Lapor NBC, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menzahirkan rasa terkejut beliau dan dengan lantang mengutuk serangan pengganas ke atas dua buah masjid berkenaan.

“Ia hanya mengesahkan apa yang kita tegaskan selama ini iaitu keganasan tidak mempu­nyai agama. Doa saya kepada mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Menurut Universiti Al-Azhar dalam satu kenyataan, serangan itu jelas mencabuli kesucian rumah Allah.

“Kami memberi amaran serangan ini adalah petunjuk yang berbahaya akan kesan buruk peningkatan ucapan kebencian, antiperkauman dan penyebaran Islamofobia.

Tambahnya, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mempromosikan kewujudan bersama pelbagai agama dan budaya.

Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II pula amat sedih dengan serangan mengerikan di Christchurch dan pada ketika ini, ingatan dan doa pemimpin itu adalah bersama kesemua rakyat New Zealand.

“Putera Philip dan saya me­rakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan mereka yang terkorban selain merakamkan penghargaan buat petugas kecemasan serta sukarelawan yang menyediakan sokongan kepada mangsa yang cedera,” katanya.

Kritikan sama disuarakan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison yang berang dengan insiden itu dan mengutuk serangan hari ini oleh pengganas berhaluan kanan.

“Serangan ini mengingatkan kita tentang kejahatan yang ada sekarang,” katanya.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dengan lantang me­ngutuk serangan tembakan itu di lokasi beri­badat khasnya ketika solat Jumaat sedang berlangsung.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan tegas mengutuk serangan ke atas Masjid al Noor di New Zealand dan umat Islam.

“Semoga Allah merahmati mangsa terkorban dan memberikan kesembuhan segera kepada mangsa yang cedera,” katanya.

Datuk Bandar New York, Bill de Blasio dalam pada itu berkata, rakyat New Zealand berada dalam ingatan dan hati penduduk New York City berikutan berita menyedihkan dari Christchurch.
“Doa kami adalah bersama mereka yang terjejas dengan serangan kejam di masjid New Zealand,” katanya. – AGENSI