Guan Eng, Anwar mesti bukti setia kepada Tun M
SEBENARNYA bukan baru
sehari dua ini didedahkan berkenaan usaha bagi menjatuhkan Tun Mahathir
Mohamad (Tun M) sebagai Perdana Menteri (PM).
Seawal suku keempat tahun lalu, sudah
pun ada pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri bercakap
secara terbuka mengenainya. Mungkin, bertujuan meredakan sedikit gerakan
sumbang itu.
Malangnya, ia makin kuat. Cubaan menggulingkan Tun M dibuat beberapa kali dan menerusi pelbagai kaedah. Mujur, ia gagal.
Dalam tempoh itu sehingga sekarang,
tidak hairan jika pendirian beberapa pemimpin utama parti-parti PH dalam
banyak isu selalu berbeza dengan pandangan Tun M. Lihat sahaja dalam
isu ICERD, UEC dan pilihan raya PBT.
Sebelum isu-isu ini, Tun M juga tidak
ada banyak pilihan selain bersetuju dengan pelantikan kontroversi yang
dibuat bagi jawatan-jawatan utama dalam sistem keadilan dan badan
kehakiman negara juga sebenarnya akibat daripada tekanan 'kawan-kawan'
beliau dalam PH. Tambah lagi, pada masa itu kerajaan baru dibentuk dan
Tun M tahu beliau perlu mengumpulkan lebih sokongan.
Mengapa ada parti dan pemimpin dalam PH
mahu Tun M berundur sekurang-kurangnya ada dua sebab; (i) kerana dari
awal menganggap dan menjadikan Tun M semata-mata sebagai alat untuk
meraih kemenangan buat PH sebelum Anwar Ibrahim (Anwar) mengambil alih
jawatan itu, dan (ii) kerana Tun M masih mempunyai orientasi politik
yang beraspirasikan Melayu dan Islam walaupun mungkin tidak sekuat Umno
atau PAS, namun yang sedikit itu pun amat tidak disukai oleh DAP yang
berideologikan sosialisme.
Menariknya tentang pendedahan sehari dua
ini ialah ia semakin berani dan berterus terang. Umum sudah mengetahui
bahawa dalang di sebalik gerakan menjatuhkan Tun M sebagai PM ini ialah
Anwar dan Guan Eng yang mengetuai DAP sendiri.
Sebab itulah, individu yang paling awal
melenting dengan pendedahan PAS baru-baru ini susulan pertemuan Presiden
PAS dengan Tun M adalah mereka berdua ini. Sedangkan Setiausaha Agung
PAS tidak pun menyebut nama parti dan pemimpin tertentu.
Tetapi, Anwar segera menempisnya dengan
menuduh bahawa ia adalah helah PAS untuk mengalih isu RM90 juta. Guan
Eng pula cepat-cepat mengelak dengan mengatakan bahawa ia adalah
pembohongan daripada PAS dan menuntut PAS mengemukakan bukti.
Sikap mereka berdua ini juga sekali gus
memperlihatkan bahawa sokongan PAS kepada Tun M adalah ancaman besar
buat mereka kerana sokongan PAS kepada Tun M jika berlaku undi tidak
percaya pasti menggagalkan usaha mereka selama ini.
Akibat terlalu melenting, mereka berdua
sebenarnya tersilap langkah kerana menyerang PAS semula. Sepatutnya,
mereka berdua mesti buktikan bahawa mereka setia kepada Tun M selaku PM
kerana itu sahaja sebenar-benar penafian terhadap pendedahan mengenai
usaha menggulingkan Tun M ini.
21 Februari 2019 | 16 Jamadilakhir 1440
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.