Libang-libu isu penternakan babi antara negeri
Oleh ABU IHSAN ELBARITI
Dalam kalangan umat Islam Malaysia, isu penternakan babi sering terhanyut dalam polemik yang didasari elemen emosi. Mungkin kerana ia lebih cepat memasuki minda bawah sedar masyarakat yang sememangnya menjadi sasaran oleh pencipta isu tersebut.
Apabila timbul projek atau cadangan untuk membina sebuah sistem yang komprehensif dan lengkap dalam pengurusan ternakan babi, sebahagian pihak terus melihatnya melalui lensa politik, bukannya dengan lensa hukum, pentadbiran dan kepentingan awam.
Justeru saya melontarkan pandangan ini bagi mengajak pembaca melihat melalui sudut pandang yang betul.
Merujuk laporan Malaysiakini pada 9 April 2001 dan dikemas kini pada 29 Jan 2008 bertajuk Terengganu benarkan ternakan khinzir, kerajaan negeri dilaporkan memberi kebenaran menternak babi di negeri itu walaupun jumlah penduduk bukan Islamnya terlalu kecil.
Kebenaran itu dibuat susulan pengharaman ternakan yang dikenakan oleh kerajaan terdahulu, iaitu BN.
Menurut laporan tersebut, “Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang [...]mengumumkan kerajaan PAS pimpinannya menarik balik larangan menternak khinzir di negeri itu. Larangan tersebut diperkenalkan oleh kerajaan BN sejak 1990.”
Kata Abdul Hadi, “penternakan khinzir merupakan hak orang bukan Islam”. Dia menegaskan bahawa masyarakat bukan Islam mempunyai hak untuk menternak babi bagi keperluan makanan mereka.
Namun Presiden PAS itu tidak memberikan kebenaran tersebut tanpa batas. Katanya, penternakan haiwan berkenaan hendaklah bersih, tidak membawa penyakit, dan tidak ditempatkan di kawasan yang menimbulkan sensitiviti umat Islam.
Menurut Abdul Hadi lagi, dasar BN - yang mentadbir Terengganu sebelum itu - adalah semata-mata memancing undi orang Islam, dan bukannya bersandarkan hujah-hujah agama.
Justeru timbul persoalan yang wajar direnung bersama di sini.
Hadir untuk terima hak semua
Jika prinsip tersebut datang daripada tokoh yang dihormati sendiri oleh ahli-ahli politik pembangkang hari ini, mengapa apabila isu yang hampir sama muncul di Selangor, tiba-tiba dibantah secara mutlak malah kerajaan dikecam dengan begitu teruk sekali?
Fokus saya dalam perbahasan kali ini ialah sentimen rakyat dan bagaimana kita semua berhak memahami isu semasa dengan betul.
Apa yang berlaku menunjukkan bahawa kadangkala yang menjadi pertimbangan kita bukanlah kerana prinsip, tetapi sentimen sepenuhnya.
Dalam fiqh siasah atau pentadbiran menurut syariat Islam, pemerintah bertanggungjawab mengurus masyarakat majmuk secara adil. Islam mengharamkan babi kepada orang Islam.
Namun pengharaman itu tidak secara automatik menafikan keperluan makanan masyarakat bukan Islam dalam ruang hidup mereka sendiri.
Negara tidak ditugaskan memaksa semua rakyat hidup dalam satu corak budaya, sebaliknya memastikan setiap aktiviti berjalan dalam batas maslahat, keadilan dan ketenteraman awam.
Ini juga sering menjadi hujah para ulama siasah di negara ini bahawa Islam tidak hadir di tengah masyarakat majmuk bagi menghalang budaya berkembang, bahasa dipertutur dan kehidupan harmoni.
Islam hadir bagi mengiktiraf hak semua termasuk dalam kalangan bukan Islam selagi mereka menjaga sensitiviti dan terkawal.
Allah berfirman dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8 yang terjemahannya menjurus kepada penegasan bahawa tiada larangan ke atas umat Islam berlaku baik dan adil terhadap bukan Islam yang tidak memerangi umat Islam.
