Maszlee, berhenti menangis, mula bekerja
Oleh
Mohamed Khaled Nordin
Pendidikan adalah perkara yang sangat menarik minat saya. Malah perkara yang seharusnya menarik perhatian semua pihak dalam negara. Justeru, saya antara mereka yang tidak terlepas mengikuti amanat menteri pendidikan tempoh hari.
Saya mengambil masa sedikit untuk mengulas amanat Maszlee Malik kerana sedikit sibuk. Lagipun ulasan yang segera akan menyebabkan orang lupa amanat beliau selepas 1 hari.
Sekalipun bermula sejam lebih lambat dari masa yang dijadualkan, terdapat beberapa perkara yang harus dipuji baik dalam amanat tersebut.
Antaranya, pendidikan harus menjadi tanggungjawab semua pihak. Beliau
juga menekankan peri pentingnya nilai dan kualiti menjadi inti pati
utama pendidikan.
Selain itu kita harus mengurangkan beban guru, autonomi mesti diberikan kepada institusi pendidikan dan institusi pendidikan mesti membumi dan kembali kepada masyarakat. Malah, tindakan memasukkan “M” ke-4 iaitu elemen ‘manusiawi’ selepas mentara 3M yang kita pegang selama ini, adalah sesuatu yang sangat baik dan kena pada masanya. Saya setuju, saya sokong dan saya puji semua ini.
Namun begitu, secara peribadi, saya kira amanat YB menteri pendidikan sedikit terpisah dari realiti dan tertinggal banyak perkara pokok dan kritikal. Perkara yang seharusnya dihujahkan dengan mendalam dalam memeta hala tuju dan masa depan pendidikan negara. YB menteri tidak memberikan trajektori masa depan yang meyakinkan dan ampuh untuk menghadapi senario ketidaktentuan pendidikan tinggi negara yang pelbagai. Misalnya dalam perkara-perkara berikut.
Pertama, isu autonomi universiti. Ini adalah perkara yang sudah lama menjadi fokus kementerian dan diselesaikan dengan baik sebelum ini. Banyak sekali usaha yang dicurahkan dalam mencari mekanisme terbaik bagi memberikan autonomi kepada universiti. Ia bukan soal mengisytiharkan sahaja pemberian autonomi ini kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ia jauh lebih rumit kerana ia melibatkan isu-isu governan dan pertanggungjawaban yang kompleks. Apatah lagi bila IPTA di Malaysia di biayai oleh kerajaan dan belum mempunyai keupayaan penjanaan pendapatan yang tuntas.
Oleh itu, pemberian autonomi kepada IPTA melalui beberapa fasa yang akhirnya akan memberikan autonomi penuh kepada IPTA. Malah kebanyakan universiti dan institusi pendidikan Malaysia mempunyai autonomi, sama ada secara penuh mahupun separa. Sekalipun ini mahu dianggap perkara yang masih kritikal, apakah sebenarnya strategi baru yang YB Maszlee kemukakan dalam hal ini?
Yang nyata, banyak sekali pelantikan pengerusi lembaga pengarah, ahli lembaga, naib canselor serta pegawai tinggi IPTA yang dilakukan berdasarkan pertimbangan politik dan membelakangkan autonomi universiti untuk melakukan proses pelantikan yang telus, bertanggungjawab dan berwibawa.
Kedua, bagaimana dengan aspek institusi pendidikan swasta? Tidak disentuh langsung oleh beliau.
Apakah beliau lupa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) adalah aktor dan katalis penting dalam menjadikan Malaysia hub pendidikan tinggi. IPTS lah yang sebenarnya menjayakan idea menjadikan pendidikan sumber pertumbuhan ekonomi yang baru dan ideal untuk Malaysia.
Namun menteri pendidikan tidak memberikan perhatian yang didambakan oleh pemain sektor pendidikan tinggi swasta. Telah lama sektor pendidikan tinggi swasta menantikan jalan ke hadapan yang perlu diutarakan oleh kerajaan bagi menangani pelbagai cabaran persaingan yang mereka hadapi waktu ini. Kegagalan memberikan halatuju yang jelas dan tuntas kepada sektor pendidikan tinggi swasta jelas menggambarkan gagalnya menteri pendidikan memahami keutamaan dan pertimbangan yang strategik untuk masa depan pendidikan tinggi negara.
Ketiga, YB menteri turut menyentuh tentang aspirasi pendidikan untuk semua serta pendidikan sepanjang hayat. Retorik ini sangat janggal apabila ia sedikit pun tidak dikaitkan dengan keupayaan kewangan atau ekosistem yang mampu memberikan pembiayaan pendidikan yang diperlukan oleh ramai orang.
Misalnya penstrukturan semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Akses dan ekuiti tanpa PTPTN adalah cita-cita yang mustahil dapat dilaksanakan. Tidak sedikit pun disebut, diulas atau dinyatakan apakah pelan dan rancangan kementerian kepada PTPTN dalam konteks hala tuju pendidikan Malaysia.
