Belanjawan 2019 :Manifestasi Kerajaan PH
REFORMASI
institusi yang menjadi teras pertama pembentangan Belanjawan 2019 yang
bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ oleh
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Jumaat, 2 November lalu dilihat
sebagai satu manifestasi dan keazaman Kerajaan Pakatan Harapan (PH)
untuk memulihkan kepercayaan rakyat selain pada masa yang sama
memastikan keterbukaan, ketelusan, mengelakkan ketirisan, rasuah dan
juga meningkatkan integriti.
Semasa diwawancara oleh wartawan HAFIZAHRIL HAMID, SAHIDAN JAAFAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, pakar ekonomi yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), TAN SRI DR. NOOR AZLAN GHAZALI mengakui usaha mereformasi institusi merupakan satu langkah baru Kerajaan PH yang selayaknya diberikan pujian.
WARTAWAN: Secara umum boleh Tan Sri ulas tentang belanjawan tahun ini yang bertemakan Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera berbanding dengan Bajet 2018 oleh kerajaan terdahulu?
WARTAWAN: Secara umum boleh Tan Sri ulas tentang belanjawan tahun ini yang bertemakan Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera berbanding dengan Bajet 2018 oleh kerajaan terdahulu?
DR. NOOR AZLAN: Saya memang
dengar pembentangan bajet hampir tiap-tiap tahun, kalau kita ambil dari
segi nada juga dari segi penekanan, secara umum dalam konteks kepada
rakyat dan kepada ekonomi, hampir sama bagi saya. Bagi saya dalam
konteks mensejahterakan rakyat nampak gayanya bagus. Kerajaan PH dan
Barisan Nasional (BN) dalam nada yang sama mempamerkan bahawa kerajaan
berada di sini untuk membantu kumpulan-kumpulan yang berpendapatan
rendah. Sebab itu saya kata nadanya sama mungkin irama dan lagunya
berbeza-beza.
Cumanya, yang mungkin membezakan sedikit di
bahagian yang pertama, reformasi institusi yang hendak dilaksanakan.
Saya kira itu mungkin manifestasi laungan kerajaan PH dari mula lagi.
Ini sesuatu yang bagus bagi saya. Dalam belanjawan ini saya lihat kalau
yang dikatakan belanjawan PH ialah teras yang pertama (Reformasi
Institusi). Teras yang pertama itu memang laungan kerajaan PH dari awal
lagi. Jadi, pada bahagian ini kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana
mengetengahkan sesuatu untuk mereka melaksanakannya.
Maksudnya, dalam konteks hendak memastikan
bahawa pengurusan kewangan kerajaan akan ditadbir dengan lebih cekap dan
teratur kerana dasar mereka atau apa yang dibawa oleh kerajaan PH,
terdapat kelonggaran dan mungkin kepincangan dalam pengurusan kewangan.
Jadi sebab itu mereka meletakkan pemulihan institusi dan kaedah-kaedah
kewangan kerajaan itu sebagai perkara pertama.
Kalau tadi ada disebut umpamanya dalam
konteks zero based budgeting ini ialah pengkaedahan tidak mengatakan
yang sebelum ini salah tetapi pengkaedahan yang memerlukan kita lebih
teliti dan memastikan bahawa dana yang diperuntukkan itu menepati kepada
matlamatnya.
Contoh, katalah tahun lepas saya mengurus
sebuah institusi dengan RM100 juta jadi andaian saya pada tahun depan
saya bermula dengan RM100 juta kalau nak tambah atau kurang. Tapi, dalam
konteks zero based budgeting dia bermula dengan kosong. Jadi, dengan
cara itu kita akan menilai semula apakah keperluan sebenar. Itu
pengkaedahan belanjawan.
Pengkaedahan yang lebih kompleks tetapi
memerlukan kita meneliti semula amalan-amalan yang lepas. Bagi saya
pengkaedahan yang baru itu bagus tetapi adalah juga
komplikasi-komplikasi yang timbul. Keduanya dalam konteks bagi
memastikan keterbukaan. Pastinya dalam memperkukuhkan integriti,
mengelakkan ketirisan dan juga isu-isu rasuah dan sebagainya.
