https://critoxium.com/shop/

Terkini

Solidariti Tabung Haji, bukan isu untuk dipolitikkan

Oleh Mohammad Abdul Hamid

 TABUNG Haji sedang menghadapi masalah kewangan, seperti yang dilaporkan oleh media sejak tahun lepas. Akibatnya, dividen pencarum mungkin berkurang berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini. Desas-desus berhubung subsidi rayuan haji pula hangat diperkatakan walaupun ianya belum dimuktamadkan oleh pihak Tabung Haji.

Seperti apa juga bentuk perniagaan dan pelaburan, Tabung Haji boleh mengalami keuntungan dan kerugian dan terdedah kepada faktor-faktor pasaran.

Berita baik, usaha untuk memulihkan kedudukan Tabung Haji telah pun bermula. Laporan polis telah dibuat berhubung kesalahan yang telah dilakukan sebelum ini. Pihak pengurusan juga telah ditukar kepada golongan profesional.

Pada bulan Julai tahun lepas, Tabung Haji telah melantik bekas pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Mohammed Nor Md Yusof sebagai pengerusi baharunya dan bekas ketua pegawai eksekutif BIMB Holdings Bhd, Zukri Samat sebagai ketua pegawai eksekutifnya yang baharu.

Aset yang tidak menguntungkan bernilai kira-kira RM19.9 bilion dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) menjelang 31 Disember lepas, bermatlamat memantapkan kedudukan kewangannya.

Berita yang kurang enak didengar pula, apabila terdapat segelintir pemimpin politik yang memainkan sentimen yang boleh menaikkan kemarahan rakyat kepada Tabung Haji atau pihak kerajaan. Lebih malang, bila ahli politik cuba untuk memainkan isu sebegini untuk mencapai matlamat politik sempit semata-mata.

Kita faham peranan ahli politik untuk mengetengahkan isu-isu yang mempunyai kepentingan umum, namun biarlah ia disertakan dengan fakta dan data yang konkrit. Inilah politik matang yang diperlukan oleh negara sekarang.

Pada masa yang sama, umat Islam mestilah objektif dalam menilai. Dalam erti kata, penilaian mestilah berdasarkan kepada maklumat dan fakta yang sahih. Pihak Tabung Haji pula hendaklah responsif dalam menyalurkan maklumat kepada umat Islam di negara ini, lebih-lebih lagi pada era media sosial yang sangat dinamik.

Mungkin sudah tiba masa untuk Tabung Haji kembali kepada tujuan penubuhannya yang asal iaitu sebagai institusi kewangan Islam bagi memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan haji, selaras dengan Akta Tabung Haji 1995.

Sekian lama Tabung Haji seolah-olah telah berubah menjadi satu institusi pelaburan dengan pulangan pelaburan yang mengatasi instrumen pelaburan lain. Ini satu bonus, namun janganlah dibiarkan institusi umat Islam ini tersasar atau hilang dari fokus asal penubuhannya, apatah lagi bila melibatkan pelaburan berisiko tinggi atau sederhana.

Seperti apa juga masalah, ia boleh diselesaikan. Ia memerlukan pengurusan yang baik, ilmu, pengalaman dan tentunya akan mengambil masa. Sebagai umat Islam, marilah kita memberi sokongan dan mendoakan agar pihak pengurusan Tabung Haji yang baru dilantik, golongan profesional dan seluruh kakitangan Tabung Haji dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

* Mohammad Abdul Hamid merupakan Yang Dipertua Ikram Bandar Tun Razak.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.