Sekonyong-konyong heboh dan riuh-rendahlah akan sebuah nama Dato Maharajalela.
Daripada
tokoh bergelar kerabat anugerah orang istana yang berjasa menyahkan
seorang penjajah, tiba-tiba dikhabarkan Dato yang itu sebenarnya alim
lagi arif akal fikirannya.
Didedahkan oleh beberapa orang mutakhir
ini Dato Maharajalela yang seorang itu sebenarnya mufti. Dalam akan
ilmu pengetahuan dan makrifatnya. Dekatlah dia kepada Maha Pencipta.
Menariknya
pembongkaran identiti sebenar Dato Maharajalela itu dibuat ketika
negara ini sedang bergelora dengan semangat kemelayuannya.
Angkara Icerdlah, apa lagi.
Syahdan
dinamakan orang di negara atas angin sana bahawa Icerd itu namanya
Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi
Kaum. Adalah ia digubal dengan niat yang mencurigakan.
Di tanah
sehebat Malaysia ini, apa lagi yang boleh membakar kesedaran dan
kebangkitan kaum Melayu kalau bukan tentang semangat Melayu juga.
Disiram pula akan bara itu dengan sentimen agama. Mufti itu penjaga agamalah.
Apabila
ia dibangkitkan - misalnya oleh Tuan Guru Presiden PAS di Pasir Salak
baru-baru ini - nampaknya semacam tidak ada lagi alasan untuk orang
Melayu tidak menyokong PAS dan Umno.
Tidak ada.
Kecualilah
bagi orang yang mahu berfikir sedikit lama dan mencari sedikit jauh
daripada sekadar omelan atau bisikan dalam mimpi.
Mufti berumur lebih 100 tahun
Arakian
dimaklumkan kepada sekalian umat, Dato Maharajalela itu sesungguhnya
sebuah gelaran kebesaran cuma. Akan nama sebenarnya ialah Maharajalela
Pancung Tak Bertanya.
Kata seorang pensyarah universiti yang didakwa akan dia menumpang populariti universitinya ketika menulis untuk Malaysiakini, gelaran itu memberi lesen besar kepada batang tubuh pembawanya.
"Sesiapa yang diberi gelaran itu," katanya, "dibenarkan membunuh" oleh penguasa.
Syahdan
tahu benarlah kita akan jahatnya penguasa dulu menyembunyikan sejarah.
Tidak ada dikatakan bahawa Dato Maharajalela itu seorang mufti.
Mujur juga ada Icerd yang menjelma. Mujur juga ada himpunan perpaduan di Pasir Salak sana.
Tahulah kita bahawa sejarah itu dipesongkan oleh sesetengah orang.
Cuma
elok juga diperhatikan kenyataan ini: Akan Dato Maharajalela yang
menjadi mufti itu dikhabarkan kemungkinan besar dinamakan akan dia oleh
orang tuanya sebagai Daeng Selili.
Dia dilantik menjadi mufti
sultan Perak yang bertakhta antara 1728 hingga 1756. Sultan Muzaffar
Shah ketiga namanya, kalau tak silap hamba.
Tempat didakwa Birch dibunuh di tepi Sungai Perak
Arakian
kematian si durjana bernama JWW Birch itu berlaku pada 1875. Mengikut
ilmu kira-kira, jarak di antara 1756 hingga 1875 itu ialah tidaklah
lama. Hanya lebih kurang 119 tahun akan lamanya.
Tetapi dalam hikayat orang Melayu yang serba istimewa, bukanlah aneh untuk seseorang hidup sehingga lebih 100 tahun, bukan?
Atau
pun satu lagi kemungkinan ialah Dato Maharajalela yang membunuh Birch
si durjana itu bukanlah Daeng Selili, tetapi Pandak Lam diberi akan dia
namanya.
Mengikut perhitungan lemah hamba jika si mufti dan si
pemberani yang menghumam senjata ke tubuh Birch adalah orang yang sama,
maka ketika pegawai Benggali Putih itu menghembus nafas terakhirnya dia
sudah berusia lebih 130 tahun adanya.
Kipas biar panas
Dan
untuk makluman semua pada zaman Birch itu sudah ada pegawai istana yang
mengelolakan hal-hal agama. Imam Paduka Tuan gelarannya.
Akan hal-hal berkaitan Islam - misalnya zakat, munakahat dan seumpamanya - diuruskan oleh Imam Paduka Tuan itulah.
Dan Imam Paduka Tuan itu juga sejenis gelaran juga. Dia termasuk dalam kumpulan Orang Besar Berlapan Perak.
Jika
tuan hamba mahu tahu pada zaman Abdul Hadi Awang dan Tajuddin Abdul
Rahman menjadi pendekar Melayu ini Imam Paduka Tuan itu diberikan
gelarannya kepada Dr Afifi al-Akiti adanya.
Kubur Seputum (atau Si Putum) di depan Kompleks Sejarah Pasir Salak
Tapi
itulah. Apalah sangat dengan hakikat berbanding hikayat. Ketika
sesetengah percaturan politik negara ditentukan sedikit sebanyak oleh
mimpi, apa sangatlah yang perlu digusarkan jika sentimen perkauman
dikipas-kipas biar menyala baranya.
Kalau satu dua kipas tidak
berjaya, maka orang Melayu perlu berganding baju menjadi pengipas biar
timbul ketegangan yang lebih nyata.
Mudah-mudahan sampai sejuta
orang turun ke Kuala Lumpur apabila PAS dan Umno berarak bersama-sama.
Melayu pada fahaman sesetengah mereka - memang kena begitu.
Pemandangan Sungai Perak dari Kompleks Sejarah Pasir Salak
Ketika
Islam semakin dikenali sebagai agama yang damai dan sejahtera, satu
anutan yang membuat pengikutnya berkepala dingin dan waras, sentimen
Melayu menjadikan sesetengah kita cepat benar melatah.
Dan mahu segera meratah.
Seperti kata-kata Sasterawan Negara A Samad Said beberapa dekad silam:
Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja bila tiba detik kembalilah kita kepada-Nya kita datang ini kosong tangan kosong dada bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala
Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang bawalah bakti mesra kepada tuhan kepada insan pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang usahlah derhaka kepada Tuhan kepada insan Bila kita lihat manusia lupa tempat atau segera sesat puja darjat puja pangkat segera kita insaf kita ini punya kiblat segera kita ingat kita ini punya tekad Bila kita lihat manusia terbiar larat hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat harus kita lekas segera sedar pada tugas harus kita tegas sembah seluruh rasa belas Kita datang ini satu roh satu jasad bila pulang nanti bawalah bakti padat berkat kita datang ini satu roh satu jasad bila pulang nanti bawalah bakti padat berkat.
Tapi itulah. Kamu hanya teringat kepada sajak ketika kamu betul-betul terdesak.
Lantas kamu pun berkata: Sarang tebuan jangan dijolak. Apakah yang dimaksudkan "jolak" itu?
Entahlah,
hamba pun tidak pasti akan mafhumnya. Cuma hamba terdengar tuan guru
presiden itulah yang melafazkannya dalam pantun di Pasir Salak tempoh
hari.
Menjolak sarang tebuan di Pasir Salak
Reviewed by editorreformis
on
November 22, 2018
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Haji Mohd Anuar Tahir berkata, AMANAH yang dikatakan sebuah parti nyamuk suatu ketika dahu...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.