Malah, menurut beliau, adalah sesuatu yang bahaya juga apabila situasi kekayaan dan kemiskinan di negara ini dikaitkan dengan kaum-kaum tertentu.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan Pusat berusaha merapatkan jurang antara kedua-dua golongan tersebut selain memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dan diagihkan secara saksama antara semua kaum.

Tambahnya, perbezaan pendapatan itu sekiranya dapat diatasi dan kekayaan negara dikongsi secara adil antara semua kaum, dapat mendorong negara menjadi lebih maju berbanding ketika ini. 

“Saya yakin di Pulau Pinang juga, ada usaha untuk merapatkan jurang antara kaum dan kekayaan itu termasuk antara penduduk di bahagian pulau dan seberang,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis Perhimpunan Perdana Perpaduan 2019 sempena sambutan Hari Perpaduan Negeri dan Ulang Tahun Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMNPP) yang Ke-15 di sini hari ini yang turut dihadiri isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Yang turut hadir, Pengerusi MPMNPP, Tan Sri Yusoff Latiff dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, kerjasama dan perpaduan antara kaum juga menjadi faktor penentu kepada cita-cita negara untuk mencapai status negara maju pada 2025.

Menurut beliau, meskipun cita-cita itu kini agak terlewat berbanding sasaran menjadi negara maju pada 2020, namun apa yang lebih utama adalah matlamat tersebut dicapai berbanding melupakannya sama sekali.

“Sebab itu saya gembira usaha seperti majlis ini diadakan bukan atas dasar serta perpisahan politik dan semua kaum turut hadir.

“Saya yakin usaha seperti ini dapat merapatkan hubungan antara kaum dan memastikan negara sentiasa aman dan menjadi lebih maju. Saya doakan usaha baik seperti ini bertrusan dan mencapai matlamatnya,” katanya.-U/M