https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mengapa saya menunggu-nunggu buku Lutfi terbaru

Oleh Dinsman

Telah lebih seminggu buku Revolusi Tanpa Darah hasil usaha gigih Ahmad Lutfi Othman berada di tangan saya namun saya belum sempat membacanya keseluruhannya kecuali sedikit di sana-sini.
Seminggu di awal bulan Februari secara kebetulan adalah tempoh yang paling sibuk dalam rutin hidup saya mutakhir, disebabkan kerja-kerja persiapan untuk Kongres Budaya Memajukan Bangsa Melayu.

Sehari selepas mengambilnya beberapa naskhah di rumah Lutfi, saya bersama Kassim dan Yassin berkereta ke Kuala Kangsar menuju ke Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), berjumpa Tan Sri Nordin Kardi, Naib Canselor universiti itu, membincangkan tawarannya untuk menjadi tuan rumah kepada Kongres Budaya.

Saya hadiahkan senaskhah kepada Nordin Kardi kerana di dalam buku itu ada sebuah tulisan pendek yang dikutip Lutfi daripada fesbuk beliau, berjudul “Bukan ledakan revolusi dan tidak juga perubahan struktural” (hal.378-379). Sangat menarik, walaupun pendek. (Kalau tak, takkan Lutfi masukkan ke dalam bukunya, kan! Walaupun pandangan Nordin itu agak bertentangan dengan pemikiran Lutfi sendiri.)

Sebenarnya kehadiran buku Revolusi Tanpa Darah sangat saya tunggu-tunggu, sejak Lutfi mula memaklumkan kepada saya hasratnya menyiapkan buku itu, selepas PRU14, sekitar Jun 2018. Ada sesuatu mengenai PRU14 itu yang masih menjadi tanda tanya dalam fikiran saya, yang saya harapkan boleh mendapat penjelasannya dari buku Lutfi terbaru.

Buku Lutfi selepas beberapa buah dengan format yang sama secara konsisten (saya tak pasti sejak buku yang mana, dan tak sempat menyemak), saya berani mengatakan bahawa Lutfi telah melahirkan suatu format buku politiknya yang tersendiri. Itulah maka saya sebutnya sebagai buku Lutfi.

Bukan sahaja kerana ia turut memasukkan tulisan-tulisan orang lain yang dimintanya menulis dan menyumbang, juga yang dikutipnya dari hasil bacaannya di mana-mana sumber, dan juga wawancara khas dengan tokoh-tokoh pilihannya, di samping tulisan berbentuk analisa oleh dia sendiri yang semuanya itu seolah-olah sebuah majalah istimewa ciptaan terbaru Ahmad Lutfi Othman.

Dan bukan itu saja. Yang menyebabkan saya menunggu-nunggu buku terbarunya, terutama pasca-PRU14, seperti saya sebut tadi, ialah perspektifnya, atau cara bacaannya terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat, yang dilihatnya dari sudut pandangnya tersendiri, yang mengandungi analisa yang mendalam, dibuat dengan latar maklumat yang cukup luas dan ingatan yang segar terhadap banyak perkara dan banyak faktor, yang saya fikir mengatasi penulis-penulis politik yang lain yang kita ada.

Makanya saya menunggu buku terbarunya pasca PRU14 dengan harapan untuk mendapat jawapan atau penjelasan terhadap beberapa tandatanya yang masih bersarang dalam kepala saya walaupun sembilan bulan telah berlalu sejak 9 Mei itu; dan walaupun telah timbul pelbagai reaksi negatif dari pelbagai pihak termasuk pihak yang pernah menjadi penyokong kuat Pakatan Harapan (PH) sendiri, terhadap perjalanan kerajaan baru PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad (dengan bantuan khas Tun Daim Zainuddin) sejak Mei itu.

