PAS-Umno anjur himpunan bantah ICERD 8 Dis
PASIR SALAK: PAS dan
Umno akan mengadakan himpunan besar-besaran di ibu negara pada 8
Disember ini bagi membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa
Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul
Hadi Awang, berkata perhimpunan itu bertujuan menyatakan bantahan orang
Melayu dan Islam terhadap tindakan Kerajaan PH yang dikatakan mahu
meratifikasi atau mengesahkan ICERD.
Katanya lagi, himpunan itu bukan mahu menimbulkan huru-hara tetapi mahu membetulkan keadaan.
"Kita nak buat perhimpunan aman, rakyat
majoriti berhak bersuara,” katanya semasa berucap pada Himpunan
Perpaduan Ummah di pekan Kampung Gajah, di sini malam tadi.
Kira-kira 30,000 ahli PAS dan Umno hadir
pada perhimpunan yang dihadiri kepimpinan tertinggi kedua-dua parti
berkenaan termasuk Presiden Umno, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, P Waytha Moorthy, dilaporkan menyatakan kerajaan akan
meratifikasi atau mengesahkan enam bentuk perjanjian antarabangsa
termasuk ICERD dalam suku pertama tahun depan.
Bagaimanapun, semalam, Waytha dipetik
sebagai berkata kerajaan masih tiada kata putus berhubung hasrat
meratifikasi konvensyen berkenaan dan sesi mendapatkan pandangan serta
maklum balas daripada semua pihak berkaitan perkara itu akan dimulakan
pada Januari depan.
Mengulas lanjut, Tuan Guru Abdul Hadi
berkata, berdasarkan sejarah, PAS dan Umno akan bersatu apabila ada
kepentingan bersama terutama membabitkan isu orang Islam dan Bumiputera.
Menurutnya, bekas Presiden Umno, Tunku
Abdul Rahman Putra dan bekas Yang Dipertua PAS (kini disebut Presiden)
almarhum Dr Burhanuddin al-Helmy berkongsi pentas di Melaka bagi
menuntut kemerdekaan.
Begitu juga, katanya selepas peristiwa
13 Mei 1969 apabila PAS bersama Umno dan parti komponen lain membentuk
Barisan Nasional (BN).
Katanya, Umno, PAS, MCA dan MIC
sama-sama membentuk Perlembagaan Negara yang antara lain mengiktiraf
Islam sebagai agama persekutuan dan hak istimewa orang Melayu.
Bagaimanapun, katanya, sekarang ada
pemimpin kerajaan yang baru ‘setahun jagung’ memegang jawatan mahu cuba
membawa unsur luar yang menghakis inti pati Perlembagaan dan menuduh
pula orang yang menentang ICERD sebagai tidak faham perkara itu.
Mat Kilau berjiwa pahlawan,
Menghunus keris melompat pagar,
Lampu hijau boleh berjalan,
Lampu merah jangan dilanggar.
Pasir tuan Pasir Salak,
Sila datang timba ikannya,
Sarang tebuan jangan dijolok,
Kalau dijolok besar padahnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Umno akan menyokong perhimpunan pada 8 Disember ini dan mahu perhimpunan ummah yang menggabungkan ahli Umno dan PAS diadakan di setiap negeri di Semenanjung.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.