Perlahan depan AES, sebelum laju semula
Oleh
AKTIVIS sosial
yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya
Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye menyatakan, pihaknya mengenal
pasti punca utama kemalangan jalan raya di negara ini disebabkan
pemanduan melebihi had laju.
Oleh itu, katanya, penambahan bilangan kamera
Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di lebuh raya utama di negara ini
sangat penting dalam usaha mengurangkan masalah kemalangan maut.
Penggunaan
kamera ini sudah dimansuhkan kerana kerajaan mendakwa merugikan.
Pendapatan daripada saman tersebut tidak lepas untuk membayar kos kamera
kepada syarikat yang memasang kamera tersebut. Ini yang pernah
diucapkan oleh Menteri Pengangkutan ketika memansuhkan AES tahun lepas.
Bagaimanapun,
mulai September tahun lepas, AES diperkenalkan semula dan ditambah
jumlahnya sehingga menjadi perdebatan pelbagai pihak terutamanya
ahli-ahli politik.
Ada ahli-ahli politik yang sebelum ini lantang menentang AES tiba-tiba berubah fikiran menyetujui pula sistem ini.
Tidak
kira apa pun situasinya, AES dianggap perlu kerana merupakan salah
satu usaha mengurangkan kemalangan yang disebabkan pengguna jalan raya
memandu melebihi had laju yang ditetapkan.
Kita
tidak boleh menganggap saman daripada AES merupakan satu tekanan
kepada rakyat kerana semua pengguna jalan raya sudah dikenakan peraturan
dan mengetahui kesan daripada pelanggaran undang-undang di jalan raya.
Sementara
itu ada pihak mendakwa AES tidak mampu mengubah gelagat pengguna jalan
raya kerana pemandu tetap memandu melebihi had ditetapkan di lokasi
tiada AES.
Situasi ini memang berlaku kerana
pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan mereka di tempat yang ada
kamera ini, selepas itu laju semula.
Situasi
ini juga dapat dilihat semasa berlaku kesesakan. Selepas kawasan yang
berlaku kesesakan itu berakhir, semua kenderaan terus meluru ke depan
dan hilang dalam sekelip mata sahaja. Maka tidak hairanlah ada kenderaan
yang terhumban dan terpelanting di tepi jalan.
Dalam
pada itu, fokus MIROS kini adalah mengadakan perbincangan dengan semua
pihak bagi mencari jalan penyelesaian mengurangkan kes kematian
melibatkan penunggang motosikal bawah 150 cc.
Langkah
ini akan disegerakan kerana bilangan kematian penunggang motosikal di
bawah 150 cc ini mencecah 4,000 setahun dan membabitkan mereka berusia
15 hingga 25 tahun.
Langkah-langkah memantau
penunggang motosikal mesti diperkukuh dengan pelbagai kaedah. Mereka
inilah yang selalunya kelihatan seolah-olah berlumba di lebuh raya dan
menunggang dalam keadaan bahaya, menukar arah sesuka hati, malah
menyelit di celah-celah kenderaan lain.
Mereka ini tidak makan kempen. Mereka ini seolah-olah tidak makan
nasihat. Selain itu, mereka inilah juga yang melakukan pelbagai
kesalahan di jalan raya.
Lebih memburukkan
keadaan adalah kerana ramai antara mereka yang pada asasnya lagi tidak
layak berada di jalan raya kerana tidak memiliki lesen memandu.
Kerjasama
pelbagai pihak sangat penting untuk menangani pelbagai permasalahan
berkaitan jalan raya, kemalangan serta kematian di jalan raya.
Di
atas kertas, memang sudah banyak yang diperkatakan dan diperdebatkan
tetapi kita belum mencapai matlamat dalam usaha menangani masalah ini
dengan berkesan.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.