Perjalanan panjang agenda revolusi tanpa darah
Buku Revolusi Tanpa Darah merupakan judul keempat saya usahakan sejak uzur berpanjangan tiga tahun lalu. Ia merakam detik-detik paling indah dan momen-momen tidak mungkin dilupakan menumbangkan regim korup yang bertahan lebih enam dasawarsa.
Alhamdulillah, buku-buku terdahulu, Lorong Sunyi Media Bebas, Parti Amanah Negara, dan Mengapa Mahathir? mendapat sambutan menggalakkan. Judul terakhir, buku kecil sekitar 100 halaman, saya pasarkan secara terburu-buru menjelang Parlimen dibubarkan pada April 2018, tetapi dicari pembaca walaupun selepas keputusan PRU14 diumumkan.
Buku Mengapa Mahathir? bertujuan untuk memujuk penentang tradisi Dr Mahathir Mohamad (waktu itu calon perdana menteri ketujuh) dan penyokong tegar Pas, bagi memangkah simbol PKR, demi menjatuhkan Najib Razak dan membentuk kerajaan baharu.
Najib sendiri tidak menduga, begitu juga pemimpin Pakatan Harapan. Usai pengiraan kertas undi, Rabu itu menjadi malam jahanam buat Umno-BN. Kalaupun ada rancangan untuk sabotaj, segalanya sudah terlambat. Rakyat Malaysia yang berani sudah mengukir sejarah paling gemilang. Tekad mereka terkabul. Sang kleptokrat dihalau daripada Seri Perdana.
Buku Mengapa Mahathir? terpaksa diulang cetak meskipun kandungannya dikhususkan untuk kempen PRU14. Pembaca tidak sabar menunggu analisis pilihan raya, apa sahaja buku tentang Mahathir menjadi rebutan!
Seperti lazimnya, kudrat menyusun buku khas PRU14 berjalan cukup lambat. Berbekalkan jari telunjuk yang menaip lemah menggunakan tablet di pembaringan, saya memulakan penyusunan buku seawal Jun 2018.
Selalunya saya menetapkan judul buku sebelum mula menulis atau menyusun bab. Tajuk seperti kompas buat memandu arah. Ternyata satu perubahan yang begitu besar telah berlaku dalam politik negara.
Ada yang menyifatkannya sebagai gempa bumi atau tsunami dengan magnitud besar. Ada pula menamakannya kebangkitan serentak rakyat pelbagai kaum. Saya tertarik dengan julukan revolusi elektoral. Kalimah revolusi sebati dengan jiwa saya sejak sekian lama.
Ya, ungkapan itu – revolusi – terlalu besar maknanya, sedangkan perubahan ini, meskipun diakui menyimpan pengertian luar biasa, namun ia tetap mengandungi impian luhur untuk memulakan proses reformasi berskala besar dalam tempoh yang panjang.
Senario ketika langkah pertama bertukar selepas period 100 hari kerajaan bertukar. Keresahan mulai dikesan terutama apabila banyak janji manifesto tidak dapat ditunaikan. Kerajaan berdepan kesulitan dan kesukaran menguruskan bagasi regim lampau. Dana awam yang dicuri, korupsi membengkak, ketirisan tidak terbendung, hutang melepasi trilion ringgit, kebocoran hampir setiap peringkat.
Perubahan regim tidak bermakna segalanya sudah berubah. Jentera pentadbiran masih dikawal rangkaian lama yang terbelit dengan tabiat lama. Pegawai tertinggi kerajaan tentunya sukar ditukar seluruhnya, kecuali dirombak mengikut keperluan. Menteri-menteri pula hampir semuanya tiada pengalaman dan kemahiran, walaupun menpunyai idealisme luhur. Tidak mustahil mereka sendiri turut dibuli pegawai-pegawai yang sudah berkuku.
Ya, revolusi tanpa darah ini mempunyai banyak keterbatasannya, terutama bagi memastikan kelicinan peralihan kuasa tidak memberi impak negatif kepada kehidupan rakyat.
Revolusi sering dikaitkan dengan pertumpahan darah dan kacau-bilau. Peralihan kuasa di negara-negara sedang membangun dan dunia ketiga juga tidak pernah melalui jalan mudah. Huru-hara yang banyak memakan korban sentiasa menunggu. Proses reformasi – bukan revolusi – di sebuah negara jiran juga menagih nyawa dan kecelakaan.
Proses menyiapkan buku ini sepatutnya dilunaskan pada bulan September 2018 tetapi kerap tertangguh disebabkan tahap kesihatan saya yang tidak menentu. Rutin dialisis cukup melesukan. Penglihatan yang kabur teruk ekoran diabetik retinopati menyukarkan saya menyusun abjad. Pembedahan mata pada penghujung tahun banyak membantu namun halangan tetap ada apabila rakan-rakan penulis undangan berdepan masalah masing-masing.
Ada yang menyiapkan tugasan seawal Jun, sebulan selepas 9 Mei. Sehinggalah artikel terakhir yang saya terima pada Januari 2019, sewaktu aroma keriangan bulan madu hampir pupus.
Ketika saya mula menghebahkan kemunculan buku baharu ini melalui Facebook, kegelisahan masyarakat sudah terkesan. Harapan rakyat cukup tinggi agar kerajaan Pakatan Harapan mengubah nasib mereka, mengurangkan kos hidup seharian, meningkatkan harga komoditi utama seperti getah dan sawit, membuka luas peluang pekerjaan, mengekalkan subsidi sara hudup, mengurangkan kadar tol dan seumpamanya.
Justeru, saya sudah menjangka reaksi negatif terhadap kemunculan buku ini di kala sebahagian rakyat mulai resah dengan prestasi Pakatan Harapan. Tidak kurang yang mencemuh judul buku dan memperlekeh kalimah revolusi yang saya pilih. Tentulah majoritinya adalah daripada pembangkang Pas-Umno yang kini bergabung.
Saya mengalu-alukan respons terbuka dan agresif mereka. Dapat juga kita mengesan kelemahan dan kekurangan kerajaan untuk segera melakukan pembetulan dan pengubahsuaian. Persepsi tidak semestinya benar tetapi ia bermanfaat untuk menguji keberkesanan proses penyampaian maklumat.
Sesungguhnya Pakatan Harapan sudah tidak “menikmati” lagi sokongan selesa buat elit pemerintah seperti dahulu. Rakyat pasca 9 Mei lebih kritis, terbuka dan matang. Mereka tidak teragak-agak untuk mengkritik, mencemuh dan menentang. Apatah lagi iklim kebebasan bersuara lebih telus, media lebih bebad, budaya takut sudah hilang. Kerajaan seperti berada dalam rumah kaca. Transparen dan tidak dapat disenbunyi lagi.
Saya ketawa sendiri apabila membaca cemuhan dan sindiran terhadap tajuk buku, seperti “reformasi hancing” atau “reformasi tanpa arah”. Ia menguatkan tekad saya untuk terus menyumbang dan memberi makna kepada revolusi yang saya pilih. Perjalanan ini masih panjang. Terima kasih buat pengkritik. Pembangkang masih ada peranan besar dan strategik untuk memulihkan negara. Cuma, lebih molek jika berbahasa dengan baik, dan elakkanlah daripada istilah “hancing” dan seumpamanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.