Mustahil 40 ahli Parlimen BN keluar parti
SEBERANG JAYA - Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan adalah mustahil untuk 40 ahli Parlimen BN akan keluar parti seperti yang didakwa sebelum ini.
Menurutnya, walaupun pelbagai ugutan dan usaha untuk menguburkan Umno, beliau percaya, kesemua ahli Parlimen BN akan tetap setia dengan parti dan tidak akan menyertai Bersatu.
Tambahnya, ia merupakan tindakan untuk mewujudkan perspektif negatif rakyat kepada Umno.
"Mustahil mereka akan meninggalkan parti kerana semua yang ada kini, sanggup untuk bekerja keras demi memenangi semula PRU15 nanti.
"Aset utama Umno adalah ahli Parlimen dan Adun.Oleh itu, jangan cuba beli Umno kerana Umno ada maruah dan harga diri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 ahli Umno Pulau Pinang di Perjumpaan Khas Presiden Umno bersama Umno Pulau Pinang di sini tadi.
Ahmad Zahid turut mengakui kelemahan parti itu dalam PRU14 lalu dan berjanji akan memperbaikinya pada pilihan raya akan datang.
"Hakikatnya, Umno dah berjasa sekian lama. Memang benar, kita tidak sempurna dan kita bukan maksum. Pasti kita ada kelemahan. Namun, kelemahan itu akan diperbaiki untuk Umno direlevankan semula.
"ALLAH turunkan ujian dengan kekalahan ini, kita anggap ia sebagai satu kifarah kerana kita bukan sempurna. Namun, adakah kerajaan yang ada sekarang ini sempurna?
"Sebab itu, Umno perlu bangkit untuk membela nasib rakyat yang kini telah ditipu oleh kerajaan sekarang. Semakin ramai rakyat menderita dengan kepimpinan kerajaan sekarang. Bangkit lah Umno untuk rakyat," katanya.
Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin mendedahkan terdapat kemungkinan 40 lagi ahli Parlimen Umno akan keluar parti kerana menyatakan hasrat untuk menyertai mereka selepas ini.
Beliau berkata, kesemua mereka itu juga telah beberapa kali bertemu Pengerusi Bersatu,Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan perkara itu.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.