https://critoxium.com/shop/

Terkini

Letak diri dalam peta aspirasi menteri pendidikan

Oleh Usaid Muhamad Asmadi

Isnin lepas, saya menghadiri majlis amanat Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dan mengikuti ucapan beliau dari awal hingga ke hujung. Beliau menyampaikan satu mesej penting dan besar, iaitu beliau mahu kita percaya dengan cita-cita, impian dan idea.

Beliau mengajak kita untuk mula melaksanakannya mengikut posisi dan kapasiti kita, bukannya menanti dan menunggu masa sesuai dan strategik untuk memulakan langkah pertama yang terkadang kita sendiri tak pasti bilakah waktunya, akhirnya terkuburlah semuanya kerana sikap penangguhan kita sendiri.

Mimpi adalah hal yang besar. Begitu juga idea dan cita-cita, ia adalah perkara yang sungguh mahal kerana terbina daripada kesedaran, tanggungjawab, kepercayaan dan harapan. Maka, bagi setiap gagasan idea, cita-cita mahupun impian, mulakanlah perjalanan dengan membumikannya.

Pastinya, sepanjang perjalanan kita, banyak hal yang akan berlaku, malah tak terduga daripada Tuhan. Dugaan bukan sebagai penghalang. Bahkan untuk membesarkan jiwa kita dan mengukuhkan kesetiaan kita kepada jalan yang kita ambil.
Aspirasi menteri yang dikongsi itu adalah aspirasi bersama rakyat Malaysia. Getus saya, jika sememangnya baik dan benar, kenapa tidak dijayakan bersama? Jika ia menyimpang daripada semangat membina Malaysia Baru, maka angkatlah idea alternatif untuk menambah baik usaha yang sedang dan sudah dimulakan.

Kita semua setuju bahawa kerja mencemuh, memerli dan merendah-rendahkan bukanlah sikap yang baik. Bahkan merenggangkan lagi jarak untuk duduk bersama berbincang, berdialog, diskusi bagi menambah baik lagi negara tercinta.

Saya adalah manusia yang percaya kepada perlunya “pencorakan” pada sistem dan suasana. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada sistem untuk menambah baik nilai kehidupan masyarakat. Kita sangat memerlukan kepada pencorakan suasana masyarakat.

Justeru, kedua-dua ruang ini penting, bahkan setiap individu perlu ada rasa terpanggil untuk memposisikan diri kita mengikut gerak daya, tenaga dan kemampuan agar impaknya dilihat berkesan, sekaligus berlakunya perubahan secara seimbang.

Mengarus perdanakan kempen #UniversitiBaharu

Perlu kita akui, era sebelum ini memang wujud kerancuan dalam memahami martabat dan wibawa sebuah universiti yang terkesan daripada pelbagai faktor. Maka, melihatkan perubahan kerajaan pada pilihan raya umum lalu,

Belia Harmoni memulakan inisiatif melalui kempen #UniversitiBaharu sebagai usaha menyambut impian dan hasrat rakyat Malaysia yang inginkan perubahan berlaku; inginkan Malaysia yang lebih baik.

#UniversitiBaharu adalah kesinambungan impian rakyat Malaysia yang secara terus memberi fokus kepada institut pengajian tinggi (IPT).

#UniversitiBaharu adalah kempen mengajak semua pemegang taruh kampus ke arah membina:
1. Suasana kampus yang menegakkan nilai-nilai mengangkat martabat IPT.

2. Suasana di mana mahasiswa memimpin, mentadbir urus hal ehwal mahasiswa dan terlibat secara langsung dalam penggubalan polisi di universiti.

3. Suasana di mana IPT dihormati masyarakat dan pihak berkuasa.

4. Suasana di mana universiti menjadi pusat pengembangan budaya dan peradaban.

Empat komponen ini adalah satu bentuk suasana dan kondisi yang saya percaya mampu mengangkat wibawa sebuah universiti sebagaimana dihasratkan menteri.

Idea #UniversitiBaharu masih terbuka untuk terus diwacanakan dan dibincangkan di pelbagai peringkat dan pemegang taruh kampus. Belia Harmoni mengambil posisi secara langsung dalam usaha membina #MalaysiaBaru.

