Melaka dalam sejarah panjang perjuangan rakyat
Oleh ZIN MAHMUD
Setiap negeri dalam Malaysia mempunyai keistimewaan masing-masing, lebih-lebih lagi Melaka.
Sebagai seorang anak kelahiran Batu Pahat, Johor, tentulah saya menghayati kisah bagaimana pahlawan-pahlawan Melaka dapat mengusir askar-askar Siam dengan bantuan Orang Laut Pulau Sialu di pantai Minyak Beku.
Mereka sedang dalam perjalanan untuk menyerang dan menakluk Melaka pada 1456.
Seperti anak Malaysia yang lain, tentulah saya juga dididik dengan sejarah Melaka dan memandangnya sebagai kerajaan warisan bagi Malaysia. Saya membaca kitab Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin atau Salasilah Para Sultan) atas minat semasa di tingkatan dua pada 1973.
Pada tahun itu juga saya membaca buku Pelayaran Abdullah oleh Munsyi Abdullah, bapa kesusasteraan moden Melayu yang berpangkalan di Melaka. Hakikatnya ialah bahawa pada zaman itu, Melaka bukanlah sebuah Negeri Melayu (Malay State) tetapi merupakan petempatan kolonial British.
Justeru seperti Singapura dan Pulau Pinang, ia menjadi pusat pemikiran moden yang bebas daripada pantang larang kerajaan Melayu.
Oleh kerana keluarga saya tinggal di Kuala Lumpur; maka seringkali Melaka menjadi tempat persinggahan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung antara 1966 hingga 1969.
Pada masa itu bas ekspres ke selatan hanyalah dengan laluan Kuala Lumpur ke Melaka, dan Melaka ke Singapura.
Pada 1966 itu, suasana di sekitar kota A Famosa adalah tenang dan permai. Dataran Pahlawan belum wujud lagi. Apa yang ada ialah sebuah padang hijau dan dari situ kelihatan Selat Melaka terbentang luas.
Ungkapan terkenal hingga kini
Pada PRU 1969, DAP pertama kali bertanding dan setiausaha agungnya, Lim Kit Siang, menang di kawasan parlimen Kota Melaka. Lim berasal dari Batu Pahat dan awalnya dicadangkan bertanding di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Tetapi atas rundingan dengan Gerakan, DAP memberi laluan kepada Gerakan di Bukit Bintang, manakala Gerakan memberi laluan kepada DAP di Kota Melaka.
Maka Lim menang besar dengan memperoleh 18,562 undi termasuk daripada penyokong Gerakan. Dia mengalahkan calon MCA yang mewakili Perikatan, Tan Kee Gak yang hanya memperoleh 7,346 undi.
Seorang lagi calon, Hasnul Hadi dari Parti Rakyat Malaya (PRM) memperoleh 4,621 undi.
Tetapi saya mula mengetahui mengenai peranan Melaka dalam perjuangan kemerdekaan melalui novel Tulang-tulang Berserakan oleh Usman Awang. Dalam novel itu diceritakan mengenai seorang anggota polis yang mengawal kongres kedua Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 1946.
PKMM ditubuhkan pada tahun 1945 dan kisah kongres itu ada diceritakan dalam memoir Ahmad Boestamam berjudul Merintis Jalan Ke Puncak. Ahmad Boestamam.
Di kongres itu, Yang Dipertua PKMM, Dr Burhanuddin Helmi, menampilkan ungnkapan kemerdekaan yang terkenal: “Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka.”
Apabila PKMM dibubarkan oleh British dan selepas Burhanuddin dibebaskan dari tahanan, dia dipilih pula sebagai Yang Dipertua PAS ketiga (1956 hingga 1969).
Sementara itu seorang aktivis PKMM menyertai Umno, Ghafar Baba kemudian muncul bukan saja sebagai pemimpin Melaka tetapi menjadi tokoh berpengaruh di peringkat nasional.
