https://critoxium.com/shop/

Terkini

Banyak Kejayaan Kerajaan Tetapi Tidak Diceritakan

Oleh A Kadir Jasin

BUKAN semua mengenai kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) tidak baik. Memang ada yang tidak baik atau kurang baik tetapi lebih banyak yang baik.

Cuma banyak yang baik itu tidak diketahui oleh orang ramai.

Itu pun silap kerajaan dan jeteranya juga. Tetapi hendak salahkan mereka bulat-bulat pun tidak boleh juga sebab menjadi kerajaan jauh lebih sukar daripada menjadi pembangkang.

Tengok sajalah wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sejak jadi pembangkang. Cakap, cakap, cakap. Tuduh, tuduh, tuduh. Tak setuju keluar dewan. Mudah kan?

Kita harap menjelang satu tahun memerintah pada 9 Mei nanti, Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan timbalan Menteri buatlah kerja betul-betul, cakaplah betul-betul dan buatlah perangai yang betul.

Berkomunikasilah dengan lebih baik dan berkesan dengan semua peringkat dan golongan masyarakat. Pegawai Khas, Setiausaha Akhbar dan Pegawai Komunikasi Korporat pun tolonglah cergas sikit. Kalau bodoh belajar. Kalau tidak tahu tanya.

Jadi untuk tampalan kali ini izinkan saya bercerita panjang sikit mengenai apa yang saya tahu berkenaan apa yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan PH.

Kerajaan telah dan sedang lakukan banyak perkara, projek, program, dasar dan agenda.

Misalnya kerajaan telah dan sedang bertidak ke atas pihak-pihak yang melakukan jenayah besar yang hampir-hampir memufliskan negara seperti skandal 1MDB dan penyelewengan dalam jabatan kerajaan, badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tetapi kita kena faham. Kalau bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, masih lepas bebas itu bukan salah kerajaan.

Kerajaan sudah siasat dan dakwa dia di mahkamah. Jadi sekarang tanggungjawab kehakiman (judiciary) lah. Kalau Najib lambat dijatuhkan hukuman, itu bukan salah kerajaan.

Itu tugas dan tanggungjawab kehakiman. Tugas hakimlah. Kita tidak boleh campur tangan. Cuma kita harap para Yang Arif ambil kira perasaan kata rakyat jelata.

Bukan Najib seorang saja yang kerajaan serahkan kepada kehakiman. Banyak lagi. Antaranya bekas FLOM Datin Paduka Seri Puan Puti Reno Rosmah Mansor, Presiden Umno yang bercuti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad, penari kasut merah Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, ketua peguam Najib yang cedera bermain dengan anjing Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bekas pegawai khas Rosmah yang kata saya pungut berita di tepi jalan Rizal Mansor (bukan adik atau abang Rosmah) dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Azrul Kanda Kandasamy.

Nasib dan masa depan mereka bukan di tangan kerajaan lagi. Mereka adalah di dalam jagaan (custody) mahkamah.

Tapi rakyat jelata kenalah faham yang mereka akan buat sebiru macam tipu helah untuk lambatkan perbicaraan kerana mereka tahu apa yang telah mereka lakukan sehingga diseret ke muka pengadilan.
Bantu Rakyat

Walaupun BN meninggalkan kewangan kerajaan dalam keadaan yang lemah dan kucar-kacir, kerajaan PH telah berjaya memulihkan sebahagian daripadanya.

Ini membolehkan kerajaan meneruskan bantuan kewangan kepada rakyat jelata yang memerlukan. Mungkin tidak semua tetapi mengikut kemampuan kewangan kerajaan dan keperluan kumpulan sasaran.

Sasaran bantuan kewangan kerajaan adalah kumpulan B40 iaitu 40 peratus isi rumah paling bawah dalam susunan pendapatan.

Rakyat Malaysia dikategorikan kepada tiga kumpulan pendapatan iaitu 20 peratus teratas (T20), 40 peratus menengah (M40) dan 40 peratus terkebawah (B40).

Menurut definisi Jabatan Perangkaan Malaysia, kumpulan T20 adalah yang pendapatan median isi rumah (household) tidak kurang daripada RM13,148 sebulan, M40 RM6,275 dan B40 RM3,000.

