Elak jadi jahil dalam alam maya
Oleh
ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
MATA zahir manusia jahil memang ‘rabun jauh’. Nampak sahaja orang bermasalah, ‘lidah’ atau ‘tangan’ dalam alam maya senang menghukumnya sebagai jahat, tidak soleh dan sebagainya.
MATA zahir manusia jahil memang ‘rabun jauh’. Nampak sahaja orang bermasalah, ‘lidah’ atau ‘tangan’ dalam alam maya senang menghukumnya sebagai jahat, tidak soleh dan sebagainya.
Nampak sahaja seorang yang tidak menutup aurat,
lidah terus memaculkan hukuman dasar jahil.
Nampak saja orang yang tidak
cukup Islamnya, hati mudah melantik diri sebagai tuhan menghukum ‘ini
dasar ahli neraka’. Itulah sifat gopoh kebanyakan manusia termasuk
penulis sendiri.
Sikap sebegini sedikit sebanyak akan mencemar
rahmat Islam yang lebih bersifat mendidik dan bukannya membidik.
Pastinya semua bermasalah adalah manusia yang mahukan kebaikan tetapi
tidak berpeluang kerana kekangan mereka miliki.
Dalam nota Refleksi al-Quran kali ini, penulis
ingin berkongsi kisah yang boleh menegur kita semua agar tidak mudah
bertindak tanpa wujudnya sangka baik pada orang tidak kita ketahui
kekangan dan halangan mereka.
IBRAH KISAH BANI SULAYM
Suatu hari, seorang lelaki daripada Bani Sulaym
yang membawa kambing biri-birinya melintas di hadapan sekumpulan sahabat
Rasulullah. Lelaki tersebut menyapa mereka dengan ucapan salam.
Sebahagian sahabat lalu berkata: “Salamnya itu
hanya helah untuk mengelakkan ancaman daripada kita.” Lantas mereka
membunuh lelaki tersebut dan merampas ternakannya. Berikutan tindakan
itu, Allah menegur mereka dengan penurunan ayat 93 surah al-Nisa’ (Sunan
al-Tirmidhi, Mustadrak al-Hakim, Musnad Ahmad)
Ertinya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu
pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka
hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan
janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan
kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah
Syahadat): “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu membunuhnya)
dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya) harta benda kehidupan
dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia
itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak.
Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain
akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah
syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatnya kepada kamu. Oleh itu
selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan
terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam
akan segala yang kamu lakukan.” (al-Nisa’ 4:94).
Malang memang tidak berbau. Hanya kerana
sangkaan, nyawa seorang Muslim tercabut di tangan para sahabat. Pun
begitu, para sahabat yang mulia tidak boleh disalahkan secara tuntas
kerana zaman mereka adalah zaman genting dan darurat.
Api perang selalu marak menyala. Lambat
bertindak pasti ada sahaja bara panas dilontar ke tubuh, pasti ada
sahaja panah berapi menyerang hendap meragut nyawa. Tidak cekap mengelak
pasti terus disambar, pasti melecur terkena bahangnya.
Musuh tradisi yang berpanji Musyrikin Quraisy
sentiasa mengintai dari pelbagai sudut. Pantang lepa, pasti tusukan
pedang atau lontaran panah mereka segera mengambil tempat. Zaman ini
juga orang munafik muncul dalam diam dan tersusun menjadi perisik
dalaman Yahudi dan musuh di Mekah.
Terdapat dua pengajaran daripada kisah ini:
1. Umat Islam tidak harus gelojoh dalam bertindak
Sebarang keputusan mesti diteliti secara
mendalam kerana dikhuatiri ada yang menjadi mangsa kekeliruan. Akibatnya
sesalan selepas salah bertindak tidak dapat diperbaiki lagi.
Dalam ayat lain Allah menegaskan perlunya
ketelitian yang mendalam sebelum menerima sebarang berita sebagaimana
firman-Nya bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada
kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk
menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum
dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu
(mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah
lakukan.” (al-Hujurat[49:6]).
Dalam era digital dan ledakan media sosial,
kebenaran ayat ini semakin terserlah kerana banyak sekali mangsa umpat
keji media sosial terkorban saban hari.
Sepatutnya pengguna media sosial Muslim yang
beriman dengan al-Quran perlu mempraktikkan sikap teliti dititipkan
Allah dalam ayat di atas. Tambah parah, sesetengah komen busuk dibuat
hanya selepas dibaca tajuk dan bukan isinya. Inilah bahaya minda ‘mi
segera’ yang dilahirkan media sosial.
Adakah ini tanda hati sesetengah kita ada
genetik lalat yang tahu mengesan busuk sahaja? Boleh jadi yang nampak
seperti busuk itu sebenarnya wangi, tapi kelihatan busuk kerana sihir
digital pencetus fitnah media sosial.
2. Umat Islam perlu memahami masalah orang lain
Lidah dan hati jangan mudah menyangka buruk
kerana setiap orang ada masalah tersendiri. Jika kita berada dalam
situasi mereka, belum tentu kita mampu tempuhi dengan tenang dan menang.
Dalam kes pembunuhan di atas, teguran Allah melalui ayat al-Nisa’ 4:94
sangat jelas.
Boleh jadi lelaki itu (mangsa bunuh) sudah
sekian lama merahsiakan Islamnya kerana takut ancaman kaumnya yang
sangat memusuhi Islam. Setelah dia bertemu saudara seakidah seperti
kamu, kegembiraannya tidak dapat dibendung lagi lantas segera disapa
dengan salam penuh takzim.
Malangnya tindakannya itu dipandang serong oleh
kalian dan kalian tersilap membunuhnya. Keadaannya yang tersepit dalam
kaumnya yang masih kafir, sama halnya dengan keadaan kamu dahulu
tersepit di celah kekejaman Musyrikin Quraysh. Oleh itu, cubalah berada
dalam ‘kasutnya’ sebelum bertindak.
Semoga ketelitian kita sebelum bertindak menjadi
prosedur operasi standard (Sop) Islamik yang diamalkan secara
berterusan sehingga akhir hayat. Tambahan lagi pada zaman moden serba
mencabar ketika fitnah dan berita palsu mudah tersebar hanya dengan
sentuhan jari.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.