Guan Eng pertimbang saman Ka Siong, media
KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkemungkinan memfailkan saman
fitnah terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong kerana
mempersoalkan kredibilitinya sebagai akauntan profesional bertauliah.
Setiausaha Politiknya, Tony Pua berkata,
tindakan saman itu juga mungkin dikenakan terhadap media yang melaporkan
perkara berkenaan.
“Peguam kepada menteri menasihatkan beliau berhak
mengemukakan saman fitnah terhadap mana-mana media pro-Barisan
Nasional yang berterusan menyiarkan penipuan dengan mempertikaikan
kedudukan dan kredibilitinya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari
ini.
Semalam, Ka Siong menerusi hantaran dalam akaun
Facebook miliknya meminta Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP,
menjelaskan bagaimana beliau berjaya menjadi akauntan profesional
bertauliah setahun sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi
daripada Universiti Monash kerana terdapat dua perkara pelik mengenai
maklumat yang disiarkan dalam laman web limguaneng.com berkenaan
kelayakannya.
Menjawab persoalan itu, Pua berkata, kalendar
akademik Australia berakhir pada bulan November sebelum cuti musim
panas, oleh itu, pada akhir 1983, Guan Eng telah menamatkan dan lulus
semua peperiksaan berkaitan bagi membolehkan beliau memperoleh ijazah
serta kelayakan untuk menjadi akauntan.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu turut
berkata, Guan Eng juga menerima sijil keahlian Australian Society of
Accountants tiga bulan selepas lulus peperiksaan pada 21 Februari 1984.
“Malah, keahliannya sebelum menerima ijazah pada
11 April 1984. Pemegang doktor falsafah seperti Ka Siong sepatutnya
boleh menyatakan perbezaan antara seseorang yang sudah bergraduasi
daripada universiti berdasarkan tempoh menerima sijil rasmi, yang boleh
dikeluarkan enam bulan atau setahun selepas itu.
“Memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi tidak
bermakna Guan Eng tidak belajar subjek akauntan atau tidak layak menjadi
ahli Australian Society of Accountants,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kelayakan
Guan Eng sama ada akauntan bertauliah atau akauntan berkanun, Pua
menunjukkan salinan sijil Australian Society of Accountants, yang
tertera Menteri Kewangan itu sebagai provisional member (ahli
sementara).





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.