Dalam kumpulan 40% terkebawah itu, lebih daripada 70% adalah Bumiputera. Selebihnya adalah Cina dan India. Maksudnya bukan Bumiputera saja yang miskin dan memerlukan bantuan.

Dalam tempoh lima tahun akan datang kerajaan bercadang membelanjakan RM10 bilion setahun bagi tujuan mewujudkan pekerjaan dan menyokong pendapatan kumpulan B40.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan satu lagi skim bantuan berjumlah RM338 juta khas untuk pekebun kecil getah di bawah Risda.

Cuma mungkin akan berlaku kekangan dan masalah di sana sini kerana serentak dengan memberi bantuan kerajaan juga sedang membersihkan senarai penerima kerana didapati banyak juga yang tidak layak atau yang memberi maklumat palsu.

Reformasi Institusi

Bagi memulih dan mengukuhkan sistem pentadbiran negara yang dirosakkan oleh BN, kerajaan telah dan sedang melakukan reformasi ke atas institusi utama negara (rujuk carta di atas). Antaranya:-

1.Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai pencegahan rasuah;

2.Melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 -2023.

3. Memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Perkhidmatan Awam.

4.Menubuhkan Pusat Governan, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

5.Pengisytiharan harta oleh anggota Kabinet dan ahli Parlimen PH.

6.Tidak ada lagi pengeluaran surat sokongan untuk projek dan kontrak.

7.Memperkasakan Parlimen dengan menubuhkan enam jawatankuasa terpilih (select committees).

8.Memulakan langkah reformasi sistem pilihan raya termasuk cadangan merendahkan umur mengundi kepada 18 tahun dan pembiayaan politik.

Dasar Ekonomi

Kerajaan PH mengambil alih negara pada ketika ekonomi antarabangsa dan negara berada dalam keadaan yang tidak menentu.

Di dalam negara, kita mengalami masalah kurang keyakinan yang teruk akibat pelbagai bentuk penipuan dan manipulasi oleh kerajaan lama, khususnya oleh Najib yang bertindak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Apabila Najib mengamalkan kleptokrasi (mencuri wang negara), BN diam membisu malah ramai pemimpinnya bersekongkol dengan beliau. Sesiapa yang menegur atau melawan disingkirkan atau dipenjarakan.

Maka sampai hari ini pun – selepas 10 bulan – kita masih menemui perbuatan salah dan rasuah oleh kerajaan BN dan agensinya.

Di arena antarabangsa pula, perang dagang antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia iaitu Amerika Syarikat dan China serta penarikan diri United Kingdom (UK) daripada Kesatuan Eropah (UE) menjejaskan ekonomi seluruh dunia.

Dalam keadaan yang sukar dan mencabar ini pun kerajaan PH terus merancang dan melaksanakan pelbagai program bagi memulih dan memperkuatkan semula ekonomi negara.

Pertama kita mahu kembali menjadi ekonomi Harimau Asia (Asian Tiger) dengan memperkasakan semula ekonomi negara dan dengan kekayaan yang bertambah itu kita akan memperbaiki perkongsiannya melalui konsep “kemakmuran bersama” (shared prosperity).

Matlamat kita adalah merangsang pertumbuhan ekonomi dengan memudahkan perniagaan supaya dengan itu lebih banyak pekerjaan dapat diwujudkan dan kekayaan negara dapat dibahagikan secara lebih adil dan saksama.

Seperti kata Perdana Menteri, hasil daripada kemenangan PH dan pelaksanaan reformasi, Malaysia bukan sebuah negara kleptokrasi lagi.

Jadi adalah amat penting, pada ketika perhatian ditujukan kepada kerajaan menjelang setahun usia kerajaan PH, bagi Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan timbalan mengambil tugas mereka dengan lebih serius.

Jangan hampakan rakyat jelata yang semakin gundah gulana dan tidak sabar.

Jangan hampakan Perdana Menteri yang memberikan kepercayaan kepada mereka.

Alasan mereka baru semakin tidak laku. Mereka tidak boleh membuat rakyat jelata tunggu sampai bila-bila kerana pembangkang juga ada rancangan dan agenda.

Wallahuaklam.
















































Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.