Pecat, dakwa, gugur kerakyatan Waytha
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
KUALA LUMPUR: Pelbagai
pihak menyuarakan gesaan supaya tindakan undang-undang diambil ke atas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berikutan penularan
video beliau yang berunsur fitnah dan hasutan.
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz
Ahmad Fadhli Shaari berkata, segala diungkapkan Waytha itu adalah fitnah
bohong dan sangat membangkitkan sensitiviti perkauman yang boleh
mencetus tindakbalas negatif.
Paling dibimbangi menurutnya, adu domba
Waytha itu dalam cubaannya mencari pengaruh dan sokongan pihak luar yang
mendedahkan Malaysia kepada campur tangan asing, di mana ini adalah
pengkhianatan kepada negara.
“Semua yang disebut itu menunjukkan juga
kebencian, memberi tekanan dan mencabar yang bersifat ancaman dan
gugatan kepada kedaulatan negara. Jadi tindakan pendakwaan mesti segera
diambil kerana memburukkan negara, serta dipecat daripada jawatan
Menteri,” gesa beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan itu
berharap agar perkara tersebut membuka mata banyak pihak bahawa sikap
melampau ditunjukkan Waytha itulah yang menjadi kedegilan Menteri
tersebut untuk tetap meratifikasi ICERD.
Ketua Pemuda Umno, Dato’ Dr Asyraf Wajdi
Dasuki pula mendesak Menteri itu melepaskan jawatan kerana Waytha
hingga kini tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat
dikeluarkannya itu.
Beliau khuatir imej radikal dan sering
membangkitkan isu sensitif oleh pemimpin tersebut akan mengundang krisis
keyakinan rakyat terhadap masa depan keharmonian negara berbilang agama
dan kaum di negara ini serta permusuhan.
Dr Asyraf juga membidas usaha Menteri
itu untuk tetap meratifikasi ICERD sebagai menzahirkan kesombongan dan
keangkuhannya walaupun sedar tindakan itu mencabar keistimewaan Melayu
dan Bumiputera serta kedudukan Islam.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad berkata, terdapat
tiga asas jelas membolehkan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu
(HINDRAF) itu diambil tindakan.
Pertama ujarnya, fitnah terhadap negara
dengan berbohong di peringkat antarabangsa yang menimbulkan imej tidak
baik dan kedua mengkhianati negara dengan kerja jahat memburukkan sistem
negara, serta ketiga menimbulkan suasana tegang.
“Antara siasatan dan tindakan
undang-undang boleh dikenakan terhadap Waytha termasuk menerusi Akta
Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau
SOSMA. Begitu juga kerakyatan ahli Dewan Negara itu wajar dikaji semula
kerana bukan warganegara yang taat,” kemuka beliau.
Nada seumpama turut disuarakan Mufti
Pahang, Dato’ Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Mufti Perlis, Dato’ Dr Mohd
Asri Zainul Abidin yang menyifatkan Waytha telah mencurah minyak ke api
dan tindakannya satu pengkhianatan kepada negara.
Turut berang dan mahu tindakan diambil
ke atas Waytha adalah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
Selangor, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan banyak lagi.
Antara disebut Waytha dalam video itu
adalah pelanggaran Hak Asasi Manusia, layanan tidak sama rata dan
diskriminasi Malaysia terhadap kaum India beragama Hindu dan dipaksa
menukar agama serta perobohan puluhan ribu kuil.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.