Empati sewajarnya dijadikan satu teras penting dalam dasar ekonomi;
ini sangat praktikal dari segi politik dan ekonomi. Kita mesti sentiasa
beringat bahawa semasa pilihan raya, undi seorang jutawan dan undi
seorang rakyat marhaen mempunyai nilai yang sama.
Apabila kita
meneliti legasi ekonomi yang ditinggalkan oleh mantan perdana menteri
Najib Razak, amat jelas sekali kurangnya nilai empati. Kita perlu
belajar daripada kegagalan ekonomi Najib jika kita mahu negara bergerak
maju ke hadapan.
Pertama sekali, bagaimana Najib tewas?
Selain
daripada rompakan perbendaharaan negara melalui 1MDB dan pelbagai
skandal yang lain yang secara langsung telah menghilangkan keyakinan
pengundi terhadap beliau, ketiadaan rasa empati terhadap kekangan
ekonomi yang dihadapi oleh rakyat turut menjadi faktor utama dalam
kekalahan BN.
Dasar ekonomi negara mestilah menjamin keseimbangan
antara kepentingan golongan kaya dan golongan rakyat biasa. Ekonomi
negara kita akan berkembang dengan mampan hanya apabila rakyat biasa
turut mampu berbelanja tanpa menanggung hutang isi rumah yang tinggi.
Sudah
lama berlalu zaman Malaysia bergantung semata-mata atas perindustrian
berorientasikan eksport melalui pelaburan langsung asing; kebergantungan
ini telah menyebabkan tahap gaji yang rendah terus kekal untuk menjamin
daya saing negara berbanding dengan negara lain.
Sebaliknya,
sejak tahun 1997, sepatutnya negara kita perlu menerajui ekonomi
berlandaskan paradigma yang baru; kita perlu kurangkan kebergantungan
kepada pekerja asing yang tidak berkemahiran, mengautomasikan industri
supaya bergerak ke atas tangga teknologi (dengan itu mengurangkan
keperluan untuk tenaga murah), dan seterusnya meningkatkan tahap gaji
pekerja mahir.
Tanpa daya ini, ada kemungkinan lebih
ramai rakyat Malaysia perlu mencari rezeki di negara lain seperti
Singapura, Australia, dan Korea Selatan.
Kenapa GTS dibenci?
Sangat
menarik untuk kita perhatikan bahawa, menurut Bank Negara, 40 peratus
daripada pekerja Malaysia di Singapura terlibat dalam sektor pekerjaan
3D (dangerous, difficult and demeaning - berbahaya, sukar, dan merendahkan maruah).
Perkara
ini jelas menafikan sentimen bahawa pekerja dari Malaysia bersikap
malas dan hanya mahukan pekerjaan yang senang; sebaliknya, soal tahap
gaji dan penyaraan hidup menjadi faktor utama dalam keputusan mereka
mencari peluang kerja di mana-mana sahaja.
Semua kekangan
terhadap rakyat ini terlepas daripada pandangan Najib. Hakikatnya, dasar
ekonomi Najib hanya berpandukan agensi penarafan dan pakar runding
seperti Idris Jala yang tidak berpijak di bumi yang nyata bersama rakyat
jelata.
Apatah lagi, mereka kurang berminat untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi secara meluas dan berani untuk melahirkan satu virtuous cycle ataupun kitaran lestrai yang akan terus meningkatkan tahap gaji, tahap kemahiran pekerja serta kecanggihan teknologi Malaysia.
Satu-satunya
dasar pekerjaan Najib adalah mengesyorkan graduan kita menjual nasi
lemak atau menjadi pemandu Grab untuk menyara hidup.
Antara
langkah kerajaan Najib yang kurang cermat ialah memperkenalkan Goods
and Services Tax (GST - Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Enam bulan
telah berlalu sejak piliha nraya pada bulan Mei, saya terkejut
mengetahui masih ramai orang yang gagal memahami kenapa GST begitu
dibenci.
Sudah tentu, GST bukan sebab tunggal yang
menyebabkan kenaikan harga barang pasaran selepas tahun 2015. Antara
faktor lain yang menyumbang kepada kenaikan harga ini ialah susutan
nilai ringgit sebanyak 30 peratus mulai Oktober 2014 dan potongan
peruntukan subsidi dan perbelanjaan kebajikan oleh kerajaan,
penyelewengan melalui 1MDB dan skandal lain.
Misalnya,
perbelanjaan pembangunan yang dibawa oleh Najib telah dianggarkan
berjumlah sekitar RM45 bilion tetapi perbelanjaan sebenar berjumlah
kurang daripada RM40 bilion pada tahun 2014 dan 2015.
