Muslimat seru sertai himpunan bantah hina Nabi
Oleh USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
TINDAKAN melampau
daripada beberapa individu yang dilihat berani menghina Nabi Muhammad
SAW secara terbuka mengundang kemarahan dan kebangkitan ummat Islam.
Hal sebegini sudah tentu boleh mengancam
keharmonian sesebuah negara, lebih-lebih lagi Malaysia yang terdiri
daripada masyarakat majmuk, berbeza bangsa dan agama. Seharusnya semua
rakyat Malaysia saling hormat-menghormati pegangan dan kepercayaan
masing-masing tanpa sedikit pun rasa benci dan iri hati terhadap yang
lain.
Tindakan tegas pihak berkuasa kerajaan
mesti diambil terhadap individu yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW
supaya kejadian sama tidak akan berulang lagi, seterusnya menjadi amaran
bahawa seseorang itu tidak perlu mempermainkan agama, pegangan dan
kepercayaan orang lain.
Justeru, kami Dewan Muslimat PAS
Malaysia menyeru seluruh Muslimat PAS terutamanya, dan seluruh rakyat
Malaysia umumnya untuk bersama-sama menyertai Himpunan Bantah Hina Nabi
SAW yang akan diadakan di seluruh Malaysia secara serentak pada 1 Mac
selepas solat Jumaat sebagai bukti cinta dan kasih pada Nabi kita yang
tercinta.
Kepada seluruh ummat Islam, marilah kita
bersatu padu mempertahankan maruah agama dengan bangkit beramai-ramai
bagi menyatakan kemarahan dan bantahan kita terhadap penghinaan yang
dilakukan terhadap Nabi junjungan Muhammad SAW.
Apakah kita tidak berasa sensitif
terhadap apa yang berlaku dan hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh
melihat Nabi kita dicaci dan dihina? Layakkah kita mengaku ummat Nabi
SAW yang pada saban masa baginda SAW, tidak lekang mengingati kita?
Semoga rasa cinta kasih dan sayang kita pada Nabi saw juga tak berbelah bahagi.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.