https://critoxium.com/shop/

Terkini

Fenomena Vijay dan runtuhnya politik lama Tamil Nadu


Oleh GOPALAN BALAN

Kebangkitan C Joseph Vijay yang beragama Kristian sebagai ketua menteri Tamil Nadu bukan sekadar kisah seorang bintang filem memasuki politik. Ia adalah hasil perubahan perlahan tetapi mendalam dalam masyarakat Tamil Nadu sendiri — negeri yang puluhan tahun hampir mustahil ditembusi selain dua gergasi politik Dravidian.

Lebih enam dekad, politik Tamil Nadu berputar antara dua parti utama: Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) dan All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK). Kedua-dua parti ini lahir daripada gerakan Dravidian yang membentuk identiti politik moden Tamil Nadu — menekankan kebanggaan Tamil, keadilan sosial, kebajikan rakyat, autonomi negeri dan penolakan dominasi politik New Delhi.

Di Tamil Nadu, politik bukan sekadar soal parti. Ia berkait rapat dengan identiti budaya dan bahasa, merentasi agama. Sebab itu, walaupun parti nasional seperti Bharatiya Janata Party (BJP) sangat dominan di peringkat pusat, pengaruhnya di Tamil Nadu terbatas. Dalam pilihan raya itu, BJP hanya menikmati sokongan satu peratus sokongan di Tamil Nadu, wilayah yang 90 peratus pengundinya beragama Hindu.

Pengundi di negeri itu secara tradisinya lebih percaya parti yang dilihat mempertahankan identiti Tamil.

Namun sistem lama mula retak selepas kematian J Jayalalithaa pada 2016. AIADMK kehilangan tokoh pemersatu dan terjebak dalam perebutan kuasa dalaman. Pada masa sama, DMK walaupun masih kuat, mula berdepan keletihan politik selepas bertahun-tahun menjadi sebahagian daripada struktur kuasa negeri. Generasi muda pula semakin kurang terikat dengan nostalgia politik lama.

Di sinilah Vijay muncul.

Sebelum menyertai politik, dia sudah menjadi antara pelakon paling berpengaruh dalam industri filem Tamil. Tetapi kekuatan sebenar Vijay bukan sekadar populariti di layar perak. Selama bertahun-tahun, dia membina rangkaian kelab peminat yang tersusun di hampir seluruh Tamil Nadu. Kelab-kelab ini tidak hanya menampal poster filem atau meraikan ulang tahun pelakon itu. Mereka terlibat dalam aktiviti bantuan banjir, derma darah, bantuan pendidikan dan kerja kebajikan tempatan.

Apabila dia melancarkan Tamilaga Vetri Kazhagam (TVK), parti itu sebenarnya tidak bermula dari kosong. Ia sudah memiliki struktur akar umbi yang aktif — sesuatu yang biasanya memerlukan masa bertahun-tahun untuk dibina oleh parti politik baru.

Tambahan pula, imej Vijay dalam filem banyak membantu pembentukan identiti politiknya. Dalam banyak karya popularnya, dia sering membawa watak antirasuah, pembela rakyat marhaen dan individu yang melawan sistem korup. Garis antara persona filem dan imej politik akhirnya menjadi semakin kabur — sesuatu yang bukan asing dalam politik Tamil Nadu.

Wilayah di mana filem dan politik bercantum

Fenomena itu sebenarnya mempunyai sejarah panjang. Tamil Nadu mungkin satu-satunya wilayah di dunia di mana industri filem dan politik begitu bercantum. Tokoh seperti MG Ramachandran (MGR) dan Jayalalithaa sendiri datang daripada dunia perfileman sebelum menjadi pemimpin politik besar. Dalam budaya politik Tamil, bintang filem sering dianggap lebih dekat dengan rakyat berbanding elit politik tradisional.

Bezanya, Vijay muncul pada era media sosial dan generasi digital.

Dia memposisikan TVK sebagai “kuasa ketiga” — bukan kesinambungan kepada DMK atau AIADMK, tetapi alternatif baru kepada kedua-duanya. Strateginya cukup jelas: mengambil asas politik Dravidian yang masih popular, tetapi membungkusnya dengan imej lebih moden dan segar.

Kempen TVK banyak tertumpu kepada isu pekerjaan belia, peluang ekonomi, tadbir urus bersih, reformasi pentadbiran dan kebajikan sosial. Nada kempen mereka juga kurang ideologikal berbanding politik Dravidian generasi lama. Fokusnya lebih praktikal: kos hidup, pekerjaan dan rasa kecewa terhadap elit politik sedia ada.

Pendekatan itu berjaya menarik pengundi muda bandar dan separa bandar — kelompok yang semakin besar di Tamil Nadu.

Pilihan raya negeri 2026 akhirnya menghasilkan keputusan yang mengubah sejarah politik negeri itu. TVK muncul parti terbesar dengan 108 kerusi, tetapi masih belum mencapai majoriti mudah 118 kerusi untuk membentuk kerajaan sendiri. Keputusan tergantung itu membuka rundingan intensif selepas pilihan raya.

Akhirnya beberapa parti kecil menyokong Vijay, termasuk Indian National Congress, Communist Party of India, Communist Party of India (Marxist), Viduthalai Chiruthaigal Katchi dan Indian Union Muslim League.

Gabungan itu memberikan majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan. Kelmarin, Vijay mengangkat sumpah sebagai ketua menteri—sekali gus menamatkan dominasi 60 tahun DMK-AIADMK.

Satu lagi faktor yang membantu imej politik Vijay ialah kekayaan peribadinya. Sebagai salah seorang pelakon dengan bayaran tertinggi di India, dia masuk politik tanpa dilihat bergantung kepada dana politik tradisional. Bagi ramai pengundi, ini mewujudkan persepsi dia tidak memerlukan politik untuk menjadi kaya.

Imej itu penting dalam suasana politik India yang sering dibayangi tuduhan rasuah dan kronisme.

Namun kemenangan besar juga datang bersama risiko besar. Tamil Nadu antara negeri paling maju dan paling kompleks di India, dengan ekonomi bersaiz besar, sektor industri yang luas dan populasi hampir 80 juta orang. Mentadbir negeri seperti itu memerlukan lebih daripada karisma dalam filem.

Kerajaan Vijay juga bergantung kepada gabungan beberapa parti kecil yang mempunyai tuntutan politik tersendiri. Harapan rakyat pula sangat tinggi — terutama dalam kalangan anak muda yang melihat beliau sebagai simbol perubahan generasi.

Sebab itu, persoalan sebenar bukan lagi sama ada seorang bintang filem boleh memenangi pilihan raya.

Tamil Nadu sudah lama membuktikan perkara itu boleh berlaku.

Persoalan lebih besar sekarang ialah sama ada Vijay mampu melakukan sesuatu yang lebih sukar: bertahan sebagai pentadbir, bukan sekadar simbol harapan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.