MRT2 : Implikasi keputusan Kementerian Kewangan
Oleh MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
KEMENTERIAN Kewangan
telah membuat keputusan untuk membuka semula tender terbuka di peringkat
antarabangsa bagi kerja-kerja bawah tanah MRT2 yang belum disiapkan.
Keputusan tersebut didedahkan dalam satu
kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan bertarikh 7
Oktober 2018 (Ahad) yang lalu. Semua kerja bawah tanah telah ditamatkan
ekoran kegagalan untuk mencapai persetujuan dan penyelesaian kos antara
Kerajaan Persekutuan dan MMC-Gamuda.
Terdahulu, pihak Kementerian Kewangan
telah menerima tawaran daripada MMC-Gamuda untuk mengurangkan kos
kerja-kerja pembinaan MRT2 atas tanah daripada kos asal bernilai RM22.64
bilion kepada RM17.42 bilion.
Pengurangan sebanyak RM5.22 bilion atau
23% berjaya dicapai setelah merasionalisasi skop kerja dan menukar model
kerja daripada Rakan Pelaksana Projek (PDP) kepada turnkey contract tunggal.
Menurut jawapan balas daripada pihak
MMC-Gamuda, pihaknya telah menawarkan pengurangan sebanyak RM2.3 bilion
atau 24% bagi kerja-kerja pembinaan MRT2 bawah tanah. Perbincangan awal
telah dilakukan dengan Kementerian Kewangan sejak dua bulan lalu.
Namun, Kementerian Kewangan hanya
bersetuju dengan tawaran pembinaan kerja-kerja atas tanah dan sistem
sahaja. Kerja-kerja bawah tanah yang telah disiapkan menjangkau 40%,
manakala baki yang masih belum diselesaikan adalah bernilai RM 9.6
bilion lagi.
Akibat daripada penamatan kontrak
kerja-kerja bawah tanah ini, seramai lebih 20,000 tenaga kerja daripada
600 syarikat pembekalan di Malaysia telah kehilangan kerja. Kira-kira
60% daripada 3,000 pekerja tersebut adalah kakitangan bumiputera
MMC-Gamuda sendiri.
Sementara itu, pihak MMC-Gamuda juga
turut akan terdedah dengan tindakan undang-undang daripada pelbagai
pihak disebabkan oleh penamatan kontrak yang bukan kerana kesalahan
mereka sendiri.
Pihak MMC-Gamuda juga layak untuk
menuntut sejumlah pampasan yang wajar daripada Kementerian Kewangan
merangkumi pampasan penamatan kerja-kerja yang telah disiapkan, kos-kos
pembinaan, pra tempahan input-input pembinaan, penyelenggaraan pembinaan
dan beberapa fi yang lain.
MRT2 adalah projek strategik
pengangkutan rel awam di kawasan berkepadatan tinggi di Lembah Klang
yang menghubungkan jajaran Sungai Buloh, Serdang dan Putrajaya. Projek
ini telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 26 Februari 2014 dan MRT
Corporation yang merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan
dilantik sebagai pemilik dan pengurus.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.