Atau barangkali YB menteri tidak menganggap PTPTN sebagai entiti penting dalam aspek pendidikan lalu tidak perlu dibicarakan secara terbuka dan strategik. Atau memang YB menteri tidak mahu mendepani kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan segala janjinya berkaitan PTPTN yang sehingga saat ini, gagal dilaksanakan.
Keempat, YB menteri tidak menyentuh langsung tentang komitmen beliau untuk memperkasakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara 2015-2025. Bagaimana komitmen beliau untuk merealisasikan pelan ini. Atau mungkin dalam sedikit masa lagi, beliau akan memperkenalkan pelan baru melalui Panel Penasihat Pendidikan yang beliau tubuhkan. Tetapi suka saya mengingatkan beliau bahawa IPTA dan IPTS di negara ini beroperasi bersandarkan hala tuju yang diungkapkan dengan jelas dalam PPPTN 2015-2025.
Meneruskannya pelan ini adalah sangat kritikal bagi melonjakkan keampuhan sektor pendidikan tinggi Malaysia. Justeru penerusan pelaksanaan pelan ini memerlukan kemahuan politik yang tidak berbelah bahagi. Kegagalan berbuat sedemikian menghantar mesej yang jelas merealisasikan PPPTN 2015-2025 bukan keutamaan kepada YB menteri. Tetapi jangan lah lupa bahawa kelahiran pelan tersebut dibidani oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri pendidikan yang waktu ini adalah presiden parti YB menteri anggotai.
Kelima, terlalu banyak sekali fokus ucapan tersebut tertumpu kepada isu pengurusan pendidikan dan pendidikan tinggi sehingga meminggirkan isu fundamental seperti pelaburan masa depan kerajaan dalam sains dan teknologi termaju, ikhtiar penerokaan ilmu baru dengan lebih agresif, melestarikan sektor pendidikan menggunakan model alternatif seperti wakaf dan keusahawanan sosial, menjadikan Malaysia hub ilmu dan pengetahuan dan bukan sekadar pendidiikan dan pelbagai lagi isu mendasar yang berkepentingan nasional.
Semua isu yang diketengahkan sepanjang 2 jam ucapan beliau adalah isu yang banyak kali diperkatakan dan menjadi lazim. Tiadanya idea baru, pemikiran yang radikal dan pendekatan luar kelaziman dan sebaliknya terlalu banyak sekali pernyataan sentimentalis yang melemaskan para pendengar.
Keenam, Malaysia memerlukan penyelesaian paling komprehensif terhadap pendidikan anak bangsanya dampak globalisasi dan kemajuan manusiawi. Bukan mendengar cerita tentang cita-cita YB menteri sewaktu remajanya, mahupun menyaksikan pemaparan cerita sentimentalis antara YB menteri dengan bekas gurunya hingga bercucuran air mata keduanya.
Mulakan 2019 dengan kecerdasan baru dan jangan sesekali menghanyutkan tenaga pendidik tanahair kita dengan nostalgia YB menteri. Lakukan aksi “romantisisme” di lain acara dan bukan dalam kesempatan yang wajar dimanfaatkan untuk mengungkap misi nasional yang lebih segar untuk pendidikan bangsa dan putera-puterinya.
Ketujuh, tidak disebut dan dinyatakan pendirian kerajaan terhadap sekolah vernakular. Adakah mahu digalakkan pertumbuhannya, dikurangkan, dikekalkan
status qou, atau tidak perlu dibincangkan secara serius sekali pun sangat ramai pelajar yang berada dalam institusi ini? Bagaimana pula pendirian kementerian dalam perkara berkaitan pengiktirafan UEC yang entah bila selesai kajian mengenainya. Semua ini adalah perkara yang mesti diberikan pencerahan kerana sebahagian dari isu ini adalah komitmen yang diberikan PH dalam manifesto mereka.
Tahniah saya ucapkan kepada YB menteri atas cubaan yang baik dalam memberikan hala tuju kepada pendidikan negara. Dahulu, saya anggap YB menteri tidak mahu bercakap banyak tentang hal ehwal pendidikan tinggi negara.
Mungkin sedang sibuk merancang dan berfikir agaknya. Namun kini saya sudah tahu YB menteri tidak tahu apa yang perlu dibuat untuk melonjakkan lagi martabat pendidikan tinggi negara. Bukan tidak mahu bercakap, tetapi tidak tahu sebenarnya.
Tidak mengapalah, cuma, saya harap aspek-aspek yang saya kemukakan ini akan disemak dan dilihat kembali dengan serius. Pesan saya berhentilah bernostalgia dan mengarang sentimen. Ia tidak akan membawa kita ke mana-mana. Berhenti menangis, mula bekerja.
Mohamed Khaled Nordin ialah naib presiden Umno.

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.