Ku Li sedia timbang tanding Presiden UMNO
GUA MUSANG -
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sedia
mempertimbangkan permintaan akar umbi supaya beliau menawarkan diri
untuk bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti kali ini.
Tengku Razaleigh berkata, beliau
menghargai sokongan dan pandangan peringkat akar umbi di seluruh negara
yang mahukannya mengambil alih pimpinan parti.
Walau bagaimanapun katanya, beliau perlu
berfikir masak-masak dan memerlukan sedikit masa untuk menilai perkara
itu dari pelbagai sudut.
“Ini (jawatan Presiden) adalah tanggungjawab yang besar dalam keadaan yang baharu.
“Saya
perlukan masa untuk fikirkan dulu, sebab ini bukan perkara yang mudah
kerana ini (ibarat) ketua pasukan ‘sepak takraw’,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati, di sini semalam.
Tengku
Razaleigh berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan
teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau yakin parti itu
masih kuat dan disanjung sebahagian besar rakyat.
“Kita
mempunyai bisa lagi dalam erti kata memperjuangkan nasib tak kiralah
bangsa apa terutama Melayu dan kita tetap mempertahankan Artikel 153
Perlembagaan Malaysia iaitu segala keistimewaan yang dirundingkan semasa
kita mahu merdeka dahulu.
“Jadi saya rasa
tak perlu kita khuatir kerana UMNO akan dipimpin dengan cara yang
bijaksana supaya orang Melayu tetap mempunyai suara yang besar dan
didengari oleh rakyat di negara ini,” katanya.
Tengku
Razaleigh secara berseloroh berkata, beliau juga tidak menyangka
terpaksa berdepan sekali lagi dengan pesaingnya dahulu, Tun Dr. Mahathir
Mohamad yang kini sekali lagi menjadi Perdana Menteri.
“Apalah
nasib saya, sebab dulu saya berdepan dengan Dr. Mahathir dan kini
berdepan dengan dia lagi.. Ini barangkali ditakdirkan begitu, tetapi
saya tak ada niat nak lawan dia.
“Saya
mengucapkan tahniah kepada Dr. Mahathir. Saya berharap dia akan mendapat
kerjasama semua pihak untuk memudahkan urusan mentadbir negara dan
menyusun semula negara. Kita juga akan bantu dia,” katanya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.