https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dakwaan Tukar Nama Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Tidak Berasas!





 Kerajaan negeri Perak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di laman sosial kononnya nama Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di Ipoh telah diberikan nama baharu iaitu Jalan Koo Chong Kong seperti yang tersebar di laman sosial hari ini. 


Apa sahaja maklumat lain yang disebarkan mengenai pertukaran alamat Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Perak adalah berniat jahat bagi menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Semakan menunjukkan pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasi sekeping surat rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak bertarikh 26 Februari 2019.

Adalah dimaklumkan, surat tersebut bertujuan untuk memaklumkan bahawa KKM telah meluluskan permohonan Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi menukar alamat daripada Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kepada Jalan Koo Chong Kong.

Langkah ini bertujuan mengemaskini dan menyeragamkan alamat pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi kemudahan orang ramai dan urusan surat menyurat.

Ini adalah bersandarkan kepada lokasi pintu masuk utama bangunan Pejabat Kesihatan Negeri Perak dan telah disahkan oleh Jabatan Warisan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Malah Bangunan Tabung Haji Negeri Perak yang terletak sebaris dengan bangunan Jabatan Kesihatan Negeri, turut menggunakan alamat Jalan Koo Chong Kong dan bukannya Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.

Justeru, kerajaan negeri menyeru semua pihak untuk berhenti menyebarkan maklumat yang tidak berasas bagi mengelakkan keresahan dan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Sekian, terima kasih.

YAB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu
Menteri Besar Perak

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.