https://critoxium.com/shop/

Terkini

Wajarkah orang politik terajui KLFA?

Oleh Haziq Farhan

Nik Nazmi Nik Ahmad telah membuat pengumuman menawarkan diri sebagai presiden KLFA pada 1 November 2018 dan banyak tohmahan terus membanjiri laman media sosial menghengtam beliau.

Harus diakui idea yang memahukan persatuan sukan bola sepak bebas orang politik ini menarik dan bagus tetapi apakah tohmahan menghentam atau mengherdik orang politik itu harus dilakukan pukul rata terhadap semua orang politik?

Dalam jawapan menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semasa perbahasan KSP RMK ke-11, menteri KBS ada mengatakan:
“Campur tangan politik dalam sukan memang merumitkan keadaan. Walaupun ini di luar bidang kuasa, tetapi saya boleh memberi teguran, bukan sahaja kepada pihak lawan tetapi juga ahli parlimen dalam kerajaan hari ini. Kalau boleh, jangan lagi terima lantikan sebagai presiden atau pengerusi bagi persatuan sukan sedia”.

Hal ini seiring dengan naratif yang sering disuarakan para peminat sukan untuk mereformasikan persatuan sukan adalah dengan tidak meletakkan orang politik dalam persatuan sukan. Kalau kita lihat pada dasarnya, langkah ini amatlah baik. Tetapi apabila diselami, adakah langkah ini konklusif dan adakah ia betul-betul menyelesaikan segala kemelut di dalam persatuan sukan?

Walhal soal pokok yang harus dijawab adalah; adakah orang politik benar-benar punca segala masalah dalam sukan bola sepak di tanah air kita?

Pada hemat saya, masalah yang dihadapi persatuan sukan hari ini adalah ketirisan dalam menguruskan kewangan dan tatakelola tadbir urus yang tidak telus.

Janganlah hakimi Nik Nazmi hanya kerana beliau seseorang yang berada di kancah politik negara. Masyarakat dan peminat bola sepak sepatutnya membuat pendapat dan rumusan terhadap sosok bernama Nik Nazmi berdasarkan ‘track record’ beliau. Beliau sudah berada di pentas politik sejak dari 2007 bermula sebagai Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor – Seri Setia pada pilihan raya umum 2008.

Sepanjang sepuluh tahun bergelar seorang Adun di Selangor, beliau juga telah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor pada masa itu, Tan Sri Khalid Ibrahim, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dan juga Exco Kerajaan Selangor untuk Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Hal ini jelas menunjukkan ketokohan dan kebolehan beliau untuk mengurus dan memimpin. Perkara sebegini juga sangat diperlukan dalam tampuk nombor satu sesuatu persatuan sukan seperti Pesatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA). Ketokohan dan pimpinan yang berkaliber adalah mustahak bagi memajukan sukan bola sepak Malaysia.

Seseorang berpengalaman dalam memimpin seperti Nik Nazmi mampu untuk mengurus KLFA dan juga melakukan koloborasi dengan pihak swasta dan juga badan-badan berkaitan bola sepak dalam negara dan rantau Asia dengan baik. Malah, Nik Nazmi juga hadir bersama dalam Pelancaran Roadmap FAM 2019-2030 di mana beliau telah berinteraksi dengan Presiden FIFA Gianni Infatino dan Presiden AFC Salman Bin Ibrahim Al-Khalifa, ini menunjukkan komitmen dan inisiatif yang serius beliau dalam membangunkan bola sepak khususnya di Kuala Lumpur melalui KLFA.

Tambahan lagi, kemampuan berkomunikasi yang baik yang dimiliki Nik Nazmi dalam bahasa ibunda kita iaitu bahasa Malaysia dan juga bahasa Inggeris merupakan satu kemahiran yang harus diberi perhatian. Hal ini kerana, kemahiran sebegini sangat penting dalam mewakili KLFA di meja rundingan dan juga di konferensi antarabangsa yang memerlukan seorang pemimpin yang mampu menyampaikan ucapan dengan jelas dan efektif.

Tambahan lagi, Nik Nazmi tidak pernah sekalipun dalam kerjaya politiknya terpalit dengan isu rasuah meskipun memegang jawatan kanan di kerajaan negeri Selangor dan Parti Keadilan Rakyat. Malah, beliau membuat pengisytiharan harta sebelum PRU14 dan juga selepas PRU14. Ini menunjukkan ketelusan beliau dalam memimpin dan menjalankan amanah rakyat. Ketelusan sebegini sangat diperlukan dalam pimpinan persatuan sukan di Malaysia.

Harus ditegaskan sekali lagi, penyokong bola sepak dan masyarakat secara menyeluruh harus memilih berdasarkan merit bukan hanya hakimi kerjaya Nik Nazmi sebagai seorang ahli politik yang sekarang merupakan ahli parlimen bagi kawasan Setiawangsa di Kuala Lumpur.

Sehubungan dengan itu, saya fikir adalah sesuai bagi seorang Ahli Parlimen yang kerusi disandangnya berada dalam Kuala Lumpur sendiri untuk memimpin Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur. Hal ini seiring dengan citra dan tema City Boys atau KL City Hawks.

Apa yang saya telah sampaikan di atas bukanlah hendak menidakkan idea dan visi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hatta penyokong dan pencinta bola sepak tanah air atau mengekalkan corak dan citra pimpinan orde lama Barisan Nasional. Oleh tetapi, saya fikir adalah wajar dalam mereformasikan persatuan sukan untuk kita juga bersikap pragmatik dan membuat pilihan secara objektif dan berdasarkan merit bukan prasangka semata-mata.

Kendatipun, dengan adanya persaingan antara Datuk Rashid Hasnon dan Nik Nazmi, ini menunjukkan demokrasi sedang subur dalam KLFA. Tiada halangan mahupun sekatan untuk seseorang bersaing untuk jawatan presiden KLFA. Malah ini membolehkan KLFA membuat pilihan yang mereka rasa sesuai untuk memimpin bagi tempoh akan datang.

Hal ini jelas sekali berbeda dengan sesetengah persatuan sukan bola sepak di beberapa negeri dimana Presiden persatuan di itu ‘menang tanpa bertanding’ selepas PRU 14 beberapa bulan lepas.
Contohnya di Kedah, dimana Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang merupakan menteri besar Kedah dan juga ahli parlimen Jerlun menerajui Kedah FA selepas menang tanpa bertanding jawatan utama presiden Kedah FA.

Hal ini berlaku pada tanggal 27 Mei 2018, kurang tiga minggu dari kemenangan Pakatan Harap pada peringkat pusat dan juga negeri Kedah khususnya. Malah ini juga berlaku di negeri Perak yang baru memenangi Piala Malaysia apabila Hasnul Zulkarnain menang tanpa bertanding sebagai Presiden Perak FA pada 21 Julai 2018.

Oleh itu, pada hemat saya jika Syed Saddiq benar-benar serius dalam pendiriannya berkenaan orang politik dalam persatuan sukan, adalah molek jika beliau mula ‘menegur’ Datuk Seri Mukhriz Mahathir, presiden Kedah FA yang juga merupakan ahli parti yang sama dengan beliau sejak penubuhannya.

Harus diakui idea untuk mengadakan pengasingan sepenuhnya pentadbiran sukan dari pimpinan orang terlibat dalam politik adalah baik tetapi kita juga harus mengakui fakta di mana dalam melakukan perubahan apa sekalipun, perlu adanya tolak ansur dan tempoh transisi. Hal ini sama dengan persatuan sukan seperti KLFA. Dalam memajukan KLFA dan bola sepak di Malaysia secara menyeluruh, kepimpinan seperti berprinsip dan telus yang ada pada Nik Nazmi Nik Ahmad harus diberikan peluang bagi menerajui KLFA.

Akhir kalam, saya berharap dengan adanya persaingan untuk jawatan nombor satu presiden KLFA, kedua-dua calon dapat membentangkan idea dan visi mereka bagi KLFA kepada masyarakat atau komuniti peminat bola sepak Kuala Lumpur khususnya dalam masa terdekat ini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.