https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dr Maszlee, Paksi dan prinsip berkata benar

Oleh Dinsman

Dalam dunia seni dan sastera Malaysia kini ada yang bertanya kenapa Seniman Paksi Rakyat (Paksi) tiba-tiba berubah perangai apabila kerajaan berubah? Kalau dulu Paksi menjarakkan diri daripada kerajaan dengan berbagai alasan tidak bersetuju itu dan ini yang dilakukan kerajaan, mengapa pula sekarang Paksi mendekati dan mendekatkan diri dengan kerajaan?

Bahkan dalam Paksi sendiri pun ada peribadi yang menunjukkan tanda-tanda kurang senang dengan pendekatan induk Paksi mendekatkan diri dengan kerajaan sekarang, yang dilihatnya kurang memihak kepada Islam dan kepada Melayu, khasnya bahasa Melayu.
Apakah Paksi tidak lagi berpegang kepada prinsipnya berani berkata benar dan berpihak kepada yang benar?
Biar saya cuba jelaskan mana-mana yang dapat saya jelaskan, tanpa tujuan menolak pandangan-pandangan yang mempersoalkan kewajaran tindak-tanduk Paksi mutakhir ini.

Pertama, Paksi tetap berpegang kepada prinsip berkata benar dan berpihak kepada yang benar. Maksudnya, kalau Paksi dilihat berpihak kepada yang tidak benar maka Paksi bersedia untuk mengubah pendiriannya itu sekiranya ditunjukkan di manakah salahnya itu.

Paksi menjarakkan diri dengan kerajaan pimpinan Najib sebelum ini kerana percaya yang kerajaan itu banyak berbohong dalam pentadbiran, menipu rakyat, rasuah, dan mencuri hak rakyat. Paksi hairan dan pelik bagaimana ramai kawan-kawannya boleh bersekongkol dengan pihak kerajaan yang jahat seperti itu.

Sekarang kerajaan jahat itu telah dijatuhkan dan pentadbiran diambilalih oleh kerajaan baru yang pimpinannya terdiri daripada, sebahagiannya, tokoh-tokoh politik yang saya pernah sepentas dan sejalanraya dengan mereka dalam gerakan Reformasi pimpinan Anwar Ibrahim sejak 1998.
Memang Paksi berpihak kepada pihak yang berusaha menjatuhkan kerajaan Najib-Rosmah itu, atas dasar dan prinsip berkata benar dan berpihak kepada yang benar. Maka secara automatisnya Paksi pun terus berpihak kepada kerajaan baru hari ini, sehingga suatu hari nanti kalau terbukti bahawa kerajaan baru ini pun “berbohong dalam pentadbiran, menipu rakyat, rasuah dan mencuri hak rakyat” seperti kerajaan sebelum ini, maka Paksi akan mengambil pendirian menentangnya.

Buat masa ini kerajaan baru Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim adalah “rakan kongsi” Paksi dalam menentukan kehidupan baru masyarakat Malaysia pasca Mei 2018. Mereka dalam politik dan pentadbiran kerajaan, manakala Paksi dalam urusan aktiviti dan pengkaryaan seni-budaya, yang dianggap memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan hidup masyarakat negara ini.

Mengenai persoalan prinsip apakah seniman-budayawan-intelektual itu wajar atau tidak berdekatan dengan pihak pemerintah/penguasa, dalam menentukan bahawa prinsip berkata benar dan memihak kepada yang benar itu dipatuhi, saya berpendapat buat masa ini ada keperluan lain yang lebih utama, iaitu memberi pengisian yang betul kepada pihak kerajaan agar mereka dapat melaksanakannya secara berkesan.

Itulah yang cuba dilakukan oleh Paksi setakat ini – mengadakan pertemuan dengan pihak menteri-menteri dalam program-program tertentu, untuk kita sampaikan maklumat-maklumat berkaitan seni-budaya dan keilmuan, ke arah pelaksanaan yang lebih berkesan.

Yang terbaru misalnya kita bertemu dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, di pejabatnya di Putrajaya. Antara agenda utama tentulah berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, yang menjadi kerisauan ramai sasterawan, budayawan dan pencinta bahasa Melayu.

Alhamdulillah, Dr Maszlee memberikan penjelasannya, khasnya mengenai masalah DLP dalam pengajaran di sekolah-sekolah. Penjelasannya dapat mendamaikan kerisauan kami, bahkan diterima dan disokong oleh seorang guru dalam rombongan kami, yang memang terlibat dalam pengajaran di sekolahnya.

Bahawsa pelaksanaan DLP sekarang sedang dalam proses untuk ditamatkan, beransur-ansur mengikut pelajar-pelajar yang sedang melalui pelaksanaannya. Dan ia tidak akan dilaksanakan ke atas pelajar-pelajar baru.

Selain itu Dr Maszlee juga menerima baik cadangan Paksi untuk mengadakan “Kongres Budaya Memajukan Bangsa Melayu” yang sekarang sedang ditekuni pengisiannya oleh Prof Shaharir dan Dr Alinor. Kongres ini dijadualkan pada bulan April 2019.

Dr Maszlee juga bersetuju dengan penganjuran Seminar Teater Islam yang akan dilaksanakan oleh sebuah badan yang dinamakan Pusat Teater Islam Dunia (PTID), yang akan diadakan pada 22 Disember ini. Seminar ini diuruskan oleh Lena Farida Chin bersama Natasha Tasha (UPSI).

Dr Maszlee akan menyampaikan ucaptama dalam seminar ini, manakala Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis) akan membentang makalah utama mengenai teater dalam Islam. Seorang aktivis teater terkenal di Indonesia, Muhammad Ibrahim Ilyas, juga akan hadir membincangkan teater Islam di Indonesia.

Dalam perbualan yang saya anggap paling terbuka dan santai selama lebih satu jam itu sempatlah kami bercerita-cerita mengenai dunia penulisan dan penulis-penulis di Malaysia, dan apabila beliau menyebut Himpunan Penulis Malaysia yang akan dibuat pada 16 November ini, saya menyatakan yang saya tidak akan hadir kerana ada yang saya kurang bersetuju.

Namun setelah membincangkan hal yang saya kurang bersetuju itu dan beliau memahaminya, beliau memeinta saya dan Yassin Salleh hadir juga dan membaca puisi di perhimpunan itu. Ya, kami pun berjanji akan hadir.

Dan tiba-tiba Dr Maszlee bertanya, “Bila nak buat teater Nabi Yusuf?” sambil menceritakan bahawa Teater Nabi Yusuf itulah yang memulakan persahabatan kami beberapa tahun yang lalu.

Ketika Dr Mohd Asri menjadi Mufti Perlis kali pertama dulu dia menganjurkan perbincangan
skrip teater itu di kalangan Majlis Mufti Negeri Perlis, dan Dr Maszlee hadir membincangkan kedudukan lakonan watak Nabi dalam hukum Islam.

Insya Allah, “Teater Nabi Yusuf” akan dipentaskan pada tahun hadapan – 2019.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.