Sijil akademik palsu ahli politik PH
Oleh DATO’ SERI MOHD KHALID NORDIN
PERKARA yang paling
dikesalkan dalam episod berlarutan penipuan sijil dan kelayakan akademik
pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan hari ini adalah dalihan demi
dalihan yang dikeluarkan oleh mereka yang dituduh.
Justeru, bagi menjelaskan dan mematikan isu ini, pihak-pihak yang diheret dan terpalit mesti tampil dan memberi penjelasan.
Dalam pertikaian terhadap ijazah palsu
YAB Menteri Besar Johor misalnya, memandangkan beliau memilih untuk
membisu, maka Universiti Putra Malaysia (atau dahulunya Universiti
Pertanian Malaysia) (UPM) harus tampil dan membuat penjelasan. Memandang
UPM sendiri sudah berjanji kepada orang awam untuk membuat penjelasan,
maka saya gesa penjelasan ini diberikan segera. Hanya penjelasan dari
pihak UPM akan mematikan dan menentu sahkan isu ini.
Pada masa yang sama, saya ingin
melahirkan rasa kesal yang mendalam dengan tindakan berdiam diri
(inaction) oleh YB Menteri Pelajaran Malaysia, Dr. Maszlee Malik.
Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan
memegang portfolio berkaitan pendidikan dan pengajian tinggi, beliau
mesti tampil dan memberikan kepimpinan dalam isu ini.
Beliau mesti menjadi suara yang mampu
menjaga integriti dunia kesarjanaan. Tidak ada orang yang lebih layak
dan berautoriti melainkan beliau dalam memberi penjelasan berhubung
perkara ini.
Adalah sangat memalukan jika kepimpinan
negara ini dipenuhi dengan mereka yang bukan sahaja tidak mempunyai
integriti dan kejujuran berhubung kelayakan diri, malah mereka disokong
dan dipertahankan pula secara tidak bertanggungjawab oleh
pemimpin-pemimpin PH.
Perkara ini harus berhenti segera. Saya gesa UPM dan Menteri Pelajaran untuk membuat penjelasan.
Naib Presiden Umno





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.