Jangan tinggal rakan Pas: Mahfuz
ALOR SETAR - Kejayaan Amanah perlu dilihat bukan sahaja berdasarkan penambahan ahli baharu golongan muda, sebaliknya jumlah ahli Pas yang berjaya ditarik menyertai parti itu.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, keadaan itu juga menunjukkan walaupun sudah lama meninggalkan Pas, namun pemimpin Amanah di semua peringkat tidak pernah melupakan rakan-rakan yang masih bersama parti berkenaan.
“Ini antara petunjuk prestasi utama (KPI) kita, berapa ramai dapat tarik ahli dari Pas. Kami tinggalkan parti lama (Pas) tetapi tidak sesekali tinggalkan rakan-rakan lama dalam Pas.
“Semua ahli Pas adalah saudara kami, bukan semua ahli Pas dapat terima konsep baharu parti itu yang mesra Umno,” katanya.
Mahfuz berkata, sebahagian besar ahli Pas berusia 50 tahun ke atas tidak boleh menerima pendekatan kerjasama dengan Umno, yang juga musuh tradisi namun terdapat segelintir berani isytihar menyokong Amanah secara terbuka, manakala selebihnya menyatakan sokongan secara senyap.
“Mereka ini ahli ‘otai’, berjuang habis-habisan untuk Pas sejak muda, mereka tak akan terima Umno dengan mudah kerana parti itu terpalit dengan kleptokrasi. Mungkin mereka bimbang dipulaukan jika menolak, jadi kita harus bijak gunakan kaedah sesuai ajak mereka sertai Amanah,” katanya.
“Dalam konteks Malaysia baru, ia lebih terbuka, bukan lagi taat membuta tuli. Fikirlah secara matang. Saya percaya golongan ini boleh didekati, yang penting mereka isi borang walaupun enggan aktif buat masa ini,” katanya.
Mahfuz berkata, pendekatan sama juga boleh digunakan dalam mendekati ahli Umno yang sudah muak dengan perjuangan parti itu.
“Kita gunakan pendekatan berhemah, mesra dan lemah-lembut. Ini adalah masa untuk posisikan Amanah ke kedudukan lebih utuh. Dengan 11 Ahli Parlimen sekarang, Amanah yakin jumlah itu akan bertambah pada masa akan datang.
“Ahli boleh tegur jika ada kelemahan, kami bukan sempurna. Teguran ahli berharga untuk pastikan kami berada di landasan betul. Ahli adalah cermin kepada wakil rakyat, tegurlah mana yang tak betul,” katanya.
Mahfuz turut yakin dengan gabungan PH sedia ada, walaupun dianggap baharu berusia setahun jagung.
“Saya percaya kerajaan PH akan bertahan lama. Cakap-cakap kononnya PH bakal berkubur hanya cakap politik, sama seperti dakwaan sebelum ini, Amanah hanya mampu bertahan tiga bulan, seterusnya enam bulan, sekarang sudah berusia tiga tahun,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.