https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tangisan YB Menteri Pertanian - Antara Gimik Pelancaran dan Keikhlasan Perjuangan

Oleh Reezal Merican Naina Merican

1. Saya menonton video tangisan YB Menteri Pertanian berulang kali. Saya juga maklum dengan respon ramai netizen yang menganggap ianya sebagai 'lakonan' yang kosong semata-mata.

2. Secara jujur , Saya dapat rasakan “serak suara” dan linangan air mata seorang Menteri ini bukan “dibuat buat” walaupun ramai mengandaikan ia tidak lebih seperti sebuah lakonan cereka, Namun saya menganggap ianya cetusan hati ikhlas seorang Menteri. 

3. Hakikatnya, surat Wak Ibas mewakili naluri hati rakyat. Kesusahan hidup para nelayan bukan gurauan. Kerumitan hidup para petani, peladang, penternak - bukan mainan. Derita sebahagian peneroka FELDA dan FELCRA, bukan lakonan. Menteri mengambil risiko cukup besar jika perkara begini mahu disandiwarakan.

4. Kalau tangisan Menteri itu mahu kita isbatkan dengan kesusahan rakyat; golongan petani, penternak, peladang dan nelayan mungkin masih punya harapan.

5. Kita doakan sahaja Menteri Pertanian mampu "bersuara" lebih lantang di dalam kabinet yang seperti tidak mempedulikan kesusahan rakyat. Menteri Pertanian mesti berani menyanggah langkah penjimatan yang membebankan rakyat. Menteri jangan sekadar menangis lagi; tapi menaruh iltizam tinggi untuk memperjuang maslahat rakyat.

6. Berbeza jalur politik jangan sampai kita menghina usaha yang baik. Ramai lagi mereka yang susah dan menderita kerana kelemahan ikhtiar kerajaan. Suara mereka mesti dibela. Bukan dengan tangis duka semata MATA - tapi dengan suara lantang menidakkan keputusan yang mendatangkan luka.

Ahli Parlimen Kepala Batas (BN)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.