Maka pengkaedahan dari segi perolehan itu
juga akan dibuat dengan cara berbeza. Di hujung pembentangan belanjawan
disebut bahawa pengukuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jadi nampak penekanan mereka di situ. Yang ketiganya adalah Pejabat
Pengurusan Hutang. Ini kerana PH mendapati bahawa penyataan, pelaporan
hutang dan proses-proses yang menyebabkan kerajaan sama ada berhutang
atau komited untuk membayar hutang sekiranya sesuatu berlaku atau
kadangkalanya berlaku off balancing.
Tidak dinyatakan secara khusus umpamanya
dalam konteks Perkongsian Swasta Awam (PPP), Inisiatif Pembiayaan Swasta
(PFI) dan sebagainya. Jadi mereka merasakan perlu adanya satu pejabat
pusat yang menyelaraskan pelapor dan memastikan pengurusan pengambilan
hutang dan penambahan hutang dilaksanakan secara yang teratur.
Cumanya, dalam konteks hutang ini yang saya
terasa bukan sangsi umpamanya defisit akan melebar semula walaupun tak
banyak tetapi relatifnya banyak kepada 3.7 peratus kemudian ia turun
balik. Sasaran sebenarnya tahun ini ialah 2.8 peratus dan sekarang kita
pergi balik kepada 3.7 peratus dan tahun depan 3.4 peratus, 3.0 peratus
pada 2020 dan pada 2021 sebanyak 2.8 peratus.
Kalau sasaran 2.8 peratus tahun ini, bererti
sasaran itu dianjak kepada ke hadapan balik tiga tahun. Di situ penting
kerana dalam konteks memastikan defisit terkawal dan dalam masa yang
sama kita berada dalam ranking yang baik. Kita hendak tengok reaksi
agensi-agensi penarafan antarabangsa yang sering melihat bahawa defisit
Malaysia terlalu besar. Macam mana hendak bayar balik, mengawal defisit
dan sebagainya.
Ada beberapa cukai baharu yang akan
diperkenalkan. Apakah hasil daripada cukai itu mampu menampung
kehilangan pendapatan negara ekoran pemansuhan cukai barang dan
perkhidmatan (GST)?
DR. NOOR AZLAN: Tentang
bahagian kedua dalam teras pertama iaitu usaha-usaha untuk meningkatkan
kutipan cukai, saya perlu melihat data yang lebih jelas tentang
kaedah-kaedah cukai yang baharu ini. Ada cukai untuk ke luar negara.
Kalau kita pergi ke negara-negara ASEAN, ada cukai RM20 dan kalau bukan
ASEAN RM40. Memang ada negara-negara yang membuat kaedah sedemikian
tetapi yang kita nak lihat apakah sasaran kutipannya.
Sebab itu saya sebut kita hendak kutip jumlah
cukai atau soal tingkah laku (behavior). Katalah tidak ada yang keluar
negara maka kutipannya rendah. Adakah kita hendak menggesa rakyat
Malaysia melancong dalam negara atau kalau rakyat tak keluar negara
bererti kutipan cukai tidak akan berlaku. Adakah ia hendak menampung
semula cukai yang kita semua sedia maklum bila GST dihapuskan, kutipan
cukai itu turun.
Sama juga ada disebutkan tentang cukai
minuman bergula. Adakah kita hendak pungut cukai atau hendak ubah soal
tingkah laku rakyat minum minuman bergula. Kalau tengok duti berkaitan
lesen berkaitan judi, kita sedia maklum dalam agama Islam perjudian itu
haram. Noktah. Kalau tidak dikawal membawa lebih banyak keburukan.
Soalnya adakah dengan perkenal cukai judi
ini, ia akan mewujudkan judi haram yang tidak ada cukai? Tingkah laku
boleh berlaku begitu juga. Sama dengan rokok. Begitu juga dengan arak.
Kita dengar ramai mati baru-baru ini akibat minum arak beracun.
Buruh-buruh kasar dan sebagainya pergi kepada yang haram. Benda ini
langsung tidak ada cukai.
Nampaknya kerajaan PH masih meneruskan pemberian subsidi bersasar. Ini nampaknya disambut baik oleh rakyat.
DR. NOOR AZLAN: Pemberian
subsidi yang disebut berkali-kali subsidi bersasar telah diperkenalkan
kali ini dan diperkukuh. Sebagai ahli ekonomi saya bersetuju dengan
konsep susbsidi bersasar. Cumanya dalam konteks umum nampak baik, boleh
mengurangkan perbelanjaan subsidi ia juga boleh memastikan bantuan
sampai kepada kumpulan disasarkan. Namun, timbul soal pelaksanaan.
