https://critoxium.com/shop/

Terkini

Batal IPP Untuk Ringankan Beban

Oleh A Kadir Jasin

DASAR “cash is king” kerajaan lama Barisan Nasional (BN) menular secara sistematik dan berleluasa sehingga boleh dikatakan tidak ada institusi yang tidak diperalatkan.

Penyiasatan oleh kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) dengan bantuan Majlis Penasihat Ekonomi (Council of Emiment Persons/CEP) mendapati sistem pemberian kontrak dan konsesi zaman kleptokrasi (kerajaan yang mencuri) merugikan negara dan membebankan rakyat jelata.

Bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak mengamalkan dasar “duit adalah raja” dengan harapan mendapat taat setia dan sokongan semua lapisan masyarakat tanpa pengecualian.

Antara badan yang teruk dibebani oleh amalan ini adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ini berkesudahan dengan kerajaan membatalkan beberapa lesen konsesi penjana elektrik bebas (IPP) yang dikeluarkan pada beliau.

Pemberian tidak terkawal lesen IPP ini menyebabkan TNB dibebani kos operasi tambahan apabila terpaksa (atau dipaksa) membeli elektrik yang tidak diperlukan yang dijana oleh IPP.

TNB pula akan memindahkan beban kos itu kepada pengguna dalam bentuk tarif elektrik yang lebih mahal.

Dalam bahasa yang mudah, pengguna dipaksa membayar tarif yang lebih tinggi daripada sepatutnya supaya pemegang konsesi IPP mendapat keuntungan terjamin selama sehingga 25 tahun.

Walaupun penjanaan menggunakan sistem IPP telah membantu menjamin bekalan yang stabil, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini terlalu banyak lesen IPP dikeluarkan.

Boleh dikatakan semua lesen baru ini diputuskan secara rundingan terus dan kebanyakan penerimanya adalah orang yang tidak pernah terlibat dengan penjanaan elektrik atau yang sepatutnya tidak terbabit dengan perniagaan.

Akibatnya TNB, sebagai pembeli tunggal elektrik yang dijana oleh IPP di Semenanjung, mempunyai bekalan yang tidak diperlukan yang jauh lebih tinggi daripada margin rizab (reserve margin) 30 peratus yang diperlukan.

Margin rizab ini diperlukan untuk menghadapi kemungkinan seperti permintaan yang naik secara mendadak atau apabila berlaku penutupan penjana kerana kecemasan atau untuk penyelenggaraan.
Empat Lesen Batal

Pada 25 Oktober lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mengumumkan pembatalan empat lesen IPP atas alasan gagal mematuhi syarat.
Empat lesen IPP yang dibatalkan itu adalah:

1.Usaha sama Malakoff Corp Bhd-TNB di Kapar, Selangor dengan daya penjanaan 700MW menggunakan gas;

2.Aman Majestic Sdn Bhd-TNB di Paka, Terengganu dengan keupayaan 1,400MW menggunakan gas;

3.Penjana hidro usaha sama Sabah Development Energy (Sandakan) Sdn Bhd - SM Hydro Energy Sdn Bhd di Sandakan, Sabah; dan

4.Penjanaan tenaga solar 400MW oleh Edra Power Holdings Sdn Bhd milik China. Edra ini asalnya milik 1MDB, tetapi dijual kepada China untuk bayar balik sebahagian hutang 1MDB.

Sumber-sumber memberitahu dua buah lagi projek sedang dipertimbangkan pembatalannya, iaitu Tadamax di Pulau Indah, Selangor dengan cadangan kapasiti 1,400MW dan THB Power Sdn Bhd dengan cadangan kapasiti 1,400MW juga di Gurun, Kedah.

Tanpa penjana-penjana ini pun, bekalan elektrik yang terpaksa dibeli oleh TNB dalam jangka pendek akan melebihi rizab yang ditetapkan.

Misalnya, apabila IPP Tuah milik Edra di Melaka mula beroperasi pada tahun 2021, rizab TNB akan melambung kepada 46 peratus dan jika pembinaan IPP yang sudah dilesenkan itu diteruskan, lebihan akan meningkat kepada hampir 50 peratus pada tahun 2024.

Dalam bahasa yang mudah, pengguna dijadikan mangsa dengan kadar tarif elektrik yang lebih tinggi daripada sepatutnya semata-mata bagi memperkayakan beberapa orang kenamaan dan kapitalis.

Identiti mereka bukanlah rahsia tetapi saya tidak akan dedahkannya kerana projek mereka telah pun dibatalkan dan mungkin mencetuskan satu lagi kontroversi jika dihebahkan.

Ironinya, lembaga pengarah dan pengurusan kanan TNB yang membuat keputusan merugikan itu masih belum diganti walaupun ada khabar mengatakan mereka akan ditukar tidak lama lagi.

Mereka ini wajib mengambil tanggungjawab atas keputusan yang mereka buat tidak kiralah sama ada mereka melakukannya secara bebas atau kerana wahyu daripada kerajaan lama.

Kesimpulannya, kalau BN terus berkuasa dan penjanaan elektrik yang berlebihan ini diteruskan maka TNB akan dibebani bekalan berlebihan dan pengguna dipaksa membayar kadar tarif yang lebih tinggi.

Tekanan harga elektrik tetap ada kerana kos penjanaan akan naik jika harga gas dan arang batu naik. Tetapi setidak-tidaknya buat masa ini tekanan harga kerana bekalan yang berlebihan sedang dikurangkan dengan pembatalan empat hingga enam IPP berkenaan.

Sementara itu, dalam Belanjawan 2019, kerajaan telah mengumumkan penambahan subsidi elektrik kepada pengguna kecil daripada RM20 sebulan kepada RM40.


























Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.