https://critoxium.com/shop/

Terkini

Doa " Usah Jadi TUhan,Jadilah Hamba Tuhan

Oleh Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi 

1. Allah adalah Tuhan untuk semua. Sama ada seseorang percaya Allah atau tidak, percaya Allah mengikut khayalannya, atau khayalan pengasas kepercayaannya, Allah tetap Tuhannya 2. Ketuhanan Allah tidak ternafi, atau susut, atau tidak terpakai dengan wujudnya orang yang beriman atau tidak beriman dengan ketuhanan-Nya.

3. Allah tidak memerlukan doa hamba-Nya untuk jadi Tuhan, tapi hamba memerlukan Allah untuk jadi hamba.

4. Allah berhak memperkenankan doa hamba-Nya dalam apa bentuk doa sekalipun. Bahkan Allah boleh dan sudah memberi kepada hamba-Nya begitu banyak nikmat tanpa memerlukan doa mereka.

5. Justeru, jika ada mana-mana orang berdoa kepada Allah dengan caranya sendiri, siapa kita untuk mempersoalkan doanya itu? Siapa yang jadi Tuhan, kita atau Allah?

6. Dalam al-Quran, Allah menceritakan orang kafir yang berdoa kepada Allah ketika kapal mereka hampir tenggelam, dan Allah memperkenankan doa mereka sehingga selamat sampai ke pelabuhan.
7. Oleh kerana mereka orang kafir, tentulah doa mereka kepada Allah mengikut kefahaman dan cara mereka. Menakjubkan, Allah memperkenankan doa mereka walaupun mereka kafir.

8. Dalam hal doa ini, usahlah pertikaikan doa orang lain, kerana doa mereka kepada Allah bukan kepada kita. Allah yang menilai doa mereka, bukan kita.

9. Berdoalah kepada Allah dimana-mana sahaja, ketika seorang diri, ketika bersama orang Islam atau orang bukan Islam. Dimana-mana saja, bila-bila masa saja, Allah adalah Allah, Tuhan untuk semua.

10. Maqasid doa ialah tarbiah iaitu mendidik seseorang untuk patuh dan taat kepada Allah, memperbaiki diri sendiri, mengelak kerosakan, mengukuhkan persaudaraan dan menggalakkan beramal.

11. Jadi usahlah risau tentang orang yang berdoa kepada Allah kerana dia sedang mendidik dirinya untuk menempatkan dirinya sebagai hamba kepada Allah.

12. Siapa pun orang itu, jika dia mahu menempatkan dirinya sebagai hamba melalui doa, biarkanlah dia. Siapa kita untuk menghalangnya berdoa kepada Allah, sebab Allah juga Tuhannya.

13. Jadilah hamba kepada Tuhan, jangan jadi Tuhan. Jangan halang orang lain untuk jadi hamba Tuhan, dan jangan perasan hanya kita saja hamba Tuhan.

14.Allah Tuhan untuk semua bukan Tuhan kita saja.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.