politik moden.

Rakyat tidak sepatutnya terus mempercayai persepsi atau propaganda tanpa menilai fakta sebenar. Kadangkala, kita terlalu mudah membenci hanya kerana perbezaan parti, sedangkan kita tidak pernah benar-benar memahami apa yang diperjuangkan. 

Menariknya, kewujudan parti baharu juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin berani terlibat dalam proses demokrasi. 

Ini petanda kesedaran politik semakin meningkat. Dahulu ramai hanya menjadi pemerhati. Hari ini ramai mahu menjadi sebahagian daripada perubahan. 

Walaupun tidak semua parti akan berjaya, keberanian untuk tampil membawa idea tetap perlu dihormati.

Ahli falsafah politik terkenal, John Stuart Mill pernah menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan kewujudan pelbagai pandangan sangat penting bagi memastikan masyarakat tidak terperangkap dalam ‘tyranny of majority’ atau kezaliman majoriti. 

Maksudnya, apabila hanya satu pandangan dibenarkan hidup, maka masyarakat akan kehilangan ruang untuk menilai kebenaran secara objektif.

𝐁𝐮𝐝𝐚𝐲𝐚 𝐏𝐨𝐥𝐢𝐭𝐢𝐤 𝐒𝐢𝐡𝐚𝐭

Namun begitu, menyokong kewujudan parti baharu tidak bermaksud rakyat perlu menerima semua perkara secara membuta tuli.

 Parti baharu juga perlu dinilai dengan matang.

 Rakyat berhak bertanya tentang dasar, hala tuju, integriti kepimpinan dan solusi yang ditawarkan. Tetapi penilaian itu mestilah dilakukan secara adil, bukan dengan kebencian melampau atau budaya ‘cancel’ yang semakin menular hari ini.

Di sinilah pentingnya masyarakat membina budaya politik yang lebih sihat. Kita boleh tidak bersetuju, tetapi jangan sampai hilang adab.

 Kita boleh mengkritik, tetapi jangan sampai memfitnah. Politik yang matang bukan politik maki hamun. 

Politik matang ialah politik yang membuka ruang dialog, hujah dan idea.

Kadangkala, parti baharu menjadi ‘wake up call’ kepada parti sedia ada. Ia mengingatkan bahawa rakyat sentiasa memerhati. 

Jika parti lama gagal memahami perubahan generasi muda, gagal menyelesaikan isu kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan dan integriti, maka rakyat akan mencari alternatif lain. 

Ini realiti demokrasi. Dalam sistem demokratik, tiada parti yang boleh merasa terlalu selesa.

𝐌𝐚𝐬𝐢𝐡 𝐏𝐞𝐫𝐜𝐚𝐲𝐚 𝐊𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐒𝐢𝐬𝐭𝐞𝐦 𝐃𝐞𝐦𝐨𝐤𝐫𝐚𝐬𝐢

Perspektif paling unik yang masyarakat perlu faham ialah kewujudan parti baharu sebenarnya membuktikan rakyat masih percaya kepada sistem demokrasi negara.

Bayangkan jika rakyat sudah hilang harapan sepenuhnya. Barangkali, mereka tidak lagi mahu menyertai politik, tidak mahu mengundi, malah tidak mahu bercakap tentang masa depan negara. 

Tetapi apabila masih ada individu yang sanggup menubuhkan parti, mengumpulkan ahli dan membawa gagasan, itu menunjukkan mereka masih percaya Malaysia boleh diperbaiki melalui jalan demokrasi, bukan kekacauan.

Sebab itu, rakyat perlu melihat isu ini dengan hati yang lebih terbuka. Tidak semestinya kita perlu menyokong semua parti baharu. Tetapi sekurang-kurangnya hormatilah hak mereka dalam sistem demokrasi. 

Jangan terus menghentam tanpa asas. 

Jangan terlalu cepat menghukum sebelum mendengar. 

Negara yang matang bukan negara yang semua rakyat berfikir sama, tetapi negara yang mampu mengurus perbezaan dengan hikmah dan kebijaksanaan.

𝐊𝐞𝐦𝐚𝐭𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭

Akhirnya, demokrasi bukan hanya tentang parti politik. 

Demokrasi ialah tentang kematangan rakyat. Jika rakyat mampu berdialog dengan baik, menghormati perbezaan, menilai dengan ilmu dan mengutamakan kebenaran melebihi fanatisme, maka negara akan terus stabil dan dihormati dunia.

 Tetapi jika politik hanya dipenuhi kebencian, persepsi dan emosi melampau, maka demokrasi akan menjadi medan perpecahan yang merugikan semua pihak.

 Malaysia memerlukan politik yang lebih matang, rakyat yang lebih beradab dan masyarakat yang lebih terbuka. 

Kerana masa depan negara tidak dibina dengan jeritan kebencian, tetapi dengan keberanian mendengar, memahami dan memperbaiki bersama.

Atriza Umar
𝑪𝒂𝒍𝒐𝒏 𝑰𝒋𝒂𝒛𝒂𝒉 𝑲𝒆𝒅𝒐𝒌𝒕𝒐𝒓𝒂𝒏 (𝑲𝒆𝒑𝒊𝒎𝒑𝒊𝒏𝒂𝒏 𝑾𝒂𝒏𝒊𝒕𝒂)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.