Samalah dulu kita bagi subsidi diesel kepada
nelayan. Apa yang berlaku mereka jual diesel di tengah laut. Hari ini
kita akan beri subsidi 100 liter subsidi RON95 kepada pemilik kereta
1,500 cc ke bawah atau motosikal 125 cc ke bawah. Dari segi ini
dengarnya bagus, bagaimana pelaksanaannya? Adakah ia hanya untuk
kumpulan berpendapatan rendah?
Saya lebih cenderung begitu. Sebab itu saya
suka kalau boleh kumpulan yang dikatakan berpendapatan rendah ini perlu
ada pendaftaran pusat. Kalau tidak susah untuk kita mengenal pasti.
Umpamanya, kadang-kadang keluarga yang berpendapatan tinggi mereka ada
kenderaan yang besar, sederhana, kecil semua ada. Jadi macam mana
mekanismenya? Adakah mekanisme mengikut pendaftaran Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ), mengikut nama pemilik kereta atau bagaimana?
Bagaimana kita nak memastikan pelaksanaan itu
berkesan? Sebab sekarang bila kamu beri saya hak untuk mendapat 100
liter, saya dapat minyak 30 sen lebih murah. Itu sebenarnya yang
berlaku. Jadi bererti, nak guna atau tak guna. Lebih baik guna. Nanti
adalah wujud pasaran yang dibina sendiri. Saya harap ini tidak akan
berlaku. Tapi penting ada kaedah kawalan yang baik dan mengenal pasti
identiti yang layak.
Kemudian ada juga rasionalisasi dari segi
bantuan sara hidup yang dulunya dipanggil Bantuan Rakyat 1 Malaysia
(BR1M). Sekarang ini diwujudkan sela pendapatan. Bawah RM2,000, kemudian
RM2,001 hingga RM 3,000 dan RM3,001 hingga RM4,000. Itu menarik pada
saya. Tidak kira di mana mereka dapat bantuan RM500. Tapi,
pengenalpastian identiti mesti jelas.
Sebelum ini, kerajaan mendakwa hutang
negara terlalu tinggi iaitu RM1 trilion. Tetapi kita nampak peruntukan
untuk Belanjawan 2019 bertambah berbanding belanjawan tahun lalu. Apa
komen Tan Sri?
DR. NOOR AZLAN: Dalam
Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) disebut
dan tadi pun disebut. Saya ingat kerajaan sudah memperjelaskan dengan
betul (hutang) RM686 bilion itu direkodkan secara rasmi. Bila diambil
komitmen dalam konteks jaminan, komitmen untuk membayar di tahun-tahun
akan datang, kita tengok keseluruhan dalam RM240 bilion. Bila dicampur
keseluruhan baru capai RM1 trilion.
Dari segi ekonomi, saya berasakan eloklah
kita hentikan kecelaruan ini dan terima fakta bahawa mengikut penyata
perakaunan antarabangsa, hutang kita berada pada purata sebelum ini,
50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Tetapi kita ada beberapa dimensi yang kita
terima. Ada kontingensi. Kalau kita buat jaminan banyak sangat, susah
kalau orang yang kita jamin tak bayar. Tetapi kalau anak-anak kita
hendak buat pinjaman kita beri sahaja tetapi janganlah terlalu banyak
sampai di luar kawalan.
Jadi, untuk Malaysia terus bergerak ke
hadapan, saya mengajak semua rakyat Malaysia termasuk kerajaan dan parti
politik, marilah kita fokus ke arah memperkukuhkan ekonomi. Perbetulkan
kedudukan fiskal dan tidak ada lagi perbalahan dari segi takrifan yang
mungkin penting untuk tujuan politik tetapi bagi kami atau saya sebagai
ahli ekonomi, kadang-kadang runsing dengan perbalahan ini.
Ahli ekonomi pun kadang-kadang jadi ragu-ragu
dan takut untuk menyebutkan beberapa fakta. Biarlah kita jelas dengan
perkara ini. Sekarang kita sudah ada kerajaan baharu dan kita semua beri
sokongan terbaik kepada kerajaan baharu. Kerajaan baharu juga
menjalankan tanggungjawab sebaik-baik mungkin bagi memastikan Malaysia
berada di atas landasan kukuh, kemas dan boleh membawa negara lebih
cemerlang.
