Kemenangan di Cameron Highlands
adalah saat yang mengujakan bagi BN. Semangat parti itu dikatakan
semakin membara. Pada 2 Mac nanti, kerusi DUN Semenyih pula diimpikan
bakal ditawan BN.
Kemenangan di Semenyih perlu bagi BN untuk
mengukuhkan dakwaan bahawa parti itu semakin kuat. Sekurang-kurangnya
boleh mengubat duka dan menjadi katalis untuk menjulang semula moral
parti itu selepas terlucut kuasa pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Namun
perlu diingat, tugas untuk merampas kerusi Semenyih bukan semudah
seperti yang disangka. Semenyih bukan Cameron Highlands. Walaupun PAS
pernah mendapat hampir 7,000 undi pada PRU lalu di situ, namun itu bukan
jaminan undi rakan kongsi politiknya itu akan masuk penuh ke saku parti
itu. Jika BN terlalu yakin, parti itu akan berdepan kesilapan yang amat
besar.
Pakatan Harapan (PH) telah banyak belajar daripada
kekalahan di Cameron Highlands. Sudah tentu parti pemerintah itu akan
berusaha untuk menangguhkan impian BN kali ini.
Walaupun BN
akan dibantu oleh PAS, namun PH pasti bagaikan harimau yang terluka.
Garangnya tidak boleh diduga. Apatah lagi gelanggang kali ini mungkin
berbentuk lebih daripada tiga penjuru.
Para pemimpin PH tentunya
tidak mahu memupuk garam ke pangkal luka. Kekalahan di Cameron Highlands
memberikan mereka pengalaman yang amat memeritkan. Ia bak mimpi yang
mengerikan.
'Isu kos sara hidup'
Kini
setiap sisi kelemahan yang dipelajari daripada PRK Cameron Highlands
dikatakan sedang diteliti dengan cukup rapi. Malah, kritikan atau
kutukan dan makian khusus daripada netizen di media sosial mesti
disenyapkan dengan kemenangan di Semenyih.
Harga diri sebuah parti yang telah menguasai Putrajaya lebih sembilan bulan mesti dipertahankan.
Parti
itu bukan sahaja tidak mahu pisang berbuah dua kali, tetapi akan
memastikan kemenangan pada PRK Semenyih tidak boleh ditangguhkan oleh
BN.
Maka, bersedialah BN. Walaupun Semenyih bukan ibu kepada
segala pilihan raya, tetapi ia adalah medan harimau terluka menunjukkan
taringnya.
Banyak 'ubat' sedang digunakan PH untuk merawat 'luka'
selepas kekalahan di Cameron Highlands.
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli
telah berjanji untuk mengadakan sesi temuduga pekerjaan terbesar
melibatkan ratusan ribu pencari kerja pada minggu ini atau minggu depan.
Ramai yang sinis dan skeptikal tapi jika ia terlaksana, matilah nak!
Tanpa
berselindung Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga memberi teguran
terbuka. Isu kos sara hidup khususnya di kalangan rakyat miskin mesti
segera diberi tumpuan.
Maknanya, masalah rakyat yang
‘kelaparan’ (bukan kebulur kerana tidak makan) mulai diberi perhatian.
Isu janji daripada manifesto lalu juga kembali disentuh. Rais Yatim
misalnya tanpa bersembunyi mahukan tol segera dimansuhkan bayarannya.
Nampak
PH seperti tidak mahu berlawak lagi. Ada keseriusan pada raut wajah
kepemimpinan utama parti itu dalam beberapa perkara berkaitan kemarahan
rakyat.
Entah apa pula tuahnya, tiba-tiba sesuatu tidak diduga
datang pula bergolek. Menjelang pengundian di Semenyih, isu penyelesaian
luar mahkamah berkaitan artikel RM90 juta di antara Hadi Awang dan Sarawak Report tiba-tiba datang tanpa diundang.
Maka,
tepuklah dada, tanya selera. Jamahlah secara berjemaah isu ini bagai
menjamu nasi ambeng pada majlis kenduri kahwin! Najib Razak mungkin
turun kali ini, tapi bersedialah untuk memakai helmet tutup penuh!
Calon orang Minang
Namun
harus diingat lagi, untuk merencatkan impian BN daripada merampas DUN
Semenyih, PH mestilah mengambil kira beberapa perkara. Pertamanya,
faktor calon yang bakal diletakkan di kawasan itu.
Kesilapan meletak calon pada PRK Cameron Highland tidak sepatutnya berulang. Demografi pengundi di Semenyih amat berbeza.
Hampir
60 peratus adalah pengundi Melayu. Dan perkara perlu diingat oleh PH
ialah majoriti kalangan pengundi Melayu ini berketurunan Minangkabau.
Ya, keturunan Minangkabau, bukannya keturunan Bugis atau Orang Asal.
