Sebab itulah pertimbangan dalam politik ialah yang mana lebih untung! Dan ada yang berkata apabila orang berpolitik bercakap, jangan lihat fizikalnya tetapi lihatlah bayangnya. Bahasa mudah, dalam tubuh seorang ahli politik ada pelbagai watak.

Atas sebab itulah tidak perlu mana-mana pihak berasa terkejut apatah lagi teruja apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Setiawangsa meluluskan usul meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tidak perlu pelik pun dengan usul seumpama itu walaupun PPBM merupakan salah sebuah parti dalam Pakatan Harapan yang telah menandatangani perjanjian bahawa jawatan nombor satu negara tersebut akan diserahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini Ahli Parlimen Port Dickson.

Inilah politik. Segala-galanya berkemungkinan. Perjanjian belum tentu dipatuhi kerana ‘ia bukan kitab suci’. Persetujuan di mulut belum tentu di hati. Mungkin juga mulut kata lain, hati terdetik lain, minda fikir lain, tangan buat lain. Justeru itulah dalam politik ada kes lompat parti atas alasan ‘untuk membolehkan memberi khidmat berkesan’ biarpun berpuluh-puluh tahun menikmati kesenangan dengan parti lama.

Usul PPBM Setiawangsa agak menarik kerana seolah-olah kebetulan pula dengan desas-desus berlakunya ‘risik merisik’ antara ahli-ahli Parlimen. Macam-macam kita dengar, ada pertemuan sana sini, bincang sana, bincang sini, orang ini jadi ‘broker’, orang itu jadi ‘broker’. 

Sebelum ini pun kita sudah dengar ‘usul’ seumpama itu melalui kenyataan beberapa pemimpin termasuk dalam kalangan parti pembangkang dan dalam parti kerajaan pun ada pemimpin sudah memberi isyarat ‘kami tahu apa kamu buat’.

Maka tercetuslah andaian dan spekulasi ada parti politik yang mendapat kerusi tidak banyak dalam parti memerintah sedang mengumpul kekuatan bagi membolehkan usul PPBM Bahagian Setiawangsa tersebut menjadi kenyataan.

Mungkin segalanya kebetulan tetapi gosip politik berhubung ‘risik merisik’ itu sudah sampai pada tahap dianggap boleh menjadi ‘kejutan politik akhir tahun’. 

Tetapi sama ada ia sampai pada tahap ‘meminang’ dan ‘berkahwin’ hanya Allah SWT sahaja maha mengetahui. Ini kerana dalam politik, apapun rahsia atau apa juga gerakan pasti akan diketahui, tidak kira serahsia manapun ia dilakukan.

Biarpun khabarnya, gerakan itu agak serius tetapi penentangan bagi mengelakkan ‘perkahwinan’ tersebut juga agak kuat sehingga wujudnya istilah ‘pelarian politik’.

Yang menentang pula bukannya berpegang sangat kepada prinsip tetapi bimbang, kalaulah ‘perkahwinan’ itu menjadi kenyataan kedudukan mereka akan terjejas.

Dalam politik mana ada prinsip. Kalau betul-betul berpegang kepada prinsip sudah lama, politik Malaysia tidak haru-biru macam hari ini. Kelam kabut, hiruk pikuk.

Pada masa sama, kita pun tidak tahu siapa yang akan terkorban atau dikorbankan dalam senario untuk mencetuskan ‘kejutan politik akhir tahun’ ini. Mungkin yang mahu menghalang terkorban dan mungkin juga yang merancang jadi korban. Segalanya berkemungkinan.

Apa yang pasti semakin dekat menjadi ‘mangsa korban’ adalah rakyat. Sejak PRU-14 lalu, tidak habis-habis mereka dipaksa menonton adegan politik, selain berteka-teki siapa lagi akan menjadi ‘tetamu kehormat’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rakyat semakin bingung, bosan, muak dan keliru dengan babak-babak politik dipamerkan. Yang ada dalam kerajaan, asyik salahkan kerajaan terdahulu, yang menjadi pembangkang pula masih belum ampuh.

Paling meresahkan mereka ialah kalaulah betul ada gerakan ‘risik merisik’ sehingga membawa ‘ke jenjang pelamin’ politik, pasti yang disingkirkan atau tersingkir akan bertindak balas. Letih macam ini, kata mereka.

Namun mahu tidak mahu, inilah yang sedang berlaku dalam arena politik tanah air. Politik kebencian terpilih sedang terjadi. Mereka yang dilihat mampu merealisasikan impian ‘perkahwinan politik’ sedang dirisik manakala yang dibenci sudah disenaraikan awal-awal lagi akan ditolak.

Penulis percaya, adegan ‘risik merisik’ ini akan berterusan kerana khabarnya mahu dipastikan ‘diijab kabul’ tahun ini juga. Sama ada ia berjaya atau tidak, sama-sama kita nanti. Kalau berlaku memang sahlah, ‘kejutan politik akhir tahun’ 20 tahun lalu berulang? Apa maksudnya? Bak kata Ustaz Kazim Elias “faham, faham, tak faham sudah.”

Tetapi yang perlu diingat, sehebat manapun ahli politik tersebut ia disebabkan oleh rakyat. Merekalah yang menentukan sama ada ahli atau sesebuah parti politik itu akan berjaya atau tidak, berkuasa atau tidak. 

Oleh itu boleh sahaja untuk terus melakukan apa juga gerakan politik bagi mencapai agenda masing-masing, tetapi jangan lupa rakyat sedang melihat dan menilai. Jangan sampai kali ini giliran ahli politik pula berada pada kedudukan ‘yang dikendong tak dapat yang dikejar berciciran’, ‘menang sorak kampung tergadai’. Seronokkan!

Sebab itulah pertimbangan dalam politik ialah yang mana lebih untung! Dan ada 
yang berkata apabila 
orang berpolitik bercakap, jangan lihat fizikalnya 
tetapi lihatlah bayangnya. Bahasa mudah, dalam 
tubuh seorang ahli 
politik ada pelbagai watak.”