https://critoxium.com/shop/

Terkini

Wakil DAP rela guna wang sendiri, pasang CCTV di surau Sabilul Huda

PELABUHAN KLANG, 25 Feb — Beberapa kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah susulan penemuan dua patung agama Hindu yang diletakkan di atas tembok pintu masuk surau tersebut, kelmarin.

Anggota Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh anggota jawatankuasa (AJK) surau itu dan pihaknya akan mengusulkan cadangan tersebut kepada kementerian berkaitan supaya peruntukan dapat disediakan.

“Kita berharap kelulusan itu akan diperoleh supaya pemasangan CCTV dapat dibuat dalam masa terdekat.

“Namun sekiranya cadangan itu tidak mendapat kelulusan, saya sendiri akan usaha walaupun terpaksa menggunakan wang sendiri untuk memasang CCTV berkenaan,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau berkata selain itu pihaknya turut mengemukakan cadangan kepada AJK surau, supaya mereka mengadakan pelbagai program perpaduan bertujuan menjaga keharmonian masyarakat pelbagai bangsa dan agama di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Surau Sabilul Huda, Idris Mazlan, 64, berkata, pihaknya berharap perkara itu tidak menimbulkan sebarang isu perkauman dan telah menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kejadian tersebut.

“Kita hidup dalam negara majmuk, kita perlu prihatin terhadap keamanan dan sebagai warganegara Malaysia kita seharusnya bersama menjaga keharmonian agar perkara seperti ini tidak akan berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Semalam, kira-kira pukul 2.15 petang, seorang wanita menemui dua patung berhala diletakkan di atas tembok pintu masuk surau tersebut.

Kejadian sama turut berlaku Jumaat lepas apabila jemaah surau menemui sebuah patung berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama surau berkenaan pada 4.15 petang. —  Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.