Semangat #UniversitiBaharu perlu diarusperdanakan melalui galakan berpartisipasi oleh mahasiswa secara keseluruhan, tanpa melihat kempen ini sebagai usaha eksklusif, sebaliknya usaha yang inklusif.

Kita sedar bahawa kerja membina wibawa sebuah universiti ini tidak mampu dilaksanakan secara bersendirian. Muafakat dan jalinan perhubungan secara strategik perlu terus diusahakan dan diraikan.

Pemansuhan Auku, mengaktifkan kesatuan pelajar

Saya juga menyambut baik janji dan komitmen menteri terhadap usaha pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan menghidupkan semula kesatuan pelajar kepada mahasiswa yang berulang kali ditekankan menteri dalam ucapannya. Bersama ruang ini adalah nilai kebertanggungjawaban.

Ada 3 relung yang disebut menteri yang mesti mahasiswa rebut ruangnya bagi mengisi dan membentuknya mengikut acuan yang meraikan semua pemegang taruh; acuan yang memberi impak dan kesan baik kepada masyarakat secara keseluruhan, iaitu pemansuhan Auku menjelang 2020, pembentukan kesatuan pelajar dan menjadi mahasiswa yang berfungsi kepada masyarakat.

Perjuangan melawan Auku berlaku sejak ia mula diwujudkan pada 1970. Generasi demi generasi mahasiswa masih terus diperjuangkan. Kesan Auku telah membentuk lambakan mahasiswa “captive mind”, “pandirisme”, lesu terhadap aktivisme dan partisipasi secara efektif.

Ya, Auku tanpa sedar “memandulkan” keupayaan mahasiswa dalam membentuk nuansa masyarakat dan ini merugikan pembinaan modal insan, masyarakat dan negara.

Munurut Meredith L Weiss, “Culture of Fear” dan “Culture of Silence” sebati dalam diri mahasiswa untuk vokal, bersorak dan berdiri teguh atas kepercayaan mereka.

Pun begitu, saya juga berpandangan walaupun suatu hari nanti kerajaan memansuhkan Auku sepenuhnya, tetap wujud satu kelompongan besar jika mulai hari ini lambakan mahasiswa ini tidak diuruskan, tidak diberdayakan dan tidak diberi kefahaman berkaitan peranan, tugas hakiki dan tanggungjawab seorang mahasiswa.

Apalah guna Auku ini jika dimansuhkan, tetapi mahasiswa masih bermentaliti takuk lama, diperdagangkan merit bagi setiap penyertaan program, wacana kritikal bersifat elitis, mahasiswa pengecut dan tiada semangat bertanya soalan, apatah lagi untuk mengemukakan pandangan atau penyelesaian, sikap 3K (kafe, kuliah dan katil) masih menjadi tabiat, amalan mahasiswa dan lain-lain acara yang mengisolasikan mahasiswa daripada berani beridealisme, berintelektualisme dan beraktivisme mengikut acuan kepercayaan dan kesedaran mereka.

Soal kesatuan pelajar juga perlu terus diwacanakan dan dibahaskan. Saya percaya konteks zaman ini sudah berbeza dengan awal penubuhan kesatuan pelajar era 60-an. Maka, meniru bulat-bulat model dahulu untuk dilaksanakan pada waktu ini bukan satu tindakan bijak.

Jika kita telusuri sejarah era-60 an, bagaimana kesatuan pelajar berjaya memberi impak kepada masyarakat bukanlah datang semata-mata dengan kewujudan kesatuan berkenaan semata-mata.

Tetapi, terhasil daripada kerja akar umbi membentuk kesedaran dan pencerahan kepada mahasiswa yang memakan masa 10 tahun, sebelum mahasiswa benar-benar mencapai keemasan zaman.

Cuma, satu perkara yang saya fikir penting dalam semangat kesatuan pelajar ini adalah meletakkan mahasiswa sebagai satu kumpulan pemegang taruh penting dalam pemutus keputusan. Mahasiswa perlu diberi kepercayaan untuk memimpin mengikut acuan dan kepercayaan mereka.