Kemerdekaan negara dicapai melalui usaha rundingan oleh Perikatan yang setelah berjaya, satu perhimpunan dan perarakan besar-besaran diadakan di Melaka pada 29 Feb 1956.
Ghafar menjadi Ketua Menteri Melaka kedua dari 1959 hingga 1967. Selepas itu, dia memimpin Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baru ditubuhkan atas minat untuk membantu rakyat kebanyakan meningkatkan kedudukan ekonomi mereka.
Anggapan terlalu naif, simplistik
Dia menjadi Pengerusi Mara dari 1967 hingga 1971. Dalam pada itu pada 1968 Ghafar menyertai kabinet sebagai menteri tidak berpotfolio sebelum perjalanan politiknya berlanjutan sehingga akhirnya menjadi timbalan perdana menteri dari 1986 hingga 1991.
Dalam PRU 1986, Ghafar bertanding di Jasin – kawasan yang diwakilinya sejak dua penggal sebelum itu (1974 dan 1978). Sudah tentu dia mampu memang besar dengan mudah. Ghafar memperoleh lebih 20,000 undi.
Pencabarnya, Rahimin Bani, ialah seorang ustaz muda dari PAS. Dia – yang datang pada hari penamaan calon dengan memakai jubah dan berserban – memperoleh lebih 6,000 undi.
Pada 1986 itu, PAS meletakkan calon paling ramai berbanding pilihan raya lain yang disertai parti itu. Itu jugalah kali pertama PAS bertanding di bawah kepimpinan baru iaitu Yusof Rawa (Yusof Abdullah ar-Rawi).
Walaupun amat sukar PAS untuk menang di mana-mana kerusi pun ketika itu, semangat mereka adalah tinggi, dengan Abdul Hadi Awang selaku Naib Yang Dipertua PAS menganggap perjuangan mereka adalah melawan fahaman sekularisme dan asabiah yang dibawa Umno.
Semasa itu ada anggapan bahawa fahaman sekularisme dan asabiah adalah masalah akar bagi korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Diyakini bahawa jika sistem sekular digantikan dengan Islam, maka korupsi tidak akan berlaku.
Bagi PAS, masakan seorang yang teguh imannya akan melakukan korupsi. Namun anggapan itu terlalu naif dan simplistik. Burhanuddin Helmi.
Walaupun dalam PRU itu PAS hanya berjaya memperoleh satu kerusi parlimen iaitu Pengkalan Chepa di Kelantan, parti itu mula bertapak di semua negeri termasuk Melaka.
Kerajaan BN menggunakan pelbagai cara, baik undang-undang tahanan tanpa bicara iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mahupun secara politik, birokrasi dan media melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk menekan pembangkang terutamanya PAS.
Antara yang dikenakan tindakan ialah aktivis PAS dari Temerloh, Suhaimi Said. Dia seorang peguam yang lantang dan merupakan aktivis PRM sebelum menyertai PAS.
Ada satu ketika dia dibuang daerah ke Melaka. Tetapi di Melaka pula, Suhaimi terus aktif. Saya pernah menghadiri satu majlis ceramah dan demonstrasi menyokong Iran yang dianjurkan Suhaimi di Melaka pada 1987.
Penyokong-penyokong PAS amat bersemangat ketika itu, lebih-lebih lagi AS sedang menekan Iran.
Dalam pemilihan Umno pada 1987, Dr Mahathir Mohamad beregu dengan Ghafar menentang pasangan Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam. Sudah tentu regu Mahathir menang.
Maka dalam PRU 1990, kedudukan BN Melaka tidak terjejas walaupun PAS dan DAP menyokong Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh.
Tetapi Umno sentiasa bergolak. Maka menjelang pemilihan parti pada 1991, muncul apa yang disebut sebagai Team Wawasan diketuai Anwar Ibrahim. Ia merupakan satu pakatan calon-calon pemilihan untuk memenangkan Anwar bagi jawatan timbalan presiden. Team Wawasan yang dibentuk menjelang pemilihan Umno pada 1991.