Ayat itu bukan slogan kosong sebaliknya menjadi asas pentadbiran masyarakat majmuk. Ada nilai rahmah Islam dan rahmah Nabi Muhammad SAW di dalamnya.
Sebab itu, sikap sederhana perlu difahami dengan betul. Sederhana bukan bermaksud mencairkan hukum, melanggar syariat, atau menyusahkan umat Islam. Sederhana juga bukan bermaksud menutup mata terhadap sensitiviti Muslim.
Sederhana itu ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Sokong jika ada asas
Yang tidak boleh ditoleransi bukan semata-mata jenis haiwan itu, tetapi mudarat yang timbul daripada pengurusan yang gagal.
Kalau penternakan itu menghasilkan bau busuk yang melampau, mencemarkan sungai, mengundang penyakit, mengganggu keselesaan penduduk, atau dibangunkan terlalu hampir dengan kawasan kediaman, maka bantahan itu wajar.
Malah dalam keadaan demikian, pihak berkuasa wajib bertindak.
Kaedah fiqh Islam sangat jelas seperti: la darar wa la dirar (tidak boleh melakukan mudarat dan tidak boleh membalas mudarat dengan mudarat).
Maka titik pertikaian yang sebenar bukan sekadar boleh atau tidak boleh secara mutlak.
Soal yang lebih tepat ialah apakah penternakan itu diurus dengan bersih, terkawal, jauh daripada kawasan sensitif, mematuhi piawaian alam sekitar dan menjaga hak jiran tetangga?
Kalau syarat-syarat tersebut dipenuhi, maka menolaknya semata-mata kerana sentimen politik adalah tidak adil jika kita merujuk pandangan Abdul Hadi di atas tadi.
Jika memang syarat-syarat yang ditetapkan itu gagal dipatuhi, maka bantahan itu berasas bahkan perlu ditegakkan.
Dalam media sosial, ramai memberi hujah pusat ternakan babi tidak boleh dibina dalam daerah yang majoriti Melayu Muslim. Mereka mungkin lupa atau sebenarnya tidak pernah dengar bahawa di Terengganu kandang babi dibina di dalam daerah yang majoritinya umat Islam.
Jika nak mencari tempat majoriti bukan Islam, mungkin di beberapa tempat dalam bandar Kuala Terengganu itu sendiri.
Untuk konteks Selangor, jika mahu menggunakan syarat tempat bermajoriti bukan Islam, tempatnya sudah tentu bukan Hulu Selangor, bukan di Sepang, bukan di Shah Alam, tetapi mungkin di tengah bandar raya Petaling Jaya atau Klang, atau berdekatan sawah padi di Sekinchan.
Sudah tentu mustahil untuk memilih tempat-tempat tersebut, bukan?
Walaupun sesuatu kawasan itu mungkin nisbah orang Melayunya tinggi, tetapi dengan membina zon penampan, isu penting seperti ancaman terhadap penduduk dan seumpamanya boleh dikenal pasti dan diatasi.
Kematangan bernegara menuntut konsistensi. Kita tidak boleh menerima sesuatu prinsip ketika ia menguntungkan kelompok sendiri, kemudian menolaknya apabila ia berlaku di negeri yang diperintah pihak lain.
Itu bukan pendirian syarie. Itu pendirian partisan.
Akhirnya, masyarakat perlu belajar membezakan antara menjaga agama dan memanipulasi agama.
Menjaga agama ialah menegakkan prinsip secara adil, konsisten dan berakhlak. Memanipulasi agama pula ialah apabila hukum berubah-ubah mengikut warna politik. ABU IHSAN ELBARITI ialah pnulis yang banyak menulis isu-isu agama dan politik. Pada ketika tertentu kerap memuat naik hantaran menyindir Arsenal dan Manchester United. Dia mendapat pendidikan dalam bidang syariah dan bekerja dalam industri kewangan Islam.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.