Pada tahun
2016-2017, RM40 bilion telah dianggarkan, tetapi 25 peratus daripada
jumlah ini telah digunakan oleh Jabatan Perdana Menteri terutamanya
sebagai slush fund, iaitu sejenis dana untuk perbelanjaan
mengikut budi bicara beliau dan untuk diberi kepada sesiapa yang
dikehendaki oleh beliau.
Pembela GST menyatakan bahawa
cukai tersebut telah meluaskan asas cukai kerana “hanya 11 peratus
rakyat Malaysia membayar cukai langsung.” Mereka telah gagal memahami
bahawa, di sebalik hujah tersebut, selain daripada segelintir yang
mengelak cukai secara berjenayah, hampir 90 peratus rakyat Malaysia yang
lain tidak layak - dalam erti kata lain, tidak menjana hasil yang
mencukupi - untuk membayar cukai.
BN gali kubur sendiri
Pada
tahun 2011, jawatankuasa belanjawan Pakatan Rakyat, termasuk saya
sendiri, telah membawa hujah kepentingan golongan berpendapatan di
persentil 60 ke bawah perlu diberi lebih pendapatan boleh guna untuk
berbelanja tanpa berhutang.
Akan tetapi, kerajaan Najib telah
mengambil penyelesaian mudah, iaitu memberi wang terus kepada 60 peratus
daripada rakyat melalui skim BR1M dalam Belanjawan 2012.
Di
sinilah wujud kontradiksi: walaupun sudah diketahui bahawa hampir dua
pertiga daripada rakyat memerlukan bantuan sara hidup dan hanya 10
peratus daripada rakyat layak untuk membayar cukai langsung, cukai GST
yang disanjung tinggi oleh pengikut Najib tetap diperkenalkan.
Najib
sendiri pernah menjawab soalan saya di parlimen mengatakan GST akan
menjadi “penyelamat” negara. Sukar bagi saya sehingga hari ini untuk
percaya betapa berkhayalnya beliau.
Sejak 2013 lagi telah
saya memberi amaran bahawa BN telah menggali kubur sendiri dengan
memperkenalkan GST kerana cukai tersebut akan menyekat perbelanjaan yang
merupakan daya penjana ekonomi yang utama.
Malah, tindakan mengenakan cukai atas golongan yang memang belum layak membayar cukai seolah-olah membunuh diri secara politik.
Sentimen
anti-GST dalam kalangan pengundi bukan sahaja berkaitan semata-mata
dengan isu cukai, malah turut berkaitan dengan pengurusan ekonomi Najib
yang tidak berempati.
Penghapusan GST oleh kerajaan
Pakatan Harapan (PH) merupakan tindakan yang betul dan perlu dilakukan.
Cukai berbentuk regresif ini telah mengurangkan pendapatan boleh guna
rakyat.
Walau bagaimanapun, perlu saya tekankan bahawa
penghapusan GST tidak mencukupi untuk menurunkan harga barang secara
mendadak dan serta-merta.
Pengembalian kepada sistem SST akan
mengurangkan hasil kerajaan, ini bermakna ia mengutip kurang cukai
daripada masyarakat dan akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.
Dalam
konteks ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Lim
Guan Eng atas kejayaannya membentang satu belanjawan yang “mengurangkan
lemak, tetapi tidak menghilangkan otot.”
Walaupun negara kita
mengalami tekanan fiskal akibat daripada 1MDB dan hutang yang lain,
saudara Lim dan kerajaan mengambil keputusan untuk mengelakkan dasar austerity ataupun dasar jimat cermat yang boleh menyebabkan ekonomi negara terhenti.
Pengumuman
belanjawan yang lain seperti sokongan padu untuk pengangkutan awam
(yang merupakan satu faktor pengurangan pendapatan boleh guna) dan
pengiktirafan keperluan untuk meningkatkan gaji pekerja yang dalam
jangka masa panjang akan meningkatkan hasil cukai kerajaan, serta
penghapusan GST, merupakan petanda jelas bahawa kerajaan PH memahami
kepentingan adanya nilai empati dalam pengurusan ekonomi negara.
Sudah terlalu lewat untuk Najib belajar tentang falsafah ini.
LIEW CHIN TONG merupakan pengerusi DAP Johor dan timbalan menteri pertahanan.
Falsafah ekonomi yang Najib terlambat faham
Reviewed by editorreformis
on
November 12, 2018
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
KUALA LUMPUR : Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mahu masyarakat berkongsi kisah kejayaan mengenai guru yang mereka kenali supaya menj...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.