Kadar tarif air dinaikkan, satu bebanan
Oleh CHE ALIAS HAMID
HARI ini, rakyat akan
berasa tidak berpuas hati jika berkaitan kenaikan barang mahupun
perkhidmatan yang diumumkan oleh Kerajaan. Ini bukan diharapkan oleh
rakyat apabila kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) untuk
menaikkan kadar tarif air di negara ini.
Akibat
kenaikan kadar tarif air ini menambah lagi bebanan rakyat sedia ada
dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Tidak mustahil juga harga
minuman dan produk yang melibatkan air turut meningkat.
Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya
menaikkan sesuatu perkhidmatan sesuka hati tanpa mengambil kira maklum
balas dan kebajikan rakyat. Apakah jaminan Kerajaan dengan kenaikan
kadar tarif air tidak membebankan rakyat?
Persoalan berkaitan tarif air yang
rendah dan tidak dinaikkan hampir 20 hingga 30 tahun oleh Kerajaan
Negeri bukan satu isu yang perlu diambil keutamaan dalam memastikan
industri air negara mampan.
Pihak Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli
(KATS) beserta agensi di bawahnya diminta untuk mengkaji semula secara
holistik berkaitan kenaikan kadar tarif air secara berperingkat di
negara ini. Adakah relevan kadar tarif air dinaikkan pada masa kini?
Saya menggesa Kerajaan untuk
menangguhkan dahulu kenaikan kadar tarif air negara sehingga masa
mengizinkan memandangkan ekonomi negara pada hari ini yang masih tidak
stabil. Kita tidak mahu selepas tarif air dinaikkan, kenaikan tarif
elektrik pula yang bakal diumumkan oleh Kerajaan hari ini.
“Islam Memimpin”
CHE ALIAS HAMIDAhli Parlimen Kemaman
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.