Mahasiswa perlu diberi autonomi dan ruang kebebasan mencorakkan kampus. Maka, usaha awal memberi ruang kepada mahasiswa untuk menjalankan Pilihanraya Kampus adalah satu usaha yang wajar diraikan dan mahasiswa perlu menyambut baik melalui penyertaan secara langsung gerak kerja Pilihan Raya Kampus ini.

Manifestasi ilmu itu adalah ilmu itu kembali memberi manfaat kepada masyarakat. Apalah guna jika segala ilmu dalam universiti ini terkepung di dalam pagar universiti sahaja. Penglibatan mahasiswa di tengah-tengah masyarakat atau komuniti perlu terus dibudayakan dan diperkasakan.

Mahasiswa perlu merasakan masyarakat memerlukan mereka, hiduplah bersama masyarakat, memahami denyut nadi dan nafas kerja mereka, menyelami segala permasalahan dan keperluan mereka serta perjuangkan apa yang mahasiswa fikirkan perlu. Angkatlah solusi untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

Bagi memastikan keberkesanan dan impak kepada masyarakat, sebaiknya pergerakan perlu bersifat lokaliti dan kemampuan capaian mahasiswa sendiri. Budaya “touch and go” harus ditukar dan digantikan “touch and grow”, barulah proses pembangunan sebuah masyarakat itu berlaku dengan baik dan tidak hanya suam-suam kuku usahanya.

3+1 budaya mencorak #UniversitiBaharu

Tiga perkara yang boleh mula dibudayakan dan diperkasakan mahasiswa.

Pertama, jadikan membaca sebagai kebiasaan. Tidak perlu terus ke bacaan berat, tetapi mulakan dengan apa yang kita minat dan suka. Perlahan-lahan, tambah baik bacaan kepada yang lebih berat mengikut kapasiti kita. Saya percaya ia akan memberi kesan langsung kepada corak pemikiran dan perasaan kita.

Ke-2, wujud perbincangan berkait pelbagai tema sebagai medium untuk membiasakan diri mengekspresi apa yang kita yakini dengan penuh bertanggungjawab juga keberanian untuk bertemu idea berbeza dan menghormatinya. Saya tidaklah membayangkan mengadakan forum atau wacana formal. Pertemuan di tepi tasik atau kafe sudah cukup memulakan suatu budaya interaksi sebegini.

Ke-3, mahasiswa perlu menulis. Tulislah idea, pandangan mahupun kritikan. Penulisan akan membentuk cara mahasiswa menyusun idea dan membina peribadi yang berani dan bertanggungjawab.

Daripada 3 perkara ini, buahnya adalah aksi kerana ia melahirkan kesedaran, keberanian, kepercayaan dan kebertanggungjawab. Aksi yang bermaksud memberi manfaat kepada masyarakat kampus dan di luar kampus.

Aksi boleh berlaku sama ada di peringkat suasana atau terjun ke dalam sistem. Pilihlah yang mana kalian selesa untuk bergerak. Yang penting, penglibatan langsung semua mahasiswa.

Bagi memastikan kita tidak syok sendiri, maka tambahan satu lagi adalah interaksi. Menjadi mahasiswa interaksi perlu luas agar suatu isu itu dapat dilihat dalam sudut pandang pelbagai, di samping membaiki mana-mana kekurangan pada idea dan gerak kerja kita.

Kesimpulan

Meletakkan diri dalam peta amanat menteri pendidikan bukanlah bermaksud kita ini pendokong kerajaan. Jika tidak meletakkan diri dalam peta ini juga bukanlah bermakna kita ini pembangkang tegar kepada kerajaan.

Kiblat kita bukanlah pada sosok individu atau kumpulan, tetapi pada kebaikan dan kebenaran. Jika sememangnya idea itu mampu mengangkat wibawa universiti, mengapa tidak bersama mendukungnya? Jika jelas hanya memburukkan keadaan, angkatlah nasihat dan teguran, bawalah idea alternatif dan bukalah dialog dan wacana.

Kita semua impikan Malaysia yang lebih baik daripada sebelum ini. Soalnya, kita di mana?
Usaid Muhamad Asmadi ialah presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.