Judulnya saja pun Revolusi Tanpa Darah sudah membawa maksud yang sangat positif. Saya ulang: sangat positif! Bukan positif yang biasa-biasa saja, tetapi sangat positif. Makanya ia agak menghairankan bagi saya. Mengapa? Sebab mengikut pemerhatian saya Ahmad Lutfi Othman tidak pernah bersikap dan berfikiran sepositif seperti ini sebelum ini.

Dalam situasi berkecamuknya persepsi negatif yang luar biasa terhadap kerajaan baru PH sekarang, tiba-tiba Lutfi menawarkan satu sikap dan pemikiran yang berbeza, yang sangat positif, dengan analisa dan hujah-hujahnya yang disokong oleh fakta dan maklumat yang luas dan mendalam saya kira buku ini adalah suatu hujah yang sangat berani dan gagah untuk tegak berdiri di laluan arus deras yang menentangnya.

Kita semua yang tidak sukakan pimpinan Najib-Umno tentunya melihat kemenangan PH pada hari bersejarah 9 Mei itu dengan suatu macam rasa gembira dan menang. Tetap Lutfi melihatnya lebih daripada itu. Cuba perhatikan apa katanya di Kata Pengantar buku ini:

Koleksi tulisan dan interbiu tentang PRU14 ini diharap mampu mengabadikan peristiwa paling manis-indah satu-satunya kejayaan julung kali menukar kerajaan Umno-BN sejak 61 tahun merdeka. Lebih separuh abad gerakan membebaskana negara secara aman bermula selepas penjajah British dihalau keluar pada 1957, namun hanya selepas 14 kali pilihan raya yang berjalan secara berat sebelah, hasilnya dapat dipetik.

Dalam proses panjang dia berusaha menghasilkan buku ini pun ramai teman-temannya berhujah supaya dia melihat suasana negatif yang sedang menular dalam masyarakat. Namun hujah-hujah itu gagal menggugat keyakinan wartawan yang sedang uzur fizikal tetapi tidak uzur mental dan semangatnya ini. Katanya:

Saya mengakui, perjalanan panjang membersih dan memulihkan negara baharu sahaja bermula. Memang kos sara hidup tetap tinggi, barangan keperluan belum turun harga, tol tidak berjaya diturunkan apalagi dimansuhkan, bayaran balik PTPTN masih kelam-kabut, peluang pekerjaan terbatas.

Lebih buruk, sentimrn perkauman dan keagamaan sempit mudah dibakar. Perasaan syak wasangka antara kaum diapi-apikan. Sesungguhnya banyak cabaran dan halangan harus ditangani. Rakyat menuntut kerajaan baharu tangkas mengatasinya dan fokus terhadap senarai prioriti.

Bukan dia tidak sedar akan hal-hal negatif itu semua. Tetapi saya memilih keutamaan, katanya dengan tegas. Mendahulukan sejarah gemilang yang terakam. Seterusnya memberi ruang secukupnya untuk menilai amanah ditunaikan.

Tegasnya lagi, PRU14 menyimpan hikayat yang begitu besar. Dinasti Umno-BN yang nampak tidak terkalahkan ranap dalam semalaman.

Itulah yang cuba diperjelaskan Lutfi di dalam buku setebal 385+xiv halaman ini. Memang saya baru membacanya sedikit sahaja, kerana kekangan waktu, tetapi saya tahu saya akan dapat jawapan kepada soalan-soalan yang sekian lama bersarang dalam kepala saya itu, dalam buku Lutfi ini. Dan saya akan segera membacanya mulai esok, insya Allah.

Jom kita semua membacanya! Ia akan menjelaskan apakah maknanya PRU14 itu yang lebih besar dan penting daripada makna biasa-biasa yang kita tahu dan rasakan selama ini. Para pemimpin politik dari kerajaan baru PH khasnya, wajib baca buku ini, kalau tak mahu kelihatan kurang pada pandangan umum masyarakat baru hari ini.

Tak percaya? Mai sama-sama kita saksikan!

Bagi sesiapa yang berminat untuk memiliki buku berharga RM40 ini, boleh hubungi Luqman Hakim 0192903291.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.