Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, sebarang keputusan dalam pemberian subsidi adalah di bawah pertimbangan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengikut prinsip istito’ah iaitu berdasarkan kemampuan jemaah haji tersebut.

Katanya, bagi menjelaskan kekeliruan masyarakat berhubung perkara itu, beliau akan bertemu dengan pihak Tabung Haji dan mengadakan perbincangan mengenai mekanisma bagi menentukan kategori rayuan.

“Kita tidak buat pun kenyataan yang itu (penghapusan subsidi), tiada kenyataan rasmi. Apa yang kita buat adalah kenyataan di mana individu yang membuat rayuan dan berjaya, pihak Tabung Haji akan mengambil kira kemampuan mereka atau dalam istilah fekahnya, istito’ah. Itu menjadi pertimbangan paling utama.

“Bagaimanapun, oleh kerana isu ini timbul dan ditularkan, maka saya akan rujuk kepada Tabung Haji untuk bincang semula apa sebenarnya polisi yang telah ditetapkan melibatkan individu yang mengiringi jemaah uzur atau mahram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Kali Ke-14 Cawangan Daerah Kerian di Dewan Seri Kerian di sini hari ini.

Mujahid berkata demikian ketika mengulas isu mengenai pengiring jemaah haji yang menunaikan ibadah itu lebih awal daripada tahun peruntukan tidak layak mendapat subsidi haji seperti tahun-tahun sebelum ini.

Isu berkenaan timbul susulan jawapan daripada pentadbir akaun Facebook Lembaga Tabung Haji baru-baru ini ketika menjawab komen seorang pengguna Facebook dalam satu hantaran berkata, subsidi haji hanya diberikan kepada bakal jemaah yang terpilih bagi tahun semasa