Anggota pasukan itu pula ialah calon yang mahu mengisi jawatan naib presiden, ketua pemuda dan ketua wanita.
Mereka terdiri daripada Muhammad Muhd Taib, Najib Razak, Muhyiddin Yassin, Rahim Thamby Chik dan Dr Zaharah Sulaiman.
Rahim ialah Ketua Menteri Melaka yang telah mengubah negeri itu menjadi maju dan membangun dengan banyak meningkatkan sektor pelancongan.
Namun begitu, 1990-an menyaksikan bukan saja negara bersemangat untuk maju dalam kerangka Wawasan 2020 tetapi terdapat satu kecenderungan dalam kalangan orang Melayu untuk menjadi orang kaya segera dengan tidak mengambil berat terhadap kesalahan korupsi dan penyalahgunaan kuasa.
Team Wawasan ini tidak bertahan lama. Muhammad yang merupakan Menteri Besar Selangor menghadapi masalah integriti. Begitu juga dengan Rahim. Akhirnya Anwar sendiri pun tersingkir.
Kekok tak berketuakan Umno
Apabila muncul gerakan Reformasi pada 1998, Umno pun berpecah dengan sebahagiannya menyertai Parti Keadilan Nasional. Seorang pemimpin parti itu muncul di Melaka iaitu Khalid Jaafar yang cenderong pada wacana falsafah dan ideologi.
BN Melaka tetap menang pada PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013 walaupun PKR, PAS dan DAP berpakat dan akhirnya menubuhkan Pakatan Rakyat.
Hanya pada PRU 2018 BN Melaka tumbang ketika Pakatan Rakyat sudah terbubar dan PAS berpecah dengan lahirnya Amanah yang ditubuhkan pada 2015.
Apa yang menumbangkan BN Melaka ialah perpecahan Umno yang melahirkan Bersatu. Penyertaan Bersatu ke dalam PH – yang sudah dianggotai PKR, DAP dan Amanah – berjaya buat pertama kalinya mengubah landskap politik negara termasuk di Melaka.
PH mendapat majoriti dengan menguasai Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Maka Melaka memperoleh ketua menteri dari Amanah iaitu Adly Zahari.
Tentulah ia merupakan satu kejutan budaya bagi Amanah.
Sebahagian besar anggota Amanah adalah bekas PAS yang menyertai parti itu pada 1980-an ketika semangat Revolusi Iran sedang berkobar. Sebagai pihak pembangkang selama sekitar 30 tahun, tiba-tiba mereka perlu memimpin jentera kerajaan yang sejak merdeka dicorakkan oleh budaya Umno.
Saya dapat tahu bahawa mereka terkejut juga dengan amalan-amalan Umno selama ini. Anggota perkhidmatan awam pula berasa kekok berketuakan ahli politik bukan Umno.
Ternyata kerajaan negeri PH tahun 2018 – seperti yang dijangka – tidak bertahan lama. Pengkhianatan berlaku dalam kalangan ahli PKR dan juga Bersatu melalui Langkah Sheraton hingga menyebabkan pentadbiran Adly tumbang pada 2020.
Sememangnya tanpa Bersatu, PH sukar untuk memenangi PRN pada Nov ini. Keadaan lebih sukar dengan adanya Bersama yang boleh memecahkan undi PH.
Tetapi perjuangan mereka yang percaya pada fahaman dan amalan politik PH mesti diteruskan, tidak kira sama ada dapat menubuhkan kerajaan negeri atau tidak.
Strategi adalah suatu perkara penting tetapi prinsip dan pegangan juga merupakan hal yang juga utama. Perjuangan untuk rakyat yang dirintis sejak kongres pertama PKMM pada 1945 tetap diteruskan walaupun sudah berganti generasi dalam suasana politik yang banyak berubah.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.