Adakah internet Malaysia memuaskan?
Oleh Nabila Yasmin Razib
MALAYSIA
mahu menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 namun bagaimanakah ia
mampu mencapai status negara itu jika kualiti dan mutu perkhidmatan
jalur lebar masih tidak memuaskan?
Awal minggu ini kecoh isu berkaitan
perkhidmatan jalur lebar Unifi dan Streamyx yang ditawarkan Telekom
Malaysia Bhd. (TM) dikhabarkan menerima paling banyak aduan tahun ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) memaklumkan, aduan pengguna terhadap perkhidmatan TM pada tahun
ini meningkat 43 peratus dengan 7,946 kes daripada 4,528 kes pada 2017
sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi berbanding syarikat penyedia
telekomunikasi lain.
Biarpun TM telah
mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kedudukan sebenar berkenaan
beberapa isu dan aduan berkaitan produk dan perkhidmatan, harga serta
gangguan yang dihadapi para penggunanya, pengguna masih tidak jelas
mengapa TM sebagai sebuah syarikat telekomunikasi terbesar negara masih
gagal menawarkan mutu dan kualiti perkhidmatan yang setanding dengan
negara-negara maju.
Untuk rekod, Malaysia
merupakan negara ke-26 memiliki kadar kelajuan jalur lebar terpantas di
dunia, naik 10 anak tangga pada bulan lalu berdasarkan kaji selidik
dikeluarkan The Speedtest Global Index (SGI).
Kaji
selidik itu menamakan Singapura sebagai negara dengan kadar kelajuan
internet terpantas iaitu pada 181.47 Mbps, diikuti Iceland (153.26
Mbps); Hong Kong (131.05 Mbps); Romania (129.43 Mbps) dan Korea Selatan
112.73 Mbps.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak berkata, purata
kelajuan jalur lebar negara kini berada pada tahap 61.97 megabit sesaat
(Mbps) sekali gus menunjukkan rakyat menikmati kadar internet yang lebih
signifikan.
Biarpun itu merupakan berita
positif, namun ia hanya permulaan dan masih banyak usaha perlu dilakukan
SKMM, kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan kelajuan dan
kualiti jalur lebar yang dinikmati rakyat setimpal dengan harga yang
dibayar.
Menerusi Belanjawan 2019 pula,
kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi melaksanakan Pelan Gentian Optik
dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) untuk menggalakkan perkembangan
ekonomi digital.
Menteri Kewangan, Lim Guan
Eng berkata, pelan itu bertujuan membangunkan infrastruktur jalur lebar
dalam usaha memastikan pengagihan spektrum dilaksanakan dengan lebih
efektif.
Selain itu, perkhidmatan jalur lebar
berkelajuan tinggi juga disasarkan mencapai 30 Mbsp di kawasan luar
bandar serta kawasan terpencil dalam tempoh lima tahun bagi membolehkan
Malaysia mencapai infrastruktur bertaraf dunia dengan harga yang
berpatutan.
Langkah yang dilakukan kerajaan
ini dilihat bertepatan dengan peralihan ekonomi negara ke arah
mengembangkan dan memperkasakan ekonomi digital dalam kalangan
masyarakat.
Untuk itu, diharap pihak-pihak
pemain industri dapat mengambil peluang dan terus serius dalam
menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi kerana potensi
ekonomi yang dapat dijana melalui penggunaan internet hari ini amat
besar.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.