Pasti
ada yang tertanya, apa istimewanya orang Minangkabau. Jawapannya, orang
Minangkabau memang sama dengan semua suku kaum di negara ini. Bezanya,
kali ini pilihan raya akan diadakan di Semenyih, di kawasan majoriti
Melayu berketurunan Minangkabau. Itu jawapannya!
Masyarakat
Minangkabau terkenal sebagai masyarakat yang amat menghormati orang
yang berjanji dan berkata-kata. Jika tidak, mana mungkin adanya pepatah
Minang yang berbunyi: ‘Kato sapatah dipikiri, bajalan salangkah madok suruik’
yang lebih kurang bermaksud tatkala mahu menyampaikan sesuatu atau
berjanji kepada orang hendaklah tidak sehingga menyinggung perasaan
orang.
Begitu juga dengan pepatah: ‘Muluik manih talempong kato, baso balak gulo dibibiak’ yang ertinya, seseorang yang berbicara dengan lemah lembut dan baik susunan bahasanya amat disukai.
Orang
Minangkabau juga berharapkan adanya pemimpin yang boleh menyampaikan
sesuatu termasuk janji dengan perkataan yang baik, sedap didengar serta
tidak berbolak-balik. ‘Anjalai pamaga koto,tumbuah sarumpun jo ligundi, kalau pandai bakato kato, umpamo santan jo tangguli’.
Malah
rasanya, pengundi di Semenyih tidak akan membawa baldi atau timba untuk
menadah air mata pokok yang menangis kerana mereka tahu, itu hanyalah
air kencing daripada kumpulan riang-riang.
Mesejnya mana-mana
parti yang bertanding jangan jadi riang-riang, kasihan pengundi. Nah,
jika itu keperluan majoriti penduduk setempat, sudahkah PH mempunyai
calonnya?
Calon daripada masyarakat setempat yang baik budi,
baik bahasa dan baik tingkah lakunya? Jika belum, sekarang masanya.
Bukan esok atau lusa. Hakikatnya, calon terbaik bagi PH di PRK Semenyih
mestilah calon tempatan. Lebih beruntung jika daripada kalangan penduduk
Minangkabau.
Ubat rawat kegatalan
Selain
itu, PH juga mesti memastikan calon yang diletakkan bertanding adalah
seseorang yang mempunyai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan
mempunyai lidah yang tidak runcing atau bercabang.
Memiliki KBAT
amat penting kerana sebagai calon, jika menang beliau akan menjadi
seorang wakil rakyat. Wakil rakyat pada sudut pandang masyarakat hari
ini bukannya seorang bos, tetapi adalah kuli kepada masyarakat yang
mengundinya.
Kita tidak mahu nanti adanya cerita seorang pengundi mengadu dan marah-marah: “Eden
bagitau jalan dan lampu isyarat rosak. Eden bagitau lokasi dan eden
tunjukkan gambar sekali. Tibo-tibo wakil rakyat atau ahli majlis kato,
jalan ini bawah kuaso JKR ko? Lampu isyarat ini bawah kuaso majlis ko?"
Jangan.
Ya, jangan sampai boleh berlaku begitu. Rakyat tidak mahu tahu itu
semua kuasa siapa. Yang mereka mahu kerosakan yang dilaporkan mesti
diperbaiki.
Di sinilah, contohnya kenapa calon bertanding
dalam pilihan raya, dalam konteks ini di Semenyih mestilah pemimpin yang
ada KBAT. Orang yang boleh berfikir bijaksana dan panjang.
Jika
PH mampu menampilkan calon yang mempunyai kriteria itu, peluang parti
itu untuk menangguhkan kemenangan BN mungkin akan berhasil. Faktor calon
yang betul dijangka mampu menangkis cabaran yang diberikan oleh parti
pembangkang.
Selain itu, PH mesti bersedia untuk melakukan
pembetulan. Jangan sekali-kali diturunkan pemimpin yang tidak mesra,
hanya tahu berswafoto dan tidak pandai bertutur dalam bahasa Malaysia
pada kempen kali ini. Ini hanya akan menyulitkan komunikasi terutama
ketika culaan dari rumah ke rumah dilakukan untuk mendekati pengundi.
Ya,
PRK Semenyih kali ini menyediakan satu piala yang amat besar nilainya
di segi moral. Jika piala ini jatuh ke tangan PH, bernasib baiklah.
Tapi
jika piala ini milik BN, maka PH sebagai parti pemerintah di peringkat
persekutuan dan negeri akan memerlukan lebih banyak ubat. Ubat untuk
merawat kegatalan sepanjang hayat politiknya.
A HAMID KARIM ialah bekas wartawan dan pemenang Anugerah Kajai.
PRK Semenyih medan harimau terluka
Reviewed by editorreformis
on
Februari 04, 2019
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Oleh Subky Latif APA sudah jadi pada otak Tun Dr Mahathir? Diangkatnya Tan Sri Rahim Noor, Ketua Polis Negara yang disabit salah j...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.