Rehat, tenanglah anakanda Farhana
ALHAMDULILLAH syukur
dipanjatkan kepada Allah S.W.T akhirnya anakanda Nur Farhana Ibrahim
yang diberitakan hilang sejak 14 Januari telah ditemui selamat semalam,
17 Januari di Kuala Kangsar.
Ustazah mewakili seluruh Ahli
Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) turut bersimpati
atas kejadian yang berlaku, di samping mengambil kira Farhana pernah
menerima rawatan akibat kemurungan.
Dalam dunia yang serba canggih ini,
kemurungan atau depresi bukan suatu perkara enteng tetapi ianya harus
diberikan penekanan terutama bagi ahli keluarga dan teman rapat supaya
sentiasa menimbulkan suasana dan persekitaran tenang bagi membantu
pesakit.
Tekanan yang dihadapi tanpa sedar boleh memberikan kesan kepada pemikiran dan tindakan seseorang.
Pada kesempatan ini, ustazah berharap
agar semua pihak terutama netizen yang mengikuti perkembangan Farhana
agar tidak sesekali mengeluarkan kata-kata keji dan kesat atas apa yang
berlaku kerana sudah pasti kita semua tidak berada di tempatnya dan
sesekali kita tidak merasai apa yang ada di lubuk hatinya.
Peliharalah adab kita di media sosial, sebaliknya berdoalah agar Farhana dikurniakan ketenangan untuk menghadapi semua ini.
Kepada anakanda Farhana, kuatkan
pergantungan kepada Allah S.W.T agar sentiasa dilindungi dan dipelihara
daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.
Pihak Kementerian Pendidikan seharusnya
mengambil tanggungjawab ini untuk berusaha menyelesaikan kes sebegini
termasuk guru yang terpaksa berjauhan dengan pasangan masing-masing.
Satu mekanisme mesti diambil bagi memastikan penempatan guru bertepatan
dan bersesuaian dengan keadaan semasa masing-masing.
Kami berharap guru-guru dan semua penjawat awam diberikan hak yang sewajarnya bagi mengurangkan beban dan tekanan masing-masing.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.