Tun Dr. Mahathir Mohamad menyebut
bahawa Malaysia umpama Harimau Asia yang selama ini tidur lena, sekarang
bangkit mengaum semula. Apa komen Tan Sri?
DR. NOOR AZLAN: Itu
pandangan Dr. Mahathir. Tetapi kalau kita tengok dari segi beberapa
ranking antarabangsa seperti baru-baru ini di tangga ke-15 dalam Laporan
Menjalankan Perniagaan 2019 Bank Dunia serta dalam konteks daya saing
negara antara 22 dan 23. Itu bukan negara yang tidur. Tidak mungkin.
Kalau kamu tidur, kamu tidak berada pada kedudukan itu. Jadi bererti
kamu sedang berjaya.
Tetapi tidak apa. Mungkin maksud Dr. Mahathir
untuk melihat kita lebih rancak untuk menyusun kerangka ekonomi negara
kita. Satu isu besar yang saya harap dapat selesaikan nanti ialah jurang
pendapatan. Bukan isu kemiskinan sebenarnya di Malaysia tetapi isu ada
kumpulan masyarakat yang tidak dapat menyertai pertumbuhan ekonomi
sebaik dengan kumpulan satu lagi. Itu isu sebenar. Jangan kita keliru.
Rakyat Malaysia tidak miskin. Isu yang membuatkan rakyat berasa tertekan
dengan cara hidup hari ini. Keperluan hidup kini pun sudah berbeza.
Kalau dahulu, mana ada empat buah kereta di
sebuah rumah tetapi sekarang itu sudah lumrah. Mereka bukan orang kaya,
orang biasa. Kita kena faham masalah yang kita hadapi lebih untuk
memastikan kualiti hidup bertambah baik. Jadi yang kita harapkan ialah
dengan adanya perancangan-perancangan baharu, kemakmuran yang dikongsi
bersama dapat benar-benar diwujudkan dan rakyat merasai manfaat.
Hari ini macam konteks harga rumah, saya
tidak nampak langkah-langkah khusus yang betul-betul boleh menyelesaikan
masalah ini.Ada bantuan, contohnya pinjaman perumahan dipanjangkan
daripada 30 tahun kepada 35 tahun. Tetapi harga rumah sama. Jadi bererti
adanya beberapa rangka kerja dicadangkan yang mungkin membolehkan orang
memiliki rumah tetapi isu pokok yang menyebabkan harga rumah naik di
luar kebiasaan, kita belum tangani lagi.
Apakah Belanjawan 2019 ini dilihat mampu menjadi penampan sekiranya krisis ekonomi berlaku?
DR. NOOR AZLAN: Tidak
begitu banyak disebut. Saya agak risau juga. Kalau unjuran ekonomi
memang betul. Bagi tahun 2019, Bank Dunia dan sebagainya meramalkan
pertumbuhan ekonomi akan turun kepada 4.6 peratus untuk Malaysia. Mudah
sahaja. Bila ekonomi dunia lembab atau pasaran tidak begitu baik, maka
ekonomi dalam negara kena mantap. Kita perlu melihat bagaimana hendak
merancakkan ekonomi dalam negara.
Ada teras ketiga tadi tentang mewujudkan
budaya keusahawanan yang mana sejak lima tahun lalu kita bercakap
tentang perkara itu. Tapi itu agak berjangka panjang. Jadi, kena
lihatlah kalau perlu suntikan (belanjawan) seperti yang pernah berlaku
beberapa kali di Malaysia bila kita dihentak dengan keadaan ekonomi yang
tidak begitu kukuh.
Tetapi dengan defisit yang mencecah 3.7
peratus, apakah kita mempunyai apa yang saya sebut sebagai penampan
tadi. Kita harap suasana ekonomi dunia akan lebih baik dan harga
komoditi juga meningkat dan pasaran eksport baharu dibuka. Jadi, perlu
adanya misi perdagangan lebih hebat, kerancakan ekonomi dalam negara
dapat diwujudkan dan sebagainya, saya harap kita dapat melayari fasa
getir itu dengan baik.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.