Merungkai isu teksi dan Grab
Oleh
SEDIH
mendengar keluhan pemandu-pemandu teksi di Pulau Langkawi semasa
perjumpaan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.
Sukarnya kehidupan mereka akibat kehadiran Grab. Isu ini tidak terbatas
di Langkawi tetapi di tempat lain. Begitulah liku-liku kehidupan dalam
mencari rezeki.Nasib pemandu teksi ini mungkin sama dengan orang lain
yang dihimpit kesulitan termasuk nasib penoreh getah di Kampung Dalam
Wang, Baling, Kedah. Indahnya nama kampung itu tetapi khabarnya mereka
tidak dapat menoreh selama dua bulan. Pokok getah ada tetapi hasil tidak
ada sehingga terbentuk Tabung Bantuan Penoreh Getah & Fakir Miskin.
Sama seperti pemandu teksi,
kenderaan ada tetapi penumpang tidak ada kerana ‘disambar’ orang lain.
Ada pemandu yang berkata, hanya menunggu masa mencabut meter dan
dijadikan Grab atau ‘gantung’ streng. Teksi dan Grab menjadi isu sejak
sehari dua ini apabila timbul laporan kononnya Grab akan mengambil alih
perkhidmatan bas perantara di stesen MRT. Setiausaha Politik Menteri
Kewangan, Tony Pua didakwa mengeluarkan kenyataan itu. Bagaimanapun Ahli
Parlimen Damansara itu menafikan sebaliknya menjelaskan tambahan
perkhidmatan kepada pengguna yang membabitkan koperasi antara bas dan
Grab. Matlamatnya supaya pengguna mempunyai pilihan pengangkutan yang
sampai ke pintu rumah. Persoalannya kenapa Grab sahaja sedangkan banyak
teksi dan syarikat lain mempunyai perkhidmatan e-hailing?
Isu ini menimbulkan rasa tidak puas hati
dalam kalangan pemandu-pemandu teksi di Lembah Klang yang mahu bersemuka
dengan Tony Pua. Inilah akibatnya kenyataan yang tidak berhati-hati
lebih-lebih lagi melibatkan kementerian lain. Isu ini sepatutnya
ditangani oleh Kementerian Pengangkutan yang diketuai oleh Anthony Loke
Siew Fook. Adakah ini yang dikatakan lebih sudu dari kuah?
Semalam, isu
teksi dan grab bertambah panas di Langkawi. Menyelak kembali isu di
pulau bebas cukai itu, pada penghujung bulan April 2018, dalam satu
kempen menjelang pilihan raya umum (PRU), Dr. Mahathir yang menjadi
calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Langkawi, berjanji untuk
mengkaji aplikasi e-hailing Grab bagi membela nasib pemandu teksi dan
kereta sewa. Beliau tidak berjanji menghapuskan Grab tetapi mahu mencari
mekanisme yang lebih adil bagi membantu pemandu-pemandu teksi di
seluruh negara. Dr. Mahathir dilaporkan berkata, “Masalah Grab ini bukan
hanya Langkawi tapi seluruh Malaysia. Grab merugikan pemandu teksi
biasa, perkara ini akan dikaji supaya servis teksi yang adil kepada
semua pihak, ini akan kita lakukan apabila kita ambil alih kerajaan
nanti,”. Begitulah janji PRU.
Semalam,
Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri menjawab persoalan mengenai teksi
dan Grab.
Semasa dialog itu, pemandu-pemandu teksi mahu Grab diharamkan
di Langkawi. Malangnya Dr. Mahathir tidak dapat menunaikan permintaan
itu. Perjumpaan itu kecoh apabila segelintir pemandu teksi bertindak
keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau.
Lebih malang ada yang mengeluarkan kata-kata kesat sedangkan Dr.
Mahathir berjanji mahu mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu
berkenaan demi manfaat semua pihak. Beliau menunjukkan kesungguhan mahu
membantu golongan pemandu teksi. Katanya, isu ini sudah dibincangkan
berkali-kali semasa mesyuarat Kabinet tetapi nampaknya tidak ada
perkembangan.
Perdana Menteri mungkin
kecewa kerana selepas lima bulan, isu ini berlarutan sedangkan beliau
sudah berjanji. Katanya: “Kalau tak percaya saya boleh buat, buat
sendirilah. Tengok apa jadi. Saya nak tolong. Tapi kalau tak ada bantuan
kepada saya, saya tak boleh tolonglah. Saya bukan nak jadi perdana
menteri. Saya bersara dah tapi orang panggil balik. Sebab itu saya
datang. Kalau tak nak saya jadi perdana menteri hari ini pun saya letak
jawatan. Tak ada masalah bagi saya,”. Mungkin Anthony Loke boleh
menjawab. Adakah Dr. Mahathir merajuk atau terguris dengan apa yang
berlaku di Langkawi? Isu ini tidak seharusnya memberi tekanan kepada Dr.
Mahathir. Lumrah alam, kadang-kadang orang yang tertekan tidak dapat
menahan kesabaran.
Hakikatnya, orang
yang lebih layak untuk merajuk adalah pemandu teksi. Apa lagi yang ada
kepada mereka selepas kehilangan penumpang, hilang Bantuan Rakyat
1Malaysia (BRIM), Bantuan Tayar 1Malaysia dan kad bantuan Teksi
1Malaysia RM800. Hanya mereka yang terlibat secara langsung dalam
industri ini tahu masalah yang dihadapi. Berat mata memandang berat lagi
bahu memikul.
Memang benar kata Dr,
Mahathir, bukan senang untuk menghapuskan Grab termasuk di Langkawi.
Grab kini menjadi punca pendapatan sama ada secara tetap atau sambilan.
Masing-masing mahu mencari pendapatan. Bagi yang bekerja tetap mahu
menambah pendapatan dan yang tidak bekerja, Grab elakkan mereka
menganggur. Perkhidmatan Grab tidak dicemburui oleh pemandu teksi
sekiranya syarat-syarat yang dikenakan sama seperti teksi. Dalam hal
ini, mungkin mantan Pengerusi SPAD, Syed Hamid Albar boleh bersama-sama
menyelesaikan masalah ini. Sebagai orang berpengalaman selama tujuh
tahun di SPAD, Syed Hamid mungkin dapat memberi idea bagi merungkai
kekusutan bersama Dr. Mahathir dan Anthony Loke.
Grab menjadi satu keperluan yang
tidak mungkin dihapuskan terutama di Lembah Klang dan di bandar-bandar
utama lain. Jumlahnya mungkin boleh dikurangkan atau dikenakan beberapa
syarat tertentu supaya lebih adil dan seimbang. Contohnya di Langkawi,
jika jumlah teksi sudah melebihi 1,600 serta kereta sewa pandu sendiri
jauh mencukupi, maka kurangkan Grab. Faktor tambang dan keselesaan yang
menyebabkan penumpang memilih Grab juga harus diambil kira supaya lebih
adil kepada pengguna. Wujudkan sistem yang adil supaya pengambilan
penumpang di lapangan terbang lebih saksama.
Apa
yang penting, kerajaan perlu melihat secara keseluruhan isu ini supaya
nasib pemandu teksi lebih terbela. Bajet 2019 perlu melihat nasib
golongan ini yang bergantung sepenuhnya kepada memandu teksi atau kereta
sewa supaya mereka tidak ‘kecundang’ kepada Grab. Carilah kaedah
terbaik untuk memastikan teksi dan Grab bersaing secara sihat.
Masing-masing ada masalah. Ugut mengugut bukan cara penyelesaian.
Berilah keutamaan kepada kesaksamaan.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.