PRK Semenyih: BN berperang, PAS diserang
Oleh SYAHIR SULAIMAN
FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Wahai
orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari
agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia
kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia, mereka pula bersifat
lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah
terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh
pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang
mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya
kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah
kurniaNya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya” (Al-Maidah: 54)
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih
menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Pakatan Harapan,
Barisan Nasional, PSM dan calon Bebas.
Namun pihak yang menerima serangan dan kritikan adalah parti yang tidak bertanding, iaitu PAS.
Sejurus mendapat perkhabaran kekosongan
kerusi Dun Semenyih, PAS telah membuat keputusan untuk tidak bertanding
dan memberi laluan kepada wakil pembangkang iaitu Barisan Nasional, atas
semangat demokrasi untuk mengukuhkan proses ‘semak dan imbang’ yang
diperjuangkan oleh PAS.
Pendirian PAS kali ini sudah boleh
dijangka setelah menyaksikan keputusan PRK Cameron Highlands yang
memihak kepada Barisan Nasional, di mana hampir semua penganalisis
politik menyimpulkan bahawa kemenangan Barisan Nasional adalah
disebabkan sokongan yang diberikan oleh PAS.
Menjelang hari penamaan calon, pendirian
PAS dalam PRK Semenyih mula dipersoalkan apabila timbul pendedahan
berlangsungnya pertemuan di antara Perdana Menteri dan Presiden PAS.
Malah Perdana Menteri secara bersahaja
memaklumkan kepada pihak media, “PAS tidak akan menyokong Umno”,
menyebabkan timbul kritikan dan serangan terhadap pendirian yang diambil
oleh PAS.
Namun keributan yang melanda terus reda
setelah Presiden PAS memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Harian
PAS Pusat yang bersidang pada 17 Februari 2019 di Marang, dan diikuti
dengan kenyataan media oleh Setiausaha Agung PAS yang memaklumkan;
“PAS menyatakan pendirian tidak
bertanding dalam PRK Dun Semenyih dan memberi laluan kepada wakil
pembangkang, iaitu Barisan Nasional, dengan tahap komitmen serta kadar
penglibatan yang berbeza keadaannya pada PRK Cameron Highlands.
Ini selaras dengan pendirian konsisten
PAS yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lainnya,
di samping PAS mengekalkan hubungan dengan Umno atas dasar perpaduan
ummah dan solidariti pembangkang”.
Melihat kepada pendirian yang diambil
oleh PAS, ada yang beranggapan PAS tidak konsisten dan selalu mengubah
pendekatan, malah ada yang beranggapan PAS sudah terperangkap dan tiada
masa depan.
Hakikatnya setiap strategi yang diambil oleh PAS pastinya mengundang rasa cemburu dan sangsi di pihak kawan dan lawan.
Namun jika dilihat secara objektif dan
rasional, jelas pendirian PAS adalah konsisten demi menjaga kepentingan
Islam yang tidak berubah mengikut zaman.
Keanjalan pendekatan yang diambil oleh
PAS dapat dilihat daripada strategi berpolitik yang mendahulukan damai
dengan semua pihak (politik damai), tanpa mengira mereka yang lunak
ingin berkawan ataupun yang tegar ingin berlawan.
Pendekatan BPMS inilah yang menjadi
jambatan untuk PAS meramaikan ahli dan penyokongnya, serta menjadi
rahsia ketahanan PAS yang tidak pernah diharamkan sejak awal
penubuhannya.
Justeru tidaklah sukar untuk difahami
pendirian dan pendekatan PAS, kerana kuncinya adalah untuk menjaga
kepentingan Islam, dan strateginya adalah untuk mendaulatkan kedudukan
Islam.
Pengarah Strategi Pemuda PAS




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.