Misi Palu Kuat Palu Bangkit
Oleh DR SUHAZELI ABDULLAH
KAMI melihat sendiri
Palu ranap akibat gempa bumi dan diikuti tsunami. Betapa besarnya kuasa
Allah yang menghantarkan air agar manusia mengambil iktibar. Walaupun
pelbagai kisah negatif yang dibawa oleh penduduk di Palu sebelum
kejadian bencana, namun kami melihat anak bangsa Palu mulai sedar.
Masjid-masjid darurat dibina ibarat
cendawan selepas hujan. Tidak menang tangan Haji Jamuliddin Elias (Pak
Jamu), Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia mengatur para penderma
untuk membina masjid darurat. Dalam senarai yang beliau kemukakan
setakat ini, hampir 200 buah masjid dalam proses pembinaan. Tiga puluh
tiga masjid sudah terbina di seluruh Palu, Sigi dan Donggala.
Gempa bumi dan tsunami Sulawesi 2018
adalah berlaku dengan kekuatan 7.4 Magnitude diikuti dengan tsunami yang
melanda pantai barat Pulau Sulawesi, Indonesia, bahagian utara pada 28
September 2018 jam 18.02 petang. Pusat gempa berada di 26 km utara
Donggala dan 80 km barat laut kota Palu dengan kedalaman 10 km.
Gegaran dan goncangan gempa bumi
dirasakan di Kabupaten Donggala, Kota Palu, Kabupaten Parigi Moutong,
Kabupaten Sigi, Kabupaten Poso, Kabupaten Tolitoli, Kabupaten Mamuju
bahkan hingga Kota Samarinda, Kota Balikpapan, dan Kota Makassar. Gempa
tersebut menghasilkan bencana tsunami hingga ketinggian 5 meter di Kota
Palu.
Laporan berita mengesahkan seramai 1,234
orang maut akibat gempa dan tsunami tersebut. Manakala 65,733 buah
rumah atau bangunan musnah samada ditelan bumi ataupun runtuh.
Dianggarkan beratus-ratus ribu mangsa terlibat dalam bencana alam yang
terburuk pada dekad ini selepas tsunami di Aceh tahun 2004.
Tumpuan program yang kami lakukan adalah
sekitar Kabupaten Palu, Poso dan Donggala. Merawat Palu yang pilu
adalah tagline yang kami bawa. Rawatan kesihatan mental anak-anak Palu
telah kami bawa bagi mengurangkan stres mereka setelah di pukul bencana.
Selain dari itu, dengan sejumlah derma
yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia, kami agihkan kepada
pembinaan masjid, kegunaan memasak para mangsa terlibat dan bantuan
perubatan. Saya mewakili beberapa NGO seperti Papisma, Warga Cakna, Iman
Care, KT Care dan KAMI mengucapkan terima kasih atas semua sumbangan
itu. Amanah sumbangan tersebut telah disempurnakan dengan jayanya.
Saya mula memahami kenapa nama Palu
diberikan. Topalu’e yang ertinya tanah yang terangkat. Diberitakan dari
sejarah bahawa daerah ini awalnya lautan, kemudian terjadi gempa dan
pergeseran lempeng (palu koro) sehingga daerah yang tadinya lautan
tersebut terangkat dan membentuk daratan lembah yang sekarang menjadi
Kota Palu. Sejarah terakhir gegaran gempa yang berlaku di Sulawesi ini
sekitar 90-an.
Oleh yang demikian sudah tidak jadi
kepelikan bagi kaum yang veteran di sana merasai gegaran. Tetapi bagi
golongan muda dan generasi baharu sudah mula lupa bahawa Sulawesi dan
Indonesia keseluruhannya terdiri dari lingkaran merapi. Malah generasi
muda tidak menyangka boleh berlakunya tsunami.
Sekali Allah beri peringatan kepada
warga Sulawesi, boleh dibuat iktibar oleh semua umat bahawa Allah Maha
Kuasa segalanya. Manusia adalah makhluk yang tiada daya, hanya kepadaNya
kita semua berserah.
Kita mendoakan warga Palu kuat dan warga
Palu bangkit dari musibah yang melanda ini. Kita akan terus membantu
sekadar mampu untuk menyalurkan bantuan.
Misi Kemanusiaan Palu
24.11.2018
Jalan Anggur Palu
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.