https://critoxium.com/shop/

Terkini

PH kuda tunggangan DAP

Oleh:IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN

LIM Kit Siang sekali lagi ingin mengalih tumpuan terhadap perkara sebenar yang sedang berlaku di PRK P.078 Cameron Highland. Penggunaan jentera dan kenderaan Kerajaan ketika berkempen, ugutan terhadap calon BN serta Tok Batin, juga politik wang. Isu tersebut kini sedang menjadi bualan hangat rakyat yang tidak mampu lagi dibendung oleh PH hingga menimbulkan reaksi bantahan.

 Tidak cukup di media sosial, rakyat mula menzahirkan kemarahan mereka secara terang-terangan menolak PH.

Akibat tiada arah, Lim Kit Siang menggunakan pendekatan lapuknya menyerang Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula. Beliau sedar jika PH tidak mampu mengalih kemaraan PAS mahupun BN dalam PRK ini lalu tewas, impak besar bakal melanda Kerajaan PH. Kepercayaan rakyat terhadap PH akan mulai merosot dan sokongan rakyat kembali bertambah terhadap PAS dan BN.

Semenjak menang PRU14 lalu, Kerajaan PH ternyata tidak mampu melaksanakan janji-janji manifesto mereka. Ia menyebabkan rakyat mula rasa tertipu, bosan, marah, muak lantas tidak lagi percaya kepada mereka. Malah, kempen-kempen bantahan anti rasuah, penyelewengan, kleptokrasi dan seumpamanya dilihat penyakit yang sebenarnya turut ada pada PH.

PH yang dikuasai DAP sekadar bersandiwara dengan rakyat. Tol tidak terhapus, PTPTN masih kekal, harga barangan keperluan makin naik, kos sara hidup kian meninggi, gaji minimum tidak tercapai, harga petrol di takuk sama. Sedihnya, nasib rakyat bawahan seperti peneroka dan pekebun kecil tidak terbela. Malang lagi, pemberian pernah mereka nikmati diberhenti atau dimansuhkan.

Bagaimana sebuah parti yang dikata hebat dengan pelbagai pakar di dalamnya tidak mengkaji secara mendalam sebelum membuat Manifesto atau sebenarnya yang dinamakan pakar itu hanya gilapan 'syok sendiri'? Hakikatnya sekarang seluruh rakyat tahu bagaimana sebenarnya PH, hanya gula-gulakan rakyat dengan janji palsu mereka demi untuk menang pilihan raya.

Rakyat semakin sedar dan bangkit tidak berpuas hati dan kerana risau akan gelombang kebangkitan rakyat di PRK Cameron Highland inilah, maka Lim Kit Siang mula menyerang tidak tentu arah bagai bermimpi ngeri.

Selepas PRU14, rakyat semakin kenal mana kaca dan berlian. PH yang selama ini dipuja rupanya kaca di tepi jalan. Isu lapuk ketika Pakatan Rakyat diulang angkat tatkala rakyat semakin mengerti perkara di sebalik tabir. Isu 1MDB yang menjadi modal PH selama ini sudah mula dipandang sepi oleh rakyat setelah kenal dengan sandiwara PH.

Agenda DAP menguasai PH dilihat bukan lagi satu rahsia. Keangkuhan DAP hanya mahu berkuasa dan cuba pula memaksa segala agensi termasuk rakyat untuk mengikut rentak dan telunjuk mereka.

 Walhal, Lim Kit Siang dan DAP terlalu banyak berpolitik, sedang nasib rakyat Malaysia masih lagi kabur serta masa depan tidak menentu.

PH hingga hari ini gagal menetapkan dasar serta hala tuju negara yang jelas. Setiap hari hanya beretorik dan berkhayal, berpolitik sehingga hampir setiap rakyat muak dan gagal dalam urus tadbir negara.

Usah kita percaya kepada Lim Kit Siang dan DAP khususnya. Lihatlah perkembangan yang berlaku sekarang; Islam dan Melayu sedikit demi sedikit terhakis. Lihat apa yang berlaku di Cameron Highland, terbentang luas di depan mata. Itukan Kerajaan yang mahu memimpin kita sebagai rakyat Malaysia?

Jika dahulu Lim Kit Siang dan DAP saban hari menyerang integriti, tadbir urus dan amalan rasuah Kerajaan BN, tidak mereka sama sahaja sekarang? Hakikatnya tiada beza, malah lebih teruk dari dahulu kerana mereka juga terpalit barah yang sama dituduhkan. Mengata dulang paku serpih, mengata orang mereka yang lebih.

Sebelum Lim Kit Siang sibuk dengan menyerang tidak tentu arah, lebih elok Lim Kit Siang membelek dahulu pakaian beliau yang koyak rabak dan berlubang sana sini. Zahirnya nampak cantik, elok dan kemas tetapi sebenarnya umpama pondok yang menunggu masa untuk runtuh. Tolak DAP bermakna menolak PH kerana PH sebenarnya Kuda Tunggangan DAP.

Oleh:
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.