ICERD dan kedaulatan negara
Oleh
Pencetus kontroversi ini tidak
mengetahui, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan kerajaan dunia
dan resolusi, konvensyen atau protokolnya tidak semestinya dipatuhi oleh
negara anggotanya.
Mereka juga tidak menyedari, keputusan PBB mesti
dikaji secara menyeluruh oleh negara anggotanya untuk mengelakkan impak
negatif kepada nilai-nilai teras, kepentingan survival, kedaulatan dan
keselamatan nasional.
Elit tertinggi pemerintahan di negara anggota
PBB, termasuklah Menteri dan ADUN, mesti juga insaf, keputusan PBB tidak
boleh mengatasi keputusan negara yang berdaulat. Ini kerana konsep dan
sistem kenegaraan moden berdasarkan Perjanjian Damai Westphalia (1648)
menegaskan, semua negara, besar atau kecil, mempunyai hak yang sama
berkaitan kedaulatannya.
Kedaulatan negara
juga dijadikan prinsip utama undang-undang antarabangsa yang menegaskan,
sesebuah negara mempunyai kedaulatan yang eksklusif ke atas wilayahnya.
Ia juga dimaktubkan dalam Kanun PBB bahawa tidak ada suatu autoriti
boleh mengizinkan campur tangan mengenai hal ehwal yang dalam bidang
kuasa sesebuah negara.
Selain itu, Majlis
Keselamatan PBB hanya berfungsi untuk memelihara keamanan, Perhimpunan
Agung PBB untuk membincangkan isu dunia, institusi sosioekonomi PBB
untuk mewujudkan dunia yang saksama, dan institusi perundangan PBB untuk
mengasaskan undang-undang antarabangsa. (Evan Luard 1979, dalam buku
The United Nations: How It Works and What It Does).
Oleh
itu, PBB tidak boleh mengarahkan negara anggotanya mematuhi atau
mengguna pakai segala resolusi, konvensyen atau protokolnya. Hujah ini
boleh dijadikan wacana pihak yang sudah mengutip 83,000 undi membantah
ratifikasi ICERD, supaya isu ini dibantah secara komprehensif dan
menerusi gerakan terancang.
Penentang
ratifikasi ini juga wajar menyedari, ICERD yang diluluskan oleh PBB pada
1961 untuk mematahkan gerakan anti-yahudi (antisemitism) pada 1960,
berkuat kuasa pada 4 Januari 1969. Ini menunjukkan, ICERD sudah berkuat
kuasa 59 tahun dan pendirian Malaysia tidak meratifikasikannya selama
ini tidak pernah menimbulkan reaksi negatif.
Lantas,
kenapa dan bagaimanakah isu ICERD ditimbulkan dan apa motif rahsia yang
diperjuangkan pihak yang memunculkan kontroversi ini? NGO Melayu/Islam
perlu menggerakkan bantahan mengenai ratifikasi ICERD berasaskan
kemusykilan dan persoalan ini; dan menghalusinya menerusi wacana
melibatkan cendekiawan undang-undang, keselamatan dan hubungan
antarabangsa.
Persilakan Waytha Moorthy
yang memulakan kontroversi ICERD menerusi kenyataannya dalam Bernama
pada 28 Oktober lalu, hadir ke wacana itu. Tanya kepadanya, adakah
beliau memahami status dan fungsi PBB serta konsep kedaulatan negara;
dan fahamkah bahawa pengurusan keselamatan nasional, dasar luar dan
hubungan antarabangsa, adalah kuasa Perdana Menteri selaku Ketua
Eksekutif Keselamatan Nasional dan Ketua Eksekutif Dasar Luar?
Minta
penjelasan, apa maksudnya bahawa “Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa
mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan
memberi kesan kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan?”
Seterusnya,
jika Perkara 153 tidak berkait dengan ratifikasi ICERD, kenapakah
Hindraf memfailkan saman di Queen’s Bench Division, High Court of
Justice, London, pada 30 Ogos 2007, dan mendesak Perlembagaan
Persekutuan diisytiharkan sebagai tidak sah? Kenapakah dalam saman yang
sama, Hindraf mengatakan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan,
kononnya bercanggah dengan Deklarasi Hak Manusia Sejagat? Adakah benar
usaha meratifikasikan ICERD berkait dengan saman Hindraf mengenai
Perlembagaan Persekutuan pada 2007?
Di
wacana yang sama, jemput Chow Yu Hui (DUN-Tras) dan Chiong Yoke Kong
(DUN-Tanah Rata) yang mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kaitan
ratifikasi ICERD dengan Deklarasi Setapak (1967). Cari jawapan dari ADUN
DAP ini, apa maksud kenyataannya dalam akhbar (12 November 2018) bahawa
“jika parti itu (DAP) mahu menjadi sebuah parti untuk semua rakyat, ia
sepatutnya bermula dengan memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet
untuk meratifikasikan (ICERD)”.
Minta
pencerahan mengenai pendiriannya bahawa “Dalam Deklarasi Setapak,
pendirian DAP adalah sangat tegas dan kukuh bahawa warganegara Malaysia
tidak harus diasingkan dengan label bumiputera dan bukan bumiputera”.
Dapatkan jawapan, kenapakah kajian Leon Comber (1983) membayangkan
Deklarasi Setapak berkait dengan konsep Malaysian Malaysia yang
diperjuangkan Lee Kuan Yew pada 1964 hingga 1965.
Kesimpulannya,
Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan, ratifikasi ICERD akan
dihalusi secara bijaksana. Rakyat Malaysia yang prihatin, mesti
mendahului proses ini menerusi pendekatan berhemah dan berwibawa.
DATUK DR. RUHANIE AHMAD ialah lulusan ijazah PhD dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.