Menilai sebenar isu arak
Oleh
BAHAYA
mengenai arak bukan sahaja diajar oleh agama tetapi juga oleh pengamal
perubatan. Selain daripada agama Islam, terdapat juga agama-agama lain
yang memberikan tegahan yang sama kepada pengikutnya. Sudah banyak kes
mengenai kesan arak terhadap kesihatan tubuh badan yang telah
dilaporkan. Untuk menghujahkan bahaya arak kepada kesihatan bukanlah di
sini memandangkan isu bahaya minuman beralkohol lebih layak diulas oleh
pakar perubatan.
Apapun penulis berpendapat demi
ketenteraman awam dan moral sepatutnya permit atau kebenaran terhadap
penganjuran mana-mana pesta arak tidak wajar dibenarkan. Tidak kiralah
di mana-mana tempat sekalipun. Kesan bahaya kepada keselamatan mereka di
sekeliling seharusnya menjadi satu faktor penolak kepada penganjuran
pesta yang dianjurkan semata-mata untuk arak. Tanpa pesta arak
sekalipun, sudah banyak insiden berlaku terutama melibatkan kemalangan
disebabkan kecuaian pemandu mabuk sehingga ada yang mengakibatkan
kematian.
Arak atau mana-mana minuman yang beralkohol
masih boleh dijual atau didagangkan dengan syarat mematuhi garis panduan
yang dibenarkan oleh undang-undang. Permit untuk menjual arak juga
diperlukan oleh peniaga. Cara penjualan minuman yang memabukkan ini
telah diberikan melalui garis panduan dalam Peraturan-Peraturan Makanan
1985 (Peraturan Makanan).
Jika dilihat
dalam Peraturan 361 sehingga 386A Peraturan Makanan, telah dinyatakan
garis panduan mengenai minuman beralkohol termasuklah mengenai standard
am bagi alkohol, pembungkusan minuman alkohol serta kandungan bagi
minuman alkohol. Malah sekiranya diperhatikan di bawah Peraturan 361(2A)
misalnya, pembungkusan minuman alkohol perlu diletakkan perkataan
‘Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan’ dengan menggunakan huruf
tidak kurang daripada 12 poin.
Menerusi
Peraturan 361(4) Peraturan Makanan pula menetapkan halangan bagi menjual
apa-apa minuman beralkohol kepada individu di bawah umur 21 tahun. Di
bawah Peraturan Makanan ini juga dinyatakan bahawa penjualan arak di
kedai-kedai runcit atau kaunter jualan hendaklah dipamerkan di kabinet
atau rak yang berasingan daripada rak yang digunakan untuk makanan.
Seterusnya
sub-peraturan 8 menyatakan kegagalan mematuhi peraturan ini adalah satu
kesalahan dan boleh apabila disabitkan kesalahan didenda tidak melebihi
RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun.
Ini
menunjukkan dalam aspek kesihatan pelbagai garis panduan telah
ditetapkan sekaligus membuktikan bahawa mengambil minuman beralkohol
bukanlah sesuatu yang mudah. Sekalipun terdapat garis panduan mengenai
penjualan minuman beralkohol, tetap terdapat minuman keras yang tidak
memenuhi tatacara peraturan dan perundangan. Ini telah mengundang banyak
masalah sehinggalah ada yang menyebabkan kemalangan jiwa. Contohnya
insiden baru-baru ini yang melibatkan minuman alkohol beracun.
Malahan,
mabuk sehingga mendatangkan masalah kepada orang lain merupakan satu
kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM25
atau dipenjara untuk tempoh tak melebihi 14 hari dan bagi kesalahan
kedua atau berikutnya boleh dihukum denda tidak melebihi RM100 atau
dipenjara tidak melebihi tiga bulan penjara atau kedua-duanya.
Di
bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, memandu dalam keadaan
mabuk membolehkan seseorang pemandu itu didenda maksimum RM20,000 dan
juga dipenjara maksimum 10 tahun.
Tuntasnya,
penolakan terhadap pesta arak tidak bermakna masyarakat Islam menafikan
pilihan masyarakat bukan Islam untuk mengambil minuman alkohol. Tiada
undang-undang bertulis yang melarang mereka daripada melakukan
sedemikian. Yang menjadi kesalahan adalah sekiranya peminum arak
mengambil keputusan untuk memandu dalam keadaan mabuk atau mabuk
sehingga mengganggu ketenteraman awam. Maka kebenaran untuk menjual dan
membeli arak tidak seharusnya dianggap sesuatu yang boleh dibenarkan
sewenang-wenangnya.
PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.