Cepatnya masa berlalu
Oleh
Hamzah Fansuri, seorang penyair tasawuf pernah
berperi, hidup dalam dunia umpama dagang, datang musim kita kan pulang,
La tasta’khiruna sa’atan lagikan datang, mencari makrifat Allah jangan
alang-alang.
Jelas maksudnya, tidak dapat ditunda waktu saatnya kematian itu akan tiba.
Di dalam Islam, hidup sesudah mati adalah suatu
perjalanan yang paling panjang. Bersedia dengan segala bekalan sewaktu
hidup iaitu berbakti dan beramal. Alam dunia merupakan masa yang baik
untuk memulai dan melakukan segala kebaikan. Ibarat di dunia kita
menanam, di akhirat kita menuai.
Jangan tunggu hari esok. Walaupun esok
tetap ada, tetapi belum tentu esok milik kita.
Merujuk sirah nabi, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa
sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin).
Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua
dan masa hidup sebelum tiba masa mati. (Riwayat al-Hakim dan
al-Baihaqi).
Memelihara kesihatan dengan mengamalkan cara
hidup seperti anjuran Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik panduan bagi
kehidupan kita. Antaranya makan sebelum lapar dan berhenti sebelum
kenyang.
Begitulah keadaannya ketika kita sihat, segala
perkara dapat dibuat. Buatlah sesuatu yang bermanfaat. ”Manusia baik itu
adalah yang memberi manfaat bagi manusia lainnya.” (Hadis riwayat Ahmad
Athabrani)
Kekayaan berupa iman, ilmu, harta, kuasa, pangkat
dan sebagainya merupakan amanah dan titipan untuk menebar benih
kemaslahatan. Kekayaan yang ada bukan hanya untuk bekalan dunia,
sebaliknya gunakanlah sebagai bekalan untuk sebuah perjalanan yang jauh.
Antaranya bersedekah, berzakat dan berwakaf. Walaupun sedikit,
Rasulullah tetap menyukainya jika dilakukan dengan istiqamah.
Menggunakan masa lapang dengan kunjung
mengunjungi kaum keluarga, ibu bapa dan rakan taulan. Lebih daripada itu
jangan sekali meninggalkan solat lima waktu dan segala suruhan Tuhan.
Jangan sesekali disia-siakan masa lapang yang ada. Fikir dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Dalam lingkaran waktu, usia tua tentunya dapat
merasai nikmatnya usia muda. Tetapi usia muda belum tentu melalui
indahnya ketika dewasa dan seterusnya menjadi tua. Kerana mati itu akan
menjengah tanpa mengira waktu.
Dalam syair Perahu, tulisan Hamzah Fansuri, turut berpesan:
Wahai muda kenali dirimu
Ialah perahu tamsil tubuhmu
Tiadalah berapa lama hidupmu
Ke akhirat jua kekal diammu.
Hai muda arif-budiman
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahumu jua kerjakan
Itulah jalan membetuli insan.
Terakhir adalah soal hidup dan mati. Jangan hidup
tetapi mati, tapi hiduplah mengingati mati. Cepat benar masa berlalu.
Entah apa akan jadi pada janji-janji dahulu sedang di hadapan terbentang
hamparan yang baharu, jangan dibawa harapan palsu. Gunakan kesempatan
pada usia yang panjang untuk sebuah penyatuan. Menunai janji menuai
harapan. Mengingati mati penuh keinsafan.
Di sebalik jendela yang baharu, sebenarnya kami rindu Malaysia yang dahulu. Hidup berbakti, saling menyantuni.
PENULIS ialah bekas guru bimbingan dan kaunseling, moderator dan